Jumaat, 9 Julai 2021 | 8:30am
FINAS merancang program pemberian vaksin COVID-19 kepada penggiat seni termasuk menyediakan premis dijadikan Pusat Pemberian Vaksin (PPV). - Foto hiasan
FINAS merancang program pemberian vaksin COVID-19 kepada penggiat seni termasuk menyediakan premis dijadikan Pusat Pemberian Vaksin (PPV). - Foto hiasan

'Tunggu vaksin COVID-19 berkelompok'

KUALA LUMPUR: Saranan agar Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) melancarkan program vaksin COVID-19 untuk penggiat seni sebagai persediaan pembukaan semula industri kreatif menjelang fasa ketiga atau keempat Pelan Pemulihan Negara (PPN), mendapat reaksi positif karyawan dan kru.

Beberapa persatuan mewakili artis, pengarah dan pekerja filem menyambut baik program suntikan vaksin COVID-19 berkelompok kepada penggiat seni sebagai langkah meningkatkan keselamatan selain membantu kerajaan mencapai komuniti kelompok.

Presiden Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN), Zed Zaidi, berkata pihaknya sedang berusaha merealisasikan cadangan itu melalui perbincangan bersama FINAS.

"FINAS sedang merancang program pemberian vaksin COVID-19 kepada penggiat seni termasuk menyediakan premis untuk dijadikan Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

"Secara dasarnya, SENIMAN dan persatuan lain sudah berbincang dengan Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Ahmad Idham Ahmad Nadzri mengenai perkara ini.

"Dalam pertemuan itu, ProtectHealth yang yang ditubuhkan di bawah Kementerian Kesihatan turut serta bagi membincangkan cadangan pemberian vaksin COVID-19 berkelompok itu," katanya kepada BH Online.

Zed berkata, perbincangan antara lain mencari kaedah terbaik bagi mempermudahkan urusan pemberian vaksin COVID-19 kepada penggiat seni.

Presiden Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN), Zed Zaidi sedang berusaha merealisasikan cadangan an vaksin COVID-19 berkelompok melalui perbincangan bersama FINAS. - NSTP/Aziah Azmee
Presiden Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN), Zed Zaidi sedang berusaha merealisasikan cadangan an vaksin COVID-19 berkelompok melalui perbincangan bersama FINAS. - NSTP/Aziah Azmee

"Ketika ini, proses pengumpulan data penggiat seni di bawah cadangan inisiatif Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40) sedang dibuat.

"Ini termasuk data penggiat seni yang sudah menerima Bantuan Prihatin Rakyat (BPR). Pengumpulan data ini dijangka mempercepatkan urusan pemberian vaksin COVID-19.

"Malah, bantuan lain juga akan menyusul seperti dibincangkan persatuan seni, FINAS dan ProtectHealth," katanya.

Sebelum ini, BH melaporkan pemilik Syarikat Radius One, Shahrulezad Mohameddin menyarankan ada baiknya soal proses imunisasi dan suntikan vaksin COVID-19 kepada penggiat seni diberi keutamaan ketika industri kreatif termasuk aktiviti penggambaran dihentikan sekarang.

Malah, FINAS disaran menggunakan peruntukan RM100 juta yang diumumkan kerajaan untuk sektor seni kreatif pada pembentangan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) bagi membeli vaksin COVID-19 agar penggerak seni dapat kembali bekerja dengan selamat, sebaik kebenaran diberi Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Presiden Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM), Ahmad Ibrahim berharap usaha memberi suntikan vaksin COVID-19 kepada penggiat seni disegerakan.

"Perancangan pemberian vaksin COVID-19 kepada penggiat seni secara berkelompok ini sepatutnya dirancang sejak dua bulan lalu. Apabila penggiat industri kreatif mendesak, barulah hendak bergerak.

Presiden Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM), Ahmad Ibrahim berharap usaha memberi suntikan vaksin COVID-19 kepada penggiat seni disegerakan. - NSTP/Rohanis Shukri
Presiden Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM), Ahmad Ibrahim berharap usaha memberi suntikan vaksin COVID-19 kepada penggiat seni disegerakan. - NSTP/Rohanis Shukri

"Namun, terima kasih FINAS atas usaha ini. Jangan lengahkan, lakukan secepat mungkin," katanya.

Ahmad berkata, semakan mendapati kira-kira 20 peratus ahli FDAM sudah menerima panggilan daripada FINAS untuk mendapatkan suntikan vaksin COVID-19.

"Sekurang-kurangnya, beri dos pertama dahulu. Cuma bagi saya, jika diberi suntikan vaksin COVID-19 kepada pengarah sahaja, tiada impaknya.

"Kita harap dengan usaha FINAS ini, semua penggiat seni termasuk pekerja belakang tabir dapat diberi suntikan vaksin COVID-19 terutama mereka yang terpaksa menghentikan kerja penggambaran.

"FINAS juga mungkin boleh mengutamakan anak seni yang aktif dan kerja mereka tertunda akibat larangan aktiviti penggambaran," katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA), Khir Mohd Noor meminta semua penggiat seni mendaftar untuk menerima suntikan vaksin COVID-19.

"Kalau boleh, usah tunggu FINAS, daftar sendiri macam orang lain. Namun, terima kasih FINAS atas inisiatif dirancang bagi memudahkan kelompok penggiat seni mendapat suntikan vaksin COVID-19," katanya.

Khir berkata, lebih cepat penggiat seni mendapat suntikan vaksin COVID-19, penggerak industri kreatif boleh memohon kepada kerajaan agar dibuka semula sektor ini.

Presiden Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA), Khir Mohd Noor meminta warga penggiat seni mendaftar bagi menerima suntikan vaksin COVID-19. - NSTP/Eizairi Shamsudin
Presiden Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA), Khir Mohd Noor meminta warga penggiat seni mendaftar bagi menerima suntikan vaksin COVID-19. - NSTP/Eizairi Shamsudin

"Cuma harus diingat, vaksin bukanlah ubat atau penyelesaiannya. Ia lebih kepada langkah pencegahan. Setidak-tidaknya, vaksin boleh menjadi pendinding.

"Kita masih perlu berhati-hati walaupun sudah mendapat suntikan vaksin COVID-19 termasuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP)," katanya.

Khir juga mencadangkan FINAS meletakkan syarat hanya penggiat seni yang sudah mendapat suntikan vaksin COVID-19 dibenarkan meneruskan kerja penggambaran apabila sektor industri kreatif dibuka.

"Andai kata ada dalam kalangan syarikat produksi mengambil pekerja yang tidak disuntik vaksin COVID-19, penggambaran wajar dihentikan FINAS serta-merta," katanya.

FINAS baru-baru ini mengumumkan Kompleks FINAS Hulu Kelang, Selangor bakal dijadikan PPV untuk penggiat industri seni kreatif.

Disasarkan seramai 10,000 penerima vaksin COVID-19 pada kadar 600 penggiat seni sehari dapat dicapai dalam program vaksin COVID-19 itu.

Ini membabitkan kumpulan penerbit, pelakon, kru, pawagam, pengiklanan, pengedar kandungan kreatif, syarikat pasca produksi, animasi, pemegang lesen FINAS, penggiat industri dan ahli persatuan di bawah Program Peningkatan Kapasiti Kreatif Malaysia (MyCAP) dan lain-lain.

Berita Harian X