Rabu, 21 Julai 2021 | 5:00pm
Hati Nabil Ahmad meruntun mendengar luahan pelakon dan kru berada dalam kesempitan hidup disebabkan hilang punca pendapatan akibat penularan pandemik COVID-19. - Foto KMN Production
Hati Nabil Ahmad meruntun mendengar luahan pelakon dan kru berada dalam kesempitan hidup disebabkan hilang punca pendapatan akibat penularan pandemik COVID-19. - Foto KMN Production

Nabil beri bonus bantu pelakon, kru terjejas pandemik

KUALA LUMPUR: Pengacara dan pelawak popular, Nabil Ahmad, 37, akan memberikan habuan kepada pelakon dan kru filem pertama arahannya, Mat Bond Malaya sekiranya berjaya mencapai kutipan pecah panggung sebanyak RM10 juta.

Mat Bond Malaya, filem pertama terbitan syarikatnya, KMN Production mengetengahkan Naqiu dan Elizabeth Tan selaku teraju utama, selain membariskan nama besar seperti Datuk Yusof Haslam, Datuk Ramli MS, Datuk Seri Alif Syukri, Mamat Khalid, Michael Ang, Ghaz Abu Bakar, Aziz M Osman, Didie Alias, Ning Baizura, Syafiq Kyle sebagai penampilan khas.

Turut membintangi, Riezman Khuzaimi, Azri Iskandar, Farid Azmeir, Amyza Aznan, Aloy Paradoks, Achey, Mamak Puteh, Reza Hasbi dan Han Byul.

Selain bergelar penerbit dan pengarah, Nabil juga bertindak selaku penulis skrip dan lakon layar untuk filem Mat Bond Malaya yang menemui penonton menerusi saluran Astro First pada Aidiladha, semalam.

Nabil berkata, pemberian wang bonus sudah dimaklumkan kepada pelakon dan kru produksi dalam satu majlis selepas selesai penggambaran, tahun lalu.

Bagaimanapun, katanya, awalnya bercadang membayar sekali ganda daripada upah diterima setiap pelakon dan kru sekiranya filem bertemakan aksi dan komedi itu berjaya meraih kutipan RM20 juta di pawagam.

Namun, Nabil berkata, dia terpaksa memilih platform Astro First sebagai pilihan disebabkan pawagam masih belum beroperasi sejak pandemik COVID-19 menular.

Justeru, katanya, dia bimbang tidak mencapai angka sasaran menyebabkannya terpaksa merombak semula perjanjian.

"Saya sudah berbincang dengan rakan kongsi mengenai pemberian bonus kepada pelakon dan kru produksi. Hasil perbincangan, kami sepakat memberikan bonus sekiranya filem Mat Bond Malaya berjaya mencatat kutipan RM10 juta sebagai tanda penghargaan atas kesudian mereka yang tidak berkira dalam menjayakan filem ini.

"Jujurnya, saya tidak mempunyai bajet apabila mengundang nama besar seperti Ramli, Yusof, Mamat, Michael, Ghaz, Aziz, Alif Syukri, Didie dan ramai lagi sebagai kemunculan khas dalam filem Mat Bond Malaya ini, tetapi mereka menerima pelawaan saya atas dasar kawan.

"Jadi, saya berjanji akan memberikan bonus jika filem ini berjaya mencapai sasaran. Secara kebetulan, ramai kru yang terkesan disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara (PPN)," katanya kepada BH Online.

Syarikat penerbitan, KMN Production mengetengahkan Naqiu dan Elizabeth Tan selaku teraju utama filem Mat Bond Malaya. - KMN Production
Syarikat penerbitan, KMN Production mengetengahkan Naqiu dan Elizabeth Tan selaku teraju utama filem Mat Bond Malaya. - KMN Production

Anak kelahiran Mambau, Negeri Sembilan itu berkata, hatinya lebih meruntun sedih apabila ada kru mengadu dalam kesempitan hidup disebabkan berbulan-bulan hilang punca pendapatan.

"Kebanyakannya tidak mampu menyelesaikan komitmen bulanan, jadi ia menyebabkan saya bertambah nekad untuk memberikan bonus walaupun filem ini tidak berjaya diketengahkan di pawagam seperti diharapkan," katanya.

Tidak mahu filem pertama arahannya diperam lama, Nabil berkata, dia memilih platform Astro First untuk menayangkan filem berkenaan.

Bagaimanapun, Nabil tidak menafikan perasaan terkilannya apabila tidak dapat melihat karya pertamanya ditayangkan di layar lebar.

Ini kerana, Nabil berkata, dia memperuntukkan bajet dan kelengkapan peralatan mengikut kelulusan tayangan di pawagam. Justeru tentunya timbul rasa terkilan, namun akur dengan situasi semasa dalam pandemik.

Jauh di sudut hati, Nabil berharap, kutipan filem Mat Bond Malaya mampu mengembalikan pulangan modal.

"Awalnya, saya agak terkesan kerana bajet dan peralatan digunakan mengikut kelulusan panggung wayang. Namun, keadaan memaksa saya menggunakan platform Astro First, asalkan filem Mat Bond Malaya dikeluarkan selepas lebih setahun terperam.

"Penonton filem ini bertuah kerana hasil yang diberikan untuk tayangan Astro First berkualiti.

"Sebenarnya, saya hampir ingin mendaftar untuk mendapatkan slot tayangan ketika pawagam dibuka tempoh hari seketika. Malangnya, pawagam kembali ditutup.

"Saya juga sudah menyiapkan beberapa skrip lagi. Insya-Allah jika penggambaran dibenarkan sambung semula, saya bercadang menyambung sekuel filem ini," kata Nabil.

Datuk Yusof Haslam antara nama besar yang turut membintangi filem Mat Bond Malaya arahan Nabil Ahmad. - Foto KMN Production
Datuk Yusof Haslam antara nama besar yang turut membintangi filem Mat Bond Malaya arahan Nabil Ahmad. - Foto KMN Production

Katanya, dia tidak mengambil masa yang panjang untuk menyelesaikan penggambaran filem Mat Bond Malaya.

"Secara keseluruhan, penggambaran hanya mengambil masa sekitar 25 hari. Malah, saya memastikan penggambaran selesai sehingga jam 6 petang kecuali jika keadaan benar-benar memerlukan bagi memastikan pelakon tidak penat dan dapat mengekalkan momentum, setiap hari.

"Kisah Mat Bond Malaya ini sudah lama ada dalam kepala saya. Secara kebetulan, saya mendapat pasukan kru balik tabir yang sangat bagus termasuklah barisan pelakon.

"Kebiasaannya, proses penggambaran filem akan bermula dari pagi hingga pagi. Tetapi, berbeza dengan produksi saya, penggambaran selesai pada petang," katanya yang selesai menjalani penggambaran seminggu sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 dilaksanakan.

Mat Bond Malaya mengisahkan Mat ingin menjadi ejen perisik di M6. Dengan bantuan ibunya, Mat berjaya bekerja di M6 sebagai budak pejabat. Pada masa sama, Mat mula menyukai seorang ejen cantik bernama Bondi. Mat dicabar oleh G untuk mengambil gambar bersama Bondi.

Namun, Mat tidak berjaya. Disebabkan kalah dalam pertaruhan, Mat terpaksa menjadi pembantu peribadi G dalam menguruskan bahagian penyamaran identiti.

Suatu hari, dunia digemparkan dengan serangan virus zombi yang disebarkan Dr Ebel. Ramai terkena virus itu termasuk Bondi dan ejen M6.

Mat tiada pilihan melainkan mencari penawar bagi menyelamatkan ejen M6 yang dijangkiti, sebelum virus itu merebak ke seluruh dunia.

Berita Harian X