Rabu, 28 Julai 2021 | 12:19pm
Siti Nordiana menjelaskan saman ke atas lima individu yang didakwa memfitnahnya akan difailkan selewat-lewatnya, Isnin ini. Foto IG Siti Nordiana
Siti Nordiana menjelaskan saman ke atas lima individu yang didakwa memfitnahnya akan difailkan selewat-lewatnya, Isnin ini. Foto IG Siti Nordiana

Nana saman lima individu didakwa memfitnah

KUALA LUMPUR: Selepas tempoh 24 jam notis tuntutan permohonan maaf kepada lima individu yang didakwa memfitnahnya pada sesi siaran langsung Instagram (IG) tidak berbalas, Siti Nordiana meneruskan tindakan saman terhadap mereka.

Siti Nordiana atau mesra disapa Nana berkata, saman ke atas lima individu terbabit akan difailkan selewat-lewatnya, Isnin ini.

Siti Nordiana mengambil tindakan undang-undang bagi membersihkan nama dan imej yang didakwa tercalar selepas insiden difitnah lima individu terbabit. Foto IG Siti Nordiana
Siti Nordiana mengambil tindakan undang-undang bagi membersihkan nama dan imej yang didakwa tercalar selepas insiden difitnah lima individu terbabit. Foto IG Siti Nordiana

"Berikutan tiada permohonan maaf (daripada lima individu terbabit) selepas tamatnya tempoh 24 jam, saya sudah mengarahkan peguam meneruskan tindakan saman terhadap mereka," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Siti Nordiana melantik firma guaman, Tetuan Abang Azlan & Associates untuk mewakili kes berkenaan.

"Nana terpaksa mengambil tindakan undang-undang bagi membersihkan nama dan imej yang tercalar akibat kenyataan sedemikian, sama ada secara langsung atau sebaliknya akibat sesi siaran langsung IG itu," katanya.

Sebelum ini, BH Online melaporkan, Siti Nordiana memberi tempoh sehingga jam 5.30 petang semalam untuk lima individu yang didakwa memfitnahnya pada sesi IG Live, baru-baru ini, untuk memohon maaf seperti notis yang dihantar kepada mereka melalui peguam, kelmarin.

Peguam dilantik Siti Nordiana, Abang Azlan Abang Ariffin, dilaporkan berkata, notis tuntutan permohonan maaf secara terbuka sudah dihantar kepada lima individu terbabit melalui e-mel dan serahan tangan.

Pada sidang media Jumaat lalu, Siti Nordiana memaklumkan membuat laporan polis terhadap lima individu yang didakwa memfitnahnya menerusi sesi siaran langsung IG, baru-baru ini.

Siti Nordiana membuat laporan polis itu bersama Abang Azlan dari Abang Azlan & Associates di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras di sini, pada jam 9.42 pagi, Jumaat lalu.

Lima individu terbabit adalah seorang vokalis lelaki dan isterinya; penyanyi wanita; jurusolek serta pegawai perhubungan awam sebuah syarikat rakaman.

Berita Harian X