Selasa, 15 Jun 2021 | 6:00pm
Pandemik COVID-19 memberi kesan kepada Bella Dowanna dalam sesi pembelajaran apabila belajar dalam talian ketika menduduki SPM. - Foto IG Bella Dowanna
Pandemik COVID-19 memberi kesan kepada Bella Dowanna dalam sesi pembelajaran apabila belajar dalam talian ketika menduduki SPM. - Foto IG Bella Dowanna

Bella enggan kongsi keputusan SPM

KUALA LUMPUR: Pelakon muda, Bella Dowanna, 18, bersyukur dengan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diterimanya, bagaimanapun memilih untuk merahsiakannya.

Bella atau nama sebenarnya, Qystinna Istajibilla Dowanna Halim berkata, cukuplah orang tahu lapan subjek yang diambil itu lulus. Sama ada cemerlang atau sebaliknya, biarlah disimpan untuk diri sendiri.

"Keputusan SPM biarlah saya simpan untuk diri saya, tetapi apa yang boleh saya cakap, semua subjek lulus, tiada yang gagal. Alhamdulillah, ada juga subjek mendapat A.

"Namun, saya akui, tidak berpuas hati dengan keputusan. Ini kerana saya rasa boleh buat lagi baik. Bagaimanapun, tidak mengapalah, saya sudah buat sehabis baik," katanya kepada BH Online.

Calon Artis Baharu Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH Ke-33 (ABPBH 33) itu tidak menafikan, pandemik COVID-19 memberi kesan pada sesi pembelajarannya bagi menduduki SPM.

"Jujurnya, pandemik memberi kesan pada saya apabila tidak boleh fokus berikutan penat belajar dalam talian. Malah, saya sukar nak faham. Suasana juga berbeza daripada belajar di sekolah.

"Ditambah lagi, sekolah sekejap buka dan tutup, secara tak langsung memberi gangguan kepada mental untuk terus bertahan belajar dalam talian. Jadi, saya berharap COVID-19 segera berlalu agar pelajar lain tidak melalui perkara yang sama seperti saya," katanya.

Bella Dowanna bergandingan dengan Eyka Farhana, Aedy Ashraf dan Adam Lee dalam drama Budak Tebing 2. - Foto IG Bella Dowanna
Bella Dowanna bergandingan dengan Eyka Farhana, Aedy Ashraf dan Adam Lee dalam drama Budak Tebing 2. - Foto IG Bella Dowanna

Mengulas perancangan masa hadapan, Bella berkata, dia tetap mahu menyambung pengajian. Bagaimanapun, bukan dalam masa yang terdekat.

"Kena tengok situasi pandemik COVID-19. Saya berhasrat menyambung pengajian, tetapi bukanlah sekarang. Jika pandemik pulih, mungkin tahun hadapan.

"Diakui, pelajaran atau ilmu sangat penting. Selagi ada masa dan kudrat untuk menimba ilmu, saya perlu mencari apa sahaja peluang menambah ilmu.

"Bagaimanapun, saya akan tetap berlakon. Saya akan cuba membahagikan masa untuk pengajian dan lakonan.

"Pengajian dan lakonan sama penting. Disebabkan itu, saya sayang untuk meninggalkan kerjaya lakonan dan tidak akan mengetepikan juga pengajian," katanya yang menyambung pengajian dalam jurusan yang berkaitan dengan perniagaan.

Bagaimanapun, kongsi pelakon filem M4M4 itu, dia mengambil keputusan berehat buat seketika sepanjang Ramadan lalu.

"Saya langsung tidak berehat ekoran penggambaran tanpa henti. Dalam masa yang sama, saya turut sibuk dengan pembelajaran.

"Jadi, saya merancang menyambung selepas Ramadan, namun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 pula dilaksanakan, jadi penggambaran tidak boleh disambung. Buat masa sekarang, saya duduk di rumah sahaja sambil meluangkan masa dengan keluarga dan menjalankan misi menguruskan badan," katanya.

Dalam pada itu, pelakon drama rantaian Budak Tebing itu bersyukur, orang tuanya menyokong keputusan dibuat, sama ada menyambung pengajian mahupun terus berlakon.

"Ibu bapa saya sangat memahami, lagipun mereka tidak boleh menghalang saya daripada berlakon. Mereka tahu saya suka berlakon sejak kecil lagi. Tetapi, saya ikut nasihat mereka, berjalan mengikut arus dan buat apa sahaja yang saya suka dan mahukan untuk masa depan," katanya.

Berita Harian X