Sabtu, 24 Julai 2021 | 6:47pm
Awal Ashaari mengumumkan berita pengunduran diri daripada program hiburan popular dan sensasi, Melodi menerusi hantaran dalam laman Instagram (IG), petang ini. - Foto IG Awal Ashaari
Awal Ashaari mengumumkan berita pengunduran diri daripada program hiburan popular dan sensasi, Melodi menerusi hantaran dalam laman Instagram (IG), petang ini. - Foto IG Awal Ashaari

'Selamat tinggal Melodi'

KUALA LUMPUR: Pengacara popular, Awal Ashaari mengesahkan khidmatnya dengan rakan gandingan, Janna Nick selaku hos program hiburan popular, Melodi berakhir, semalam.

Rakaman program Melodi minggu ini menjadi episod terakhir buat mereka.

Memikul tanggungjawab selaku hos program Melodi sejak 2012, Awal mengakui, sedih untuk mengumumkan berita pengunduran ini.

"Ucap selamat tinggal paling sukar apabila anda tidak dapat mengungkapkannya.

"Dua minggu yang cukup sugul buat saya. Ikutkan hati, saya mahu mendiamkan diri, tetapi ramai sudah bertanya, jadi tidak baik membiarkan peminat dan rakan media berteka-teki.

"Semalam (Jumaat) adalah hari terakhir saya bersama program Melodi. Sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kami hanya bersiaran secara virtual. Dan, petang semalam adalah rakaman terakhir saya bersama Janna dari rumah masing-masing.

"Stesen televisyen mengambil keputusan menggantikan pengacara sedia ada dengan 'In-house Talent' bernaung di bawah Media Prima Berhad (MPB) mulai Ogos depan sebagaimana kami diberitahu.

"Dua minggu diberikan untuk kami menghabiskan dua episod terakhir sebelum program Melodi memperkenalkan hos baharu," katanya.

Awal mengumumkan berita pengunduran diri daripada program hiburan popular dan sensasi itu menerusi hantaran dalam laman Instagram (IG), petang ini.

Awal berkata, dia percaya kepada rezeki, qada dan qadar.

"Bukanlah niat menongkat langit. Namun, usia lapan tahun sudah cukup untuk mana-mana pengacara menjadi matang dan beroleh kepuasan dalam program kendalian mereka.

"Saya reda, sedikitpun tidak terasa hati," ungkapnya.

Awal Ashaari mendoakan program Melodi kekal utuh sebagai program hiburan nombor satu di Malaysia. - Foto IG Awal Ashaari
Awal Ashaari mendoakan program Melodi kekal utuh sebagai program hiburan nombor satu di Malaysia. - Foto IG Awal Ashaari

Awal berkata, dia melakukan pendedahan dalam IG sebelum mengatur langkah ke fasa baharu dalam kehidupan.

"Saya berterima kasih kepada enam penerbit dan enam hos silih berganti bersama saya sepanjang lapan tahun ini.

"Mereka adalah Muhammad Sufian Che Isa, Azman Abdul Ghaffar, Jamil Hassan, Michelle Wee dan Noradillah Abdullah (Adeed). Terima kasih mempercayai bakat dan mencurahkan segala ilmu selama ini.

"Juga rakan gandingan seperti Datuk Dira Abu Zahar, Zizan Razak, Sherry Alhadad, Zulin Aziz, AG Azmeer dan Janna. Tidak lupa, keluarga kecil Melodi, Nik Syafiq Hadhari, Nurul Izza Safar, Suhairiyah Zahrih, Josephine Phen, Nuraisyah Maswan, Nadia Mukhsil, abang teknikal dan semua yang bertungkus lumus memastikan Melodi dapat bersiaran secara langsung setiap Ahad, selama ini.

"Buat penonton Melodi dari mula saya bersiaran hingga episod akhir, esok, terima kasih tidak terhingga diucapkan.

"Saya minta maaf sekiranya ada salah silap sepanjang mengendalikan Melodi," tulisnya.

Awal turut berterima kasih kepada pengurusan MPB kerana memberi peluang kepadanya menjadi sebahagian legasi program hiburan popular itu.

"Ini adalah pencapaian terbaik sepanjang kerjaya saya. Dari kecil, saya tengok Melodi, semua idola saya pernah mengacarakan program ini. Apabila dapat mengacarakan Melodi, ia satu pengiktirafan cukup besar buat saya.

"Kepada bakal pengganti saya di Melodi, tahniah. Saya yakin awak mampu menggalas tanggungjawab ini. Melodi bukan sekadar kerjaya, tetapi tanggungjawab dan legasi yang diamanahkan kepada setiap pengacara.

"Saya mendoakan Melodi akan kekal utuh sebagai program hiburan nombor satu di Malaysia.

"Buat terakhir kalinya, tingkatkan prestasi, kurangkan kontroversi, berdiri atas bakat sendiri," tulisnya.

Berita Harian X