Jumaat, 23 Julai 2021 | 2:15pm
Khairul Anwar menjelaskan kerja menyambung penggambaran drama tertangguh di TV3 dan TV9 akan dilakukan mengikut SOP ketat dan dipantau FINAS. Foto Ihsan TV3
Khairul Anwar menjelaskan kerja menyambung penggambaran drama tertangguh di TV3 dan TV9 akan dilakukan mengikut SOP ketat dan dipantau FINAS. Foto Ihsan TV3

Drama 'tergantung' TV3, TV9 bakal disambung

KUALA LUMPUR: Keputusan kerajaan memberi kebenaran kepada aktiviti penggambaran di luar studio memberi sinar baharu kepada beberapa produksi drama TV3 dan TV9 yang terhenti penggambaran.

Syarat penting untuk menyambung penggambaran adalah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketat di bawah Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan dikawal selia Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).

Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian Televisyen Media Prima & Primeworks Studios, Datuk Khairul Anwar Salleh, berkata, pihaknya bersyukur rayuan penerbit untuk menyambung kerja penggambaran termakbul.

"Kami menyambut baik keputusan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kerana memahami dan prihatin dengan situasi kami dan apa yang syarikat penerbitan alami.

"Untuk merealisasikan perkara ini, Rangkaian Televisyen Media Prima mengambil inisiatif menyediakan program suntikan vaksin COVID-19 kepada kru penerbitan yang terbabit dengan penggambaran drama yang tertunda di TV3 dan TV9.

"Untuk keselamatan semua, penggambaran drama terbabit akan dikawal selia FINAS dengan mematuhi SOP ketat yang disediakan Majlis Keselamatan Negara (MKN)," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Khairul Anwar berkata, paling penting setiap tenaga produksi perlu mendapatkan dua dos suntikan vaksin COVID-19 serta menjalani saringan kesihatan sebelum, semasa dan selepas tamat penggambaran.

"Ini penting untuk kita di Malaysia mencapai imuniti kelompok dan mampu mengurangkan kadar jangkitan COVID-19," katanya.

Berita Harian X