Selasa, 20 Julai 2021 | 9:06pm
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah memaklumkan aktiviti penggambaran boleh dijalankan di negeri yang berada dalam Fasa Dua dan membabitkan lokasi atau premis penggambaran luar studio. - Foto NSTP
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah memaklumkan aktiviti penggambaran boleh dijalankan di negeri yang berada dalam Fasa Dua dan membabitkan lokasi atau premis penggambaran luar studio. - Foto NSTP

Kebenaran penggambaran luar pada Fasa Dua PPN

KUALA LUMPUR: Kerajaan meluluskan kebenaran aktiviti penggambaran di luar studio dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ketat pada Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) seperti yang diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kelmarin.

Keputusan ini adalah usaha berterusan kerajaan merangsang kelangsungan ekonomi warga penggiat seni kreatif melalui daya saing pengeluaran produk dan peluang pekerjaan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, kelulusan aktiviti penggambaran pada Fasa Dua PPN berpandukan kepada pelaksanaan syarat ketat di bawah Protokol Gelembung Penggambaran (PREP) yang dikawal selia oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).

"Inisiatif PREP ini adalah kawalan bersepadu aktiviti penggambaran yang bergerak dalam zon gelembung terasing, terkawal dan terhad melalui pematuhan syarat utama di bawah kelulusan Surat Perakuan Penggambaran Filem Khas (SPP Khas) FINAS.

"Ia membabitkan syarikat produksi drama, iklan dan dokumentari yang sebelum ini menangguhkan penggambaran kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam Fasa Satu PPN.

"Aktiviti penggambaran hanya boleh dijalankan di negeri yang berada dalam Fasa Dua dan membabitkan lokasi atau premis penggambaran luar studio.

"Syarikat produksi boleh menggunakan mana-mana lokasi atau premis dengan syarat ia mempunyai jarak zon penampan (buffer zone) daripada kawasan penempatan dan perlu mendapat kelulusan pihak berkuasa," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, petang ini.

Syarikat produksi boleh menggunakan lokasi atau premis dengan syarat ia mempunyai jarak zon penampan daripada kawasan penempatan dan perlu mendapat kelulusan pihak berkuasa. - Gambar Hiasan
Syarikat produksi boleh menggunakan lokasi atau premis dengan syarat ia mempunyai jarak zon penampan daripada kawasan penempatan dan perlu mendapat kelulusan pihak berkuasa. - Gambar Hiasan

Saifuddin berkata, aktiviti penggambaran dilaksanakan dengan kaedah PREP yang membabitkan jumlah tenaga produksi yang minima dan tidak dibenarkan keluar daripada radius zon penggambaran sehingga tamat penggambaran.

"Untuk tujuan ini, syarikat produksi mempunyai tempoh bertenang yang ditetapkan sebelum dibenarkan untuk penggambaran baharu.

"Penguatkuasaan aspek kawalan risiko dengan kebenaran hanya diberikan kepada tenaga produksi yang lengkap dua dos suntikan vaksin COVID-19, menjalani saringan kesihatan sebelum, semasa dan selepas tamat penggambaran.

"Syarikat produksi perlu melantik Penyelia Protokol Penggambaran (PPP) yang bertanggungjawab bagi pematuhan SOP yang ditetapkan kerajaan.

"Saya menyeru syarikat produksi sentiasa mematuhi syarat yang dinyatakan bagi mengelakkan implikasi perundangan, keselamatan dan kesihatan khususnya dalam usaha kerajaan memerangi pandemik COVID," katanya.

Sehubungan itu, butiran lanjut mengenai SOP dan garis panduan boleh didapati menerusi laman sesawang KKMM di www.kkmm.gov.my dan FINAS di www.finas.gov.my.

Sebarang pertanyaan lanjut boleh menghubungi FINAS dalam talian 03-41041300 atau e-mel di info@finas.my.

Berita Harian X