Sabtu, 24 Julai 2021 | 1:00pm
Aidil bersyukur mempunyai pendapatan sampingan melalui perniagaan yang diusahakan. Foto IG Aidil Aziz
Aidil bersyukur mempunyai pendapatan sampingan melalui perniagaan yang diusahakan. Foto IG Aidil Aziz

Aidil bersyukur dah kahwin

KUALA LUMPUR: Pelakon Aidil Aziz mengaku kehadiran isteri dan anak-anak membantu mengalihkan tumpuan daripada terlalu memikirkan angka penularan COVID-19 yang kian membimbangkan.

Suami aktres jelita, Fasha Sandha ini memberitahu, masa di rumah banyak diisi dengan pelbagai aktiviti berfaedah seperti solat berjemaah, bersukan dan membantu proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dua anak, Putra Rayfal Ramli, 8, dan Putri Raysha Jemyma, 6.

Masa juga diisi dengan membantu Fasha menguruskan keperluan si kecil Aisha Amaira yang berusia 11 bulan.

Aidil tidak dapat membayangkan bagaimana individu bujang berdepan situasi yang melanda negara ini sekarang, bersendirian.

"Saya bersyukur sudah berkahwin, sekurang-kurangnya ada tempat untuk saya mengalihkan perhatian sekali gus mengelak daripada mengalami kemurungan.

"Saya tidak dapat bayangkan mereka yang berstatus bujang berdepan dengan keadaan yang cukup menekan sekarang.

"Masalah kesihatan mental tidak seharusnya di pandang ringan kerana boleh membawa maut. Apabila bersama keluarga, masa banyak diisi dengan pelbagai aktiviti.

Aidil, Fasha dan anak-anak banyak mengisi masa dengan kegiatan berfaedah di rumah. Foto IG Fasha Sandha
Aidil, Fasha dan anak-anak banyak mengisi masa dengan kegiatan berfaedah di rumah. Foto IG Fasha Sandha

"Jadi dapat mencegah daripada terjadinya kemurungan," katanya kepada BH Online.

Aidil yang muncul dalam drama Suara Hati yang disiarkan Astro Prima tidak menafikan pandemik COVID-19 memberi kesan kepada karier seninya.

Namun, Aidil bersyukur tidak bergantung 100 peratus kepada bidang lakonan kerana menjana pendapatan tambahan melalui perniagaan yang diusahakan.

"Dengan angka jangkitan mencecah tahap membimbangkan, ini bukanlah masa yang sesuai untuk kita keluar bekerja.

"Apatah lagi, saya ada anak-anak yang masih kecil dan keluarga di rumah, jadi amatlah berisiko jika terpaksa keluar bekerja," katanya yang simpati dengan nasib sesetengah artis dan kru belakang tabir yang tiada pendapatan sampingan.

Berita Harian X