Khamis, 22 Julai 2021 | 8:30am
Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Ahmad Idham Ahmad Nadzri memaklumkan aktiviti penggambaran belum dibuka secara menyeluruh bagi mengimbangi faktor ekonomi dan keselamatan pelaku. - Foto FINAS
Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Ahmad Idham Ahmad Nadzri memaklumkan aktiviti penggambaran belum dibuka secara menyeluruh bagi mengimbangi faktor ekonomi dan keselamatan pelaku. - Foto FINAS

Kebenaran sambung 'shooting' sahaja

KUALA LUMPUR: Kebenaran melakukan aktiviti penggambaran di luar studio hanya dibuat berperingkat dengan tertakluk kepada syarikat penerbitan yang mempunyai baki kerja atau 'job' tertangguh, bukan untuk penghasilan produk baharu.

Selain itu, semua pekerja termasuk artis dan kru diwajibkan melengkapkan dua dos suntikan vaksin COVID-19 sebagai syarat kembali ke lokasi penggambaran.

Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Ahmad Idham Ahmad Nadzri berkata, aktiviti penggambaran belum dibuka secara menyeluruh bagi mengimbangi faktor ekonomi dan keselamatan pelaku.

"Pada asasnya, kerja penggambaran belum dibenarkan pada fasa kedua, sebaliknya, pada fasa ketiga dan keempat.

"Tetapi, atas inisiatif Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) dan FINAS, kami merayu kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) memberi kebenaran agar penerbit yang tertekan kerana penggambaran tersangkut, boleh menyelesaikan kerja tertangguh," katanya kepada BH Online.

Sebelum ini, kerajaan dilaporkan memberi kebenaran aktiviti penggambaran di luar studio dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ketat pada fasa kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah dilaporkan berkata, kelulusan aktiviti penggambaran pada fasa kedua PPN berpandukan kepada pelaksanaan syarat ketat di bawah Protokol Gelembung Penggambaran (PREP) yang dikawal selia FINAS.

Kelulusan aktiviti penggambaran pada fasa kedua PPN berpandukan kepada pelaksanaan syarat ketat di bawah Protokol Gelembung Penggambaran (PREP) yang dikawal selia FINAS. - Foto FINAS
Kelulusan aktiviti penggambaran pada fasa kedua PPN berpandukan kepada pelaksanaan syarat ketat di bawah Protokol Gelembung Penggambaran (PREP) yang dikawal selia FINAS. - Foto FINAS

Ahmad Idham berkata, sebelum ini, ramai penerbit mengambil mudah dan tidak bertanggungjawab hingga wujudnya penularan dalam kalangan pelakon serta tenaga produksi.

"Malah, ada syarikat produksi beroperasi tanpa lesen. FINAS terpaksa bersikap lebih tegas kali ini dengan membuat pemantauan lebih ketat aktiviti 'shooting' kemungkinan setiap hari.

"Disebabkan itu, kita masih belum boleh membuka penggambaran kepada semua syarikat produksi. Kita hanya fokus kepada syarikat penerbitan berskala kecil.

"Penggambaran filem dan sebagainya masih belum dibenarkan. Projek ini membabitkan ramai orang dan ada kecenderungan mencetuskan risiko lebih besar," katanya.

Ahmad Idham berkata, FINAS tidak berkompromi dengan syarat berkaitan dua dos suntikan vaksin bagi syarikat produksi yang mahu menyambung kerja penggambaran.

"Mana-mana syarikat produksi yang gagal memenuhi garis panduan berhubung vaksin tidak akan dibenarkan memulakan penggambaran.

"Tiada kelonggaran untuk fasa kedua PPN kerana pada asasnya, kita tidak membenarkan kerja penggambaran. Jadi, kita memperketatkan SOP bagi memastikan ekonomi bergerak," katanya.

Berita Harian X