Khamis, 17 Jun 2021 | 11:00am
Drama viral yang pernah merekodkan 10 juta tontonan masih menggunakan teraju sama, Adam Lee sebagai Arif dan Aedy Ashraf pula Tongki dalam Budak Tebing 2. - Foto TV3
Drama viral yang pernah merekodkan 10 juta tontonan masih menggunakan teraju sama, Adam Lee sebagai Arif dan Aedy Ashraf pula Tongki dalam Budak Tebing 2. - Foto TV3

Budak Tebing kembali dengan musim baharu

KUALA LUMPUR: Drama bersiri popular, Budak Tebing yang merekodkan 10 juta tontonan ketika disiarkan TV3 dan sembilan juta audiens menikmatinya melalui platform YouTube TV3 dan Drama Sangat, kembali untuk musim baharu.

Budak Tebing 2 arahan Feroz Kader menemui penonton menerusi slot Lestary bermula setiap Rabu hingga Sabtu pada jam 9 malam, mulai esok.

Drama ini juga boleh ditonton melalui platform iQiyi pada hari sama selepas disiarkan TV3.

Tampil dengan 13 episod, musim kedua ini menyaksikan 'reunion' pelakon edisi pertama iaitu Adam Lee yang melakonkan watak Arif; Aedy Ashraf (Tongki); Eyka Farhana (Ira); Bella Dowanna (Laura); Fariz Isqandar (Yoyo) dan Firdaus Ghufran (Talam).

Musim baharu ini turut dimantapkan dengan penampilan Fauzi Nawawi (Afendi); Pablo Amiru (Pablo); Syafie Naswip (Paan); Zarina Zainuddin (Sabrina); Nellisa Nizam (Maria); Imran Aqil (Pijoy) dan ramai lagi.

Drama yang memaparkan masalah sosial dalam kalangan remaja itu mendapat perhatian ramai ketika musim pertama disiarkan.

Pengarah Budak Tebing, Feroz terkejut diminta mengarahkan musim kedua drama yang mencetuskan fenomena itu.

"Saya tidak sangka Budak Tebing mendapat sambutan hebat selepas disiarkan tahun lalu. Saya amat berterima kasih atas penghargaan yang diberi kepada semua pihak yang terbabit dalam produksi drama ini.

"Dalam musim baharu, penonton dapat melihat perubahan watak Budak Tebing yang lebih matang selain penambahbaikan watak Afendi lakonan Fauzi.

"Kami turut memperkenalkan watak baru Pablo yang didukung Pablo sendiri," katanya kepada BH Online.

Budak Tebing 2 arahan Feroz Kader menyaksikan pelakon musim pertama, Eyka Farhana dan Bella Dowanna yang masih dikekalkan. - Foto TV3
Budak Tebing 2 arahan Feroz Kader menyaksikan pelakon musim pertama, Eyka Farhana dan Bella Dowanna yang masih dikekalkan. - Foto TV3

Feroz berkata, Budak Tebing menyampaikan mesej andai diberi bimbingan, individu yang dikatakan bermasalah boleh kembali ke jalan benar.

"Itulah mesej utama yang hendak disampaikan. Kami difahamkan Budak Tebing diminati pelbagai lapisan umur.

"Kami berharap musim kedua ini dapat membuka mata penonton mengenai isu penderaan kanak-kanak, jenayah dan kekeluargaan," katanya.

Musim kedua mengisahkan Tongki, Arif dan Talam terpaksa meneruskan kehidupan selepas gagal diterima masuk Pusat Latihan Polis (PULAPOL).

Berita Harian X