Isnin, 28 Jun 2021 | 8:05pm
Ahmad Idham yakin dana RM100 juta diumumkan kerajaan mampu merangsang semula industri kreatif tempatan. Foto Ihsan FINAS
Ahmad Idham yakin dana RM100 juta diumumkan kerajaan mampu merangsang semula industri kreatif tempatan. Foto Ihsan FINAS

Penggiat seni tarik nafas lega

KUALA LUMPUR: Peruntukan RM100 juta dalam bentuk kemudahan pembiayaan dan sokongan bantuan kewangan kepada lebih 8,000 penggiat seni dalam Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH), disambut gembira penggerak industri kreatif.

Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Ahmad Idham Ahmad Nadzri, yakin peruntukan itu mampu merangsang ekonomi dan merancakkan industri kreatif.

"Pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah berita baik untuk industri kreatif dan menunjukkan keprihatinan kerajaan kepada luahan anak seni.

"Dengan peruntukan sebanyak itu, industri boleh kembali rancak dengan penghasilan pelbagai bahan penerbitan dan mewujudkan banyak peluang pekerjaan," katanya kepada BH Online.

Ketika membentangkan pakej itu, Perdana Menteri dilaporkan berkata, peruntukan disalurkan adalah usaha kerajaan untuk terus menyokong industri seni dan kreatif tempatan selepas mendengar keluhan karyawan, artis, pemuzik, pelakon, penggiat teater, penulis dan kru produksi yang terkesan berikutan tidak dibenarkan terbabit dalam aktiviti seni dan persembahan.

Peruntukan itu meliputi insentif penghasilan karya dan kandungan digital, peluang kerjaya, program peningkatan kemahiran, caruman perlindungan di bawah PERKESO serta perolehan produk bagi tujuan produksi di televisyen (TV), radio dan penciptaan lagu.

Ahmad Idham berkata, FINAS akan terus membantu penggiat seni dengan menyediakan kertas cadangan dan saranan mengenai bantuan yang diperlukan.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) kerana terus menyokong FINAS untuk mendapatkan insentif terbaik yang boleh dimanfaatkan pemain industri," katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM), Datuk Jurey Latiff Rosli, berkata masih ada isu penting membabitkan penggerak industri kreatif yang perlu diberi perhatian kerajaan.

Jurey berharap kerajaan menimbang rayuan agar aktiviti penggambaran disambung semula selewat-lewatnya pertengahan bulan depan. Foto Ihsan Jurey Latiff Rosli
Jurey berharap kerajaan menimbang rayuan agar aktiviti penggambaran disambung semula selewat-lewatnya pertengahan bulan depan. Foto Ihsan Jurey Latiff Rosli

"Saya ucap terima kasih kepada Perdana Menteri kerana membantu merangsang pertumbuhan ekonomi melalui bantuan menghasilkan kandungan dan peluang pekerjaan.

"Cuma ketika ini, kami dalam dilema. Biarpun dengan dana yang banyak dan kontrak baharu dengan stesen penyiaran, kami tidak dapat bekerja kerana aktiviti penggambaran tidak dapat dilakukan.

"Apabila aktiviti penggambaran terbantut, ia memberi impak kepada ekonomi industri perfileman kerana dana tidak dapat dibelanjakan.

"Kami berharap kerajaan dapat menimbang permohonan kami untuk melakukan kerja penggambaran selewat-lewatnya pertengahan bulan depan," katanya.

Selain diberi kebenaran untuk kembali bekerja, Jurey berharap kerajaan dapat dapat memperluaskan lagi definisi penggambaran dalam studio seperti yang disyaratkan sebelum ini.

"Kalau boleh, biarlah definisi penggambaran studio itu diperluaskan, bukannya terhad dalam studio berdaftar. Kita perlukan premis sesuai kerana kebanyakan drama kita menggunakan rumah atau kelab sebagai lokasi," katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM), Ahmad Ibrahim menyifatkan pengumuman Perdana Menteri memberi nafas lega kepada penggiat seni.

Ahmad menyifatkan penggiat seni sebagai petugas barisan hadapan yang tidak didendang. Foto Ihsan Ahmad Ibrahim
Ahmad menyifatkan penggiat seni sebagai petugas barisan hadapan yang tidak didendang. Foto Ihsan Ahmad Ibrahim

"Pengumuman inilah yang ditunggu sejak dahulu membabitkan rancangan memulihkan negara. Penggiat seni ibarat petugas barisan hadapan yang tidak didendang.

"Dana yang diumumkan membuat kami yang selama ini bernafas dalam debu, rasa lega. Akhirnya, ada sedikit cahaya di hujung terowong gelap. Berapa lama boleh bertahan, kita hanya mampu bertawakal," katanya.

Ahmad berkata, dianggarkan 12,000 penggiat seni aktif dalam sektor penerbitan drama dan filem.

"Difahamkan ada kira-kira 300 syarikat produksi dengan setiap syarikat ada antara 30 hingga 40 pekerja. Sedangkan dana diberi untuk lebih 8,000 penggiat seni.

"Saya masih menunggu perkembangan terutama dalam aspek agihan peruntukan itu," katanya.

Zed berharap penggiat seni yang mendapat dana kerajaan berbelanja dengan berhemah. Foto Ihsan Zed Zaidi
Zed berharap penggiat seni yang mendapat dana kerajaan berbelanja dengan berhemah. Foto Ihsan Zed Zaidi

Sementara itu, Presiden Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN), Zed Zaidi berharap dana yang bakal diterima dimanfaatkan penggiat seni sebaik mungkin.

"Saya harap selagi kita boleh berjimat cermat, belanjalah secara sederhana. Kita tidak tahu sampai bila kita boleh bertahan dengan segala kemungkinan yang bakal terjadi," katanya.

Zed berkata, dana itu boleh membantu penggiat seni beroleh pendapatan tambahan atas talian melalui penganjuran bengkel atau seminar seni.

Berita Harian X