Selasa, 27 Julai 2021 | 4:43pm
Caprice meluahkan kesedihan dan rasa terkilan tidak dapat menunaikan beberapa janji kepada arwah nenek yang menghembuskan nafas terakhir, subuh tadi. - Foto IG Caprice
Caprice meluahkan kesedihan dan rasa terkilan tidak dapat menunaikan beberapa janji kepada arwah nenek yang menghembuskan nafas terakhir, subuh tadi. - Foto IG Caprice

Caprice tak sempat tunai janji pada arwah nenek

KUALA LUMPUR: Penyanyi Caprice, 32, berkongsi berita sedih pemergian arwah nenek tersayang, pagi ini.

Menerusi Instagram (IG), Caprice atau nama sebenar, Ariz Ramli yang masih berada di Kaherah, Mesir meluahkan kesedihan dan rasa terkilan tidak dapat menunaikan janji kepada arwah.

"Subuh ini, saya kehilangan arwah nenek. Saya kehilangan impian dan janji untuk menempatkan arwah bersama ibu bapa di Kuala Lumpur.

"Saya juga tidak berkesempatan menunaikan janji membawa jodoh dan anak-anak yang boleh membuatkan arwah berbangga.

"Saya minta maaf, saya tidak dapat menunaikan janji dan bersama arwah, hari ini. Al-Fatihah," tulisnya.

Menerusi perkongsian itu, Caprice tidak memaklumkan punca kematian arwah neneknya itu.

Caprice yang masih berada di Kaherah, Mesir tetap meneruskan misi kemanusiaan secara solo untuk membantu rakyat Palestin. - Foto IG Caprice
Caprice yang masih berada di Kaherah, Mesir tetap meneruskan misi kemanusiaan secara solo untuk membantu rakyat Palestin. - Foto IG Caprice

Terdahulu, beberapa jam sebelum berkongsi berita pemergian arwah, Caprice memaklumkan, dirinya berada dalam keadaan baik, meskipun ramai menganggapnya mempunyai masalah mental.

"Alhamdulillah Malaysia, saya okay dan berada dalam keadaan tenang sepanjang lima hari ini. Saya tahu ada melakukan salah apabila emosional, tetapi saya banyak berzikir bagi memastikan saya tenang.

"Saya selalu membaca buku dan berdoa. Saya cuba membaca sekurang-kurangnya satu babak kisah kehidupan Nabi Muhammad SAW.

"Semua ini mengingatkan kenapa saya berada di sini, Alhamdulillah saya okay," tulisnya.

Tambahnya, dia juga berkongsi dengan ustaz, keluarga dan rakan mengenai keadaannya di Mesir.

"Setiap hari saya akan bercakap dengan ustaz di Malaysia mengenai apa yang dilalui, dirasakan dan perancangan saya.

"Saya juga berkongsi bersama rakan perniagaan dan ibu. Alhamdulillah, semua menasihatkan saya meneruskan misi ini. Tiada siapa meminta saya pulang ke Malaysia sama ada ustaz, keluarga atau rakan-rakan. Saya akan sambung misi saya.

"Jadi Malaysia, saya okay dan terima kasih atas keprihatinan. Kepada mereka yang menyindir, memaki dan mencaci, insya-Allah perkara sebenar akan terdedah dengan sendiri. Saya tidak mempunyai apa-apa untuk diselindungi," katanya.

Berita Harian X