Selasa, 20 Julai 2021 | 8:02am
Saifuddin percaya penubuhan PIMM mampu memperkasakan ekosistem muzik tempatan dan meningkatkan potensinya. Foto Ihsan FINAS
Saifuddin percaya penubuhan PIMM mampu memperkasakan ekosistem muzik tempatan dan meningkatkan potensinya. Foto Ihsan FINAS

Badan khas industri muzik ditubuh

KUALA LUMPUR: Penantian penggiat muzik tempatan melihat badan khas diwujudkan sebagai jaminan masa depan berakhir apabila Kabinet meluluskan penubuhan Perbadanan Industri Muzik Malaysia (PIMM).

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah, berkata keputusan yang dibuat Kabinet, Rabu lalu itu mampu memperkasakan ekosistem muzik tempatan.

"Kalau kita lihat hari ini, tidak ada satu pun agensi atau badan khusus di peringkat nasional yang menguruskan hal ehwal pembangunan industri muzik.

"Sebaliknya, perkara itu diuruskan secara langsung atau tidak langsung enam kementerian.

Saifuddin pada majlis ramah mesra bersama penerima dana industri muzik membiayai program HDR di bawah PRISMA secara virtual, semalam.
Saifuddin pada majlis ramah mesra bersama penerima dana industri muzik membiayai program HDR di bawah PRISMA secara virtual, semalam.

"Selain itu, diperhatikan selama ini, landskap muzik tanah air banyak mengecapi kejayaan. Namun, kalaulah ada ekosistem industri muzik yang lebih teratur, tentulah kejayaan itu boleh dilipat gandakan," katanya pada majlis ramah mesra penerima dana industri muzik bagi program Hiburan Dari Rumah (HDR) di bawah Pakej Rangsangan Industri Kreatif Malaysia (PRISMA) secara virtual, semalam.

Saifuddin berkata, PIMM meletakkan ekosistem industri muzik kepada tiga bahagian utama iaitu penghasilan, persembahan dan pendidikan.

Tambahnya, enam objektif utama penubuhan PIMM digariskan antaranya menjadi badan khusus merangka dan memastikan pembangunan industri muzik yang diselaraskan secara holistik dengan sinergi pelbagai pihak.

"Badan ini juga berfungsi sebagai pemudah cara dan memberi khidmat nasihat dalam membantu permasalahan, kebajikan dan perlindungan hak pemain industri muzik agar ditangani secara kolektif dan harmoni," katanya.

Saifuddin berkata, PIMM bertanggungjawab menyelaras infrastruktur sektor muzik selain mengurus agihan insentif kewangan serta dana bagi tujuan pengembangan industri dan penggiatnya.

"Kita mahu badan ini menjadi pusat maklumat industri muzik negara agar kita tahu bilangan pemain muzik dan jumlah pendapatan sektor ini yang boleh dirujuk untuk tujuan penyelidikan serta perancangan masa depan.

"Apabila sudah ada badan ini, secara tidak langsung, misi Road To Grammy dan hasrat menjadikan Malaysia pusat nasyid kontemporari dunia yang pernah disuarakan sebelum ini, akan menjadi kenyataan," katanya.

Saifuddin berharap penubuhan PIMM mampu mengatasi permasalahan yang dianggap sudah menjadi barah dalam industri muzik.

"Cabaran itu adalah soal royalti, hak cipta, cetak rompak, isu platform persembahan, promosi dan masalah dihadapi penggiat seni yang terkesan dengan pandemik COVID-19.

"Ini termasuk pembangunan modal insan dan kapasiti, isu teknologi, inovasi serta perspektif masyarakat terhadap industri muzik," katanya.

Bagi memastikan PPIM diuruskan dengan baik, kementerian akan melantik kalangan profesional yang memiliki pengalaman luas dalam industri muzik.

"Kementerian sedang dalam proses melantik jawatankuasa interim yang akan menjadi peneraju Lembaga Pengarah PIMM.

"Kami akan berunding dengan individu berpotensi. Kami akan pastikan mereka yang terpilih adalah dalam kalangan anggota kerajaan, ahli akademik dan warga industri," katanya.

Mengenai perancangan jangka panjang PIMM, Saifuddin berkata, dua perkara diberi perhatian iaitu penubuhan Kumpulan Wang PPIM dan Akta Muzik.

"Kumpulan Wang PIMM ini adalah untuk membiayai aktiviti pembangunan industri muzik dan persembahan.

"Namun, pembiayaan ini bukan sekarang. Buat masa ini, kita bergantung kepada Dana Kandungan Kreatif (DKD).

"Kita juga menimbang keperluan mewujudkan Akta Muzik. Kami tidak mahu terburu-buru mewujudkannya kerana tujuan kita bukan hendak jadi penggubal undang-undang, sebaliknya, mahu membangunkan muzik," katanya.

Berita Harian X