Rabu, 28 Julai 2021 | 8:30am
Hati Dwan Hamid sayu melihat pesakit COVID-19 yang rebah selepas bertarung nyawa, malah lebih mengganggu emosi jenazah diuruskan adalah mereka dikenalinya ketika mendapatkan rawatan. - Foto Dwan Hamid
Hati Dwan Hamid sayu melihat pesakit COVID-19 yang rebah selepas bertarung nyawa, malah lebih mengganggu emosi jenazah diuruskan adalah mereka dikenalinya ketika mendapatkan rawatan. - Foto Dwan Hamid

'Terbayang urus jenazah ibu'

KUALA LUMPUR: Pengalaman menguruskan jenazah pesakit COVID-19 yang kebetulan memiliki nama sama seperti ibu yang pernah dijangkiti virus berbahaya itu, cukup membekas dalam hati aktor, Dwan Hamid, 30.

Bergelar sukarelawan dengan Kementerian Kesihatan sejak Jun lalu, Dwan yang sebelum ini bertugas di salah sebuah Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dan kini bertanggungjawab menguruskan jenazah pesakit COVID-19 di sebuah hospital di Lembah Klang, melihat sendiri bagaimana pandemik ini memberi kesan buruk kepada manusia dan apa yang berlaku semuanya benar.

Hati Dwan meruntun setiap kali melihat bagaimana pesakit COVID-19 rebah selepas bertarung dengan virus itu. Tidak cukup itu, emosinya terganggu apabila teringat bagaimana jenazah diuruskan adalah mereka yang dikenalinya ketika mendapatkan rawatan di hospital terbabit.

"Baru-baru ini, saya menguruskan jenazah wanita yang namanya kebetulan sama dengan emak saya. Saya jadi sayu apatah lagi memikirkan emak pernah dijangkiti COVID-19.

"Apabila saya mengangkat jenazah itu, saya teringat emak. Saya terbayang bagaimana keadaannya jika saya mengangkat jenazah emak... Mengalir air mata saya," katanya kepada BH Online.

Berkongsi pengalamannya, Dwan bercerita mengenai bagaimana pesakit COVID-19 yang ditemui dalam keadaan baik dan stabil, namun, keesokannya, meninggal dunia.

"Lebih tersentak, saya pernah berbual dengan individu terbabit. Tidak sangka, hari itu, saya menguruskan jenazahnya pula... Perkara begini membuatkan hati sayu," katanya.

Akui Dwan atau nama sebenar, Muhammad Ridzuan Shahul Hamid, pengalaman dilalui membuatkan dirinya insaf mengenang kematian.

"Saya teringat amalan sendiri dan rasa insaf memikirkan bagaimana jika nyawa ditarik. Sebab kita dapat melihat bagaimana Allah tarik nyawa orang lain di depan mata," katanya.

Dwan berkata, tindakannya berkongsi pengalaman bukanlah hendak meraih perhatian, sebaliknya, memberi kesedaran apa yang berlaku sekarang adalah realiti termasuk data penularan COVID-19 yang masih tinggi seperti dilaporkan Kementerian Kesihatan.

Pelakon drama Tanah Kubur, Dwan Hamid yang memilih menjadi sukarelawan menguruskan jenazah pesakit COVID-19 di sebuah hospital melihat sendiri bagaimana pandemik memberi kesan buruk kepada manusia. - Foto Dwan Hamid
Pelakon drama Tanah Kubur, Dwan Hamid yang memilih menjadi sukarelawan menguruskan jenazah pesakit COVID-19 di sebuah hospital melihat sendiri bagaimana pandemik memberi kesan buruk kepada manusia. - Foto Dwan Hamid

Dwan berkata, saban hari, kira-kira 100 jenazah dihantar ke pusat pengurusan jenazah di hospital terbabit.

"Setiap hari, ada sahaja jenazah dihantar. Saya nak cakap banyak mana pun, saya tidak tahu kerana memang banyak.

"Jumlah jenazah tidak menentu, kadang-kadang kurang 100 jenazah dan ada kalanya, lebih banyak jenazah dihantar.

"Kes kematian akibat COVID-19 ini adalah benar, bukan tipu. Saya nampak nyawa pesakit ditarik, depan mata," katanya yang bertugas dari jam 7 pagi hingga 9 malam.

Menceritakan skop tugasnya, Dwan berkata, pasukannya bertanggungjawab mengurus, membersih dan mengkafan jenazah pesakit COVID-19.

Ditanya mengenai elaun diterima, Dwan mengaku tidak memikirkan soal itu.

"Saya diberi elaun RM50 sehari. Namun, apa yang saya buat ini bukan untuk mendapatkan elaun semata-mata. Saya pegang niat untuk belajar dan mengumpul pahala.

"Paling penting, saya mahu menolong petugas barisan hadapan," katanya.

Dwan mengaku tugas menguruskan jenazah cukup mencabar apatah lagi berdepan risiko dijangkiti virus COVID-19.

"Setiap hari saya perlu berhati-hati. Saya perlu menukar kelengkapan pelindung diri (PPE) beberapa kali. Saya juga memakai tiga atau empat lapis sarung tangan.

"Pemakaian PPE ini tidak boleh diganti sehingga pengurusan satu jenazah selesai, jadi, memang berpeluh-peluh.

"Namun, apabila difikirkan minat dan niat, semua itu tidak menjadi alasan. Biarpun setiap hari mengangkat mayat yang jumlahnya bukan sedikit, letih itu tidak terasa kerana niat membantu orang," katanya.

Dwan Hamid bersama sukarelawan lain yang menguruskan kira-kira 100 jenazah pesakit COVID-19, setiap hari ke pusat pengurusan jenazah di hospitalnya bertugas. - Foto Dwan Hamid
Dwan Hamid bersama sukarelawan lain yang menguruskan kira-kira 100 jenazah pesakit COVID-19, setiap hari ke pusat pengurusan jenazah di hospitalnya bertugas. - Foto Dwan Hamid

Dwan berharap perkongsiannya itu mampu membuka mata ramai bahawa penularan COVID-19 adalah nyata dan perlu dikawal.

"Saya mahu mengingatkan orang ramai agar jaga keselamatan. Jangan ingat COVID-19 ini adalah benda main-main.

"Di hospital ini, dalam bilik air pun ada katil pesakit. Ini membuktikan penularan wabak ini serius. Angka penularan dan laporan dikeluarkan Kementerian Kesihatan adalah benar," katanya.

Dwan juga mahu memberi contoh baik kepada generasi muda untuk membantu pasukan petugas hadapan dengan menjadi sukarelawan terutama dalam pengurusan jenazah seperti dilakukannya.

"Saya dalam kategori belia. Saya kena tunjuk contoh baik kepada orang lain. Saya mahu menasihatkan belia, usah buang masa.

"Jika tiada pekerjaan sekarang, carilah peluang menjadi sukarelawan untuk membantu pasukan petugas hadapan.

"Sekarang, tenaga anak muda diperlukan terutama dalam melakukan kerja berat yang memerlukan kudrat orang muda," katanya.

Namun, Dwan melihat anak muda takut tampil ke hadapan kerana bimbang dijangkiti virus COVID-19 apabila bertugas.

"Jangkitan ini bukan kerja kita, ini kerja Allah. Namun, anak muda perlu didedahkan dengan tugas menguruskan jenazah kerana apabila sampai masa ibu bapa pergi, kita tahu apa yang perlu dibuat," katanya.

Berkongsi detik awal bertugas di pusat pengurusan jenazah, Dwan berkata, sebaik mendapat tahu ada kekosongan di jabatan terbabit, dia memohon pertukaran dari PPV ke hospital berkenaan.

"Saya memilih menjadi sukarelawan kerana sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) saya tidak boleh melakukan ceramah atau motivasi.

"Jadi, saya ambil peluang ini untuk membantu petugas barisan hadapan dan pada masa sama, mendalami agama.

"Sekurang-kurangnya, sebelum Allah tarik nyawa, saya boleh bagi sedikit sumbangan kepada agama," katanya.

Dilantik Ikon Belia oleh Kementerian Belia dan Sukan atas sumbangannya dalam bidang sukarelawan. Digelar Selebriti Ular Malaysia kerana kemampuannya menjinakkan ular. Antara drama lakonan Tanah Kubur dan Maaf Aku Tak Sempurna.

Berita Harian X