Selasa, 20 Julai 2021 | 1:00pm
Penggambaran filem Zombitopia dilakukan lima tahun lalu ketika Elvina Mohamad baru menceburkan diri dalam bidang lakonan.
Penggambaran filem Zombitopia dilakukan lima tahun lalu ketika Elvina Mohamad baru menceburkan diri dalam bidang lakonan.

Elvina malu terkam Sam dalam Zombitopia

KUALA LUMPUR: Kali pertama diperkenalkan di layar perak menerusi filem Zombitopia, pelakon Datin Elvina Mohamad mengaku dirinya dihambat rasa gementar.

Bukan kerana perlu menempuh pengalaman baharu di lokasi, menurut Elvina, perasaan itu timbul apabila digandingkan dengan pelakon gred A seperti Shaheizy Sam, Bront Palarae dan Sharifah Amani.

Sebagai aktres yang masih hijau ketika itu, pastinya terbit rasa rendah diri dan sangsi dengan kebolehan diri. Hatinya tertanya apakah mampu memberi terbaik dalam naskhah arahan Woo Ming Jin itu.

Walaupun bertarung dengan perasaan sendiri, Elvina atau nama sebenar, Norzalina Mohamad mengaku, segala keraguan yang timbul lenyap apabila setiap pelakon memberi kerjasama dan semangat kepada dirinya.

"Penggambaran filem Zombitopia dilakukan lima tahun lalu. Pada masa itu, saya baru menceburkan diri dalam bidang lakonan... Pengalaman pun tak banyak.

"Apabila dikelilingi pelakon hebat, sudah tentu saya rendah diri dan sedikit kekok. Dalam filem ini, saya banyak bersama Sam. Ada babak dalam filem itu memerlukan saya menerkamnya.

"Ketika itu, saya malu dan teragak-agak melakukannya. Namun, Sam banyak beri tunjuk ajar dan membuatkan saya selesa," kata Elvina kepada BH Online.

Berkongsi cabaran yang dihadapi, pelakon drama rantaian Takdir Yang Tertulis ini mengaku karakter bernama Zooey menguji kemampuannya.

"Zooey adalah separuh zombi separuh manusia. Bayangkan, saya perlu tukar emosi untuk disesuaikan dengan watak mayat hidup itu. Bukan mudah melakukannya lebih-lebih lagi untuk pelakon baharu seperti saya.

"Selain itu, babak saya banyak membabitkan imej janaan berkomputer (CGI). Jadi, ada ketika, saya kena bayangkan sesuatu yang tidak nampak.

"Pernah berlaku, ketika saya membayangkan babak dikejar dinasor, saya terlanggar kamera yang berada di depan hingga gusi koyak," kata pelakon berusia 26 tahun ini.

Elvina Mohamad gementar digandingkan dengan pelakon gred A seperti Shaheizy Sam, Bront Palarae dan Sharifah Amani dalam filem Zombitopia
Elvina Mohamad gementar digandingkan dengan pelakon gred A seperti Shaheizy Sam, Bront Palarae dan Sharifah Amani dalam filem Zombitopia

Zombitopia terbitan Greenlight Pictures & Lomo Pictures sudah menemui penonton di saluran penstriman pada 2 Julai lalu.

Dalam perkembangan lain, Elvina memberitahu, ketika ini, aktiviti lakonannya terpaksa dihentikan seketika berikutan pelaksanaan Fasa Pertama Pelan Pemulihan Negara (PPN). Ini membuatkan jadual seninya kucar-kacir.

"Saya dapat tawaran berlakon filem. Sepatutnya, saya masuk lokasi, bulan lalu. Namun, disebabkan PPN, penggambaran terpaksa ditangguhkan.

"Selain itu, saya terbabit dalam projek drama bersiri untuk Netflix dan drama slot Samarinda. Apabila semua tertangguh, saya kena rombak jadual.

"Saya difahamkan, selepas PKP tamat, produksi untuk tiga projek saya ini akan bermula serentak.

"Ini membuatkan saya dalam dilema. Tidak mahu saya terkejar-kejar. Jika mengikut perancangan awal, perkara seperti ini tidak akan berlaku.

"Jika keadaan memaksa, mungkin saya terpaksa buat pilihan projek mana yang hendak dipilih. Saya tidak mahu percanggahan jadual itu menyusahkan banyak pihak," katanya.

Berita Harian X