Rabu, 23 Jun 2021 | 3:00pm
Single Semakin Benci Semakin Cinta hadir bukan menyingkap kehidupan Siti Sarah dan suami, Shuib Sepahtu, sebaliknya bersesuaian dengan situasi semasa apabila ramai berjauhan dengan orang yang tersayang. - Foto Indigital Music
Single Semakin Benci Semakin Cinta hadir bukan menyingkap kehidupan Siti Sarah dan suami, Shuib Sepahtu, sebaliknya bersesuaian dengan situasi semasa apabila ramai berjauhan dengan orang yang tersayang. - Foto Indigital Music

Sarah, Shuib kembali berduet

KUALA LUMPUR: Hamil anak keempat dalam situasi pandemik COVID-19 masih belum reda tidak sesekali menghalang penyanyi, Siti Sarah Raissuddin untuk terus berkarya.

Lebih istimewa, usahanya mendapat sokongan suami, Shuib Sepahtu yang terbuka untuk berduet menerusi single Semakin Benci Semakin Cinta ciptaan dan lirik oleh Ajai.

Sarah yang tampil dengan lagu duet bersama Shuib berkata, dia melihat waktu yang sesuai untuk menghasilkan lagu duet bersama suami ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Single Semakin Benci Semakin Cinta dirakamkan, sejak setahun lalu. Ia ketika negara berhadapan dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang pertama.

"Idea menghasilkan single Semakin Benci Semakin Cinta hadir daripada Ajai apabila ingin melihat kami berduet. Malah, karya ini diciptakan khas buat saya dan Shuib.

"Ikutkan tiada tarikh untuk single Semakin Benci Semakin Cinta dilancarkan selepas rakaman siap. Jadi, dalam keadaan saya menunggu hari untuk melahirkan anak keempat, Shuib pula tidak terlalu lalu sibuk dengan urusan perniagaan, ini adalah waktu sesuai untuk lagu diperdengarkan kepada peminat," katanya kepada BH Online.

Sebelum ini, Sarah dan Shuib pernah muncul dengan single Cinta Itu Nyawa pada 2012.

Mengulas judul lagu yang kononnya menggambarkan kisah cinta, Sarah berkata, ia bukanlah babak kehidupan yang dilalui mereka. Sebaliknya, ia bersesuaian dengan situasi semasa, di mana ramai berjauhan dengan keluarga.

"Situasi lagu ini menggambarkan bagaimana dua insan saling menyayangi terpaksa berjauhan atas sebab tertentu. Dalam tempoh ini, wujud pelbagai kejadian menduga rasa cinta. Bagaimanapun, ukuran cinta bukanlah berdasarkan jarak, tetapi perasaan kita sendiri.

"Dengan keadaan negara yang berhadapan dengan era pandemik, pasti ramai yang melalui situasi sama. Bukan sekadar tidak dapat bertemu orang tersayang, malah tidak dapat pulang ke kampung untuk menjenguk orang tua.

"Jadi, single Semakin Benci Semakin Cinta saya anggap cukup kena dengan situasi semasa," katanya yang sedang hamil enam bulan.

Idea menghasilkan single Semakin Benci Semakin Cinta hadir daripada komposer, Ajai apabila ingin melihat Siti Sarah dan suami, Shuib Sepahtu kembali berduet. - Foto Indigital Music
Idea menghasilkan single Semakin Benci Semakin Cinta hadir daripada komposer, Ajai apabila ingin melihat Siti Sarah dan suami, Shuib Sepahtu kembali berduet. - Foto Indigital Music

Sementara itu, pelawaan Ajai menghasilkan single duet diterima dengan baik oleh Shuib. Ia juga dilihat sebagai hadiah untuk isteri yang sarat mengandung.

Shuib berkata, dia berharap agar single Semakin Benci Semakin Cinta dapat diterima pendengar.

"Saya puas hati dengan penyampaian saya dalam single ini. Cuma, saya tidak boleh mengharapkan perkara sama daripada semua pendengar. Bukannya apa, memang agak mencabar merakamkan lagu duet selepas sembilan tahun tiada lagu bersama Sarah.

"Apapun, saya bersyukur dan berharap, single Semakin Benci Semakin Cinta lagu SBSC dapat diterima dengan baik," katanya.

Shuib berkata, Ajai tahu kemampuan vokalnya dan karya dihasilkan pula bersesuaian dengan karakter vokal mereka.

"Ajai membuatkan saya selesa dan tiada sedikitpun tekanan sepanjang proses rakaman. Ini disebabkan Ajai tahu kemampuan dan tahap vokal saya," katanya.

Single Semakin Benci Semakin Cinta diterbitkan oleh Inisiatif Seni Kreatif (ISK) dengan kerjasama Wake The Baby Records Sdn Bhd dan diedarkan Indigital Music.

Ia sudah boleh distrim di semua pelantar digital dan lirik video boleh ditonton sejak kelmarin.

Berita Harian X