Jumaat, 2 Julai 2021 | 4:01pm
Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Ahmad Idham Ahmad Nadzri akan tindakan sewajarnya kepada syarikat produksi yang ingkar arahan kerajaan. - Foto FINAS
Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Ahmad Idham Ahmad Nadzri akan tindakan sewajarnya kepada syarikat produksi yang ingkar arahan kerajaan. - Foto FINAS

FINAS 'cekup' syarikat produksi ingkar

PETALING JAYA: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) berjaya mengesan syarikat produksi yang ingkar dengan menjalankan aktiviti penggambaran dalam fasa pertama Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Tangkapan dilakukan selepas FINAS mengadakan serbuan ke atas sebuah premis di Sunway Velocity, Cheras, di sini, pada 29 Jun lalu yang dikendalikan oleh Unit Penguatkuasa, Bahagian Pelesenan dan Penguatkuasaan FINAS.

Menerusi kenyataan media, Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Ahmad Idham Ahmad Nadzri berkata, tindakan sewajarnya akan diberikan kepada produksi berkenaan.

"Hasil serbuan mendapati terdapat aktiviti penggambaran filem dijalankan di premis berkenaan dalam fasa satu PPN.

"Sehubungan itu, tindakan penguatkuasaan diambil ke atas syarikat produksi berkenaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 22 (1) Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia 1981 (Akta 244)," katanya kepada BH Online.

Unit Penguatkuasa, Bahagian Pelesenan dan Penguatkuasaan FINAS menyerbu lokasi penggambaran sebuah filem di sebuah premis di Sunway Velocity, Cheras pada minggu lalu. - Foto FINAS
Unit Penguatkuasa, Bahagian Pelesenan dan Penguatkuasaan FINAS menyerbu lokasi penggambaran sebuah filem di sebuah premis di Sunway Velocity, Cheras pada minggu lalu. - Foto FINAS

Dengan itu, Ahmad Idham memohon syarikat produksi tempatan mematuhi arahan kerajaan bagi mengelakkan perkara yang sama berulang.

"FINAS ingin mengingatkan kepada syarikat produksi untuk terus mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) dan garis panduan ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam membendung kes penularan pandemik COVID-19," katanya.

Katanya, pihaknya terus memberikan komitmen bertindak lebih agresif dalam menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan pematuhan SOP dalam fasa satu PPN ini.

Dalam masa yang sama, katanya, FINAS mengalu-alukan aduan orang ramai membuat aduan sekiranya berlaku pelanggaran SOP membabitkan aktiviti penggambaran.

Berita Harian X