Jumaat, 23 Julai 2021 | 1:00pm
Presiden KARYAWAN, Datuk Freddie Fernandez minta Perbadanan Industri Muzik Malaysia (PIMM) berusaha menyelesaikan masalah dihadapi penggerak industri dalam soal kutipan royalti muzik.
Presiden KARYAWAN, Datuk Freddie Fernandez minta Perbadanan Industri Muzik Malaysia (PIMM) berusaha menyelesaikan masalah dihadapi penggerak industri dalam soal kutipan royalti muzik.

Rancak, pulih semula industri

KUALA LUMPUR: Perbadanan Industri Muzik Malaysia (PIMM) disaran mengembangkan program pemulihan industri muzik yang meletakkan asas memulakan semula ekonomi muzik serta mengambil tindakan perlu bagi memastikan langkah dan strategi tercapai.

Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN), Datuk Freddie Fernandez, berkata industri muzik berdepan cabaran terkini dengan penggeraknya yang bergelut menyesuaikan diri dengan perubahan persekitaran perniagaan serta perkembangan baharu dalam teknik muzik dicipta, dipasar dan digunakan.

"Selain itu, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pelbagai peringkat yang dilalui sejak 18 bulan lalu mengakibatkan peluang persembahan muzik secara langsung terus hilang dengan pembatalan konsert dan penutupan kelab muzik serta pub untuk jangka masa panjang.

"Ramai yang menggunakan persembahan maya untuk mencuba menambah pendapatan tetapi sambutan terhadap usaha ini amat mengecewakan.

"Pengangguran berleluasa dan ramai pengamal muzik terpaksa beralih kepada pekerjaan lain untuk menampung kos hidup mereka.

"Ramai penggiat muzik yang menjual barang dan alat muzik sementara yang lain mencari rezeki dalam khidmat penghantaran makanan untuk memenuhi kos hidup," katanya dalam kenyataan.

Freddie berkata, inisiatif Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) menganjurkan program hiburan virtual, Muzik Dari Rumah bagi membantu pemuzik memerlukan sangat dihargai penggiat industri.

"Namun, perlu diingatkan selain pelaku, ada keseluruhan ekosistem industri yang membabitkan puluhan ribu orang iaitu daripada penganjur persembahan, pembekal peralatan, kelab, pub dan individu yang dilantik mereka yang telah terjejas teruk akibat penguatkuasaan PKP," katanya.

Freddie berkata, PIMM juga perlu berusaha menyelesaikan beberapa masalah yang dihadapi penggerak industri dalam soal kutipan royalti muzik.

"Terlalu banyak perubahan dalam sistem kutipan mengakibatkan kekeliruan dalam hal kutipan royalti.

"Dari pelbagai badan yang diberi lesen kepada sistem badan tunggal dan sekarang kembali kepada beberapa badan, perkembangan ini menimbulkan kekeliruan dan gangguan pasaran," katanya.

Freddie berkata, aspek pembangunan semula industri dianggap paling penting dan perlu dirancang teliti.

"Disebabkan kita mula dari bawah sekali lagi, ini adalah peluang yang baik bagi badan baharu untuk membantu industri muzik meningkatkan kemahiran dan mengendalikan kursus untuk generasi masa depan.

"Ini dilakukan dengan memberi perhatian kepada muka baharu dengan harapan dapat memanfaatkan bakat mereka untuk mencipta nama," katanya.

Selain itu, Freddie berkata, perhatian wajar perlu diberi kepada kualiti komposisi, susunan muzik, kualiti penerbitan, pengadunan dan mastering menggunakan teknologi terkini serta aliran pendapatan baharu untuk industri ini.

"Program latihan, seminar dan bengkel harus diadakan secara berkala untuk membantu pemain baru membiasakan diri dengan teknik terkini dalam teknologi muzik.

"Mereka juga harus diberi bimbingan mengenai kaedah baharu pemasaran muzik, menggunakan media sosial sebagai saluran pemasaran baharu dan memanfaatkan media baharu untuk menarik perhatian peminat muzik terhadap produk mereka," katanya.

Freddie berkata, KARYAWAN berharap KKMM dapat memastikan calon berkaliber dan berpengetahuan luas dalam industri muzik dilantik untuk menerajui PIMM agar dapat menyumbang kepada kesejahteraan jangka panjang industri muzik Malaysia.

Isnin lalu, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah mengumumkan penubuhan PIMM yang meletakkan ekosistem industri muzik kepada tiga bahagian utama iaitu penghasilan, persembahan dan pendidikan.

Enam objektif utama penubuhan PIMM digariskan antaranya menjadi badan khusus merangka dan memastikan pembangunan industri muzik yang diselaraskan secara holistik dengan sinergi pelbagai pihak.

Berita Harian X