Isnin, 14 Jun 2021 | 1:00pm
Rosmin Hashim mempunyai pengalaman lebih tiga dekad dalam industri muzik dilantik sebagai pengerusi RIM bagi penggal 2021 hingga 2023.
Rosmin Hashim mempunyai pengalaman lebih tiga dekad dalam industri muzik dilantik sebagai pengerusi RIM bagi penggal 2021 hingga 2023.

Rosmin dilantik pengerusi RIM

KUALA LUMPUR: Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) mengumumkan perlantikan Rosmin Hashim sebagai pengerusi berkuat kuasa sejak 26 Mac lalu.

Perlantikan dipersetujui sebulat suara dalam Mesyuarat Agung Tahunan yang diadakan secara virtual bagi memilih ahli majlis baharu buat penggal 2021 sehingga 2023.

Rosmin berkata, dengan rendah hati, dia menerima tanggungjawab besar sebagai Pengerusi RIM untuk mencapai objektif persatuan demi kepentingan ahli-ahli.

"RIM, Kumpulan Kebangsaan Persekutuan Industri Fonografik Antarabangsa (IFPI) yang mewakili lebih 300 syarikat rakaman tempatan dan antarabangsa di Malaysia sudah mengadakan mesyuarat secara virtual yang dihadiri oleh 35 ahli berdaftar RIM.

"Saya sedia bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan termasuk penggiat industri muzik dan kerajaan untuk membangunkan industri muzik ke peringkat yang lebih tinggi. Insya-Allah," katanya kepada HIP.

Berpengalaman lebih 30 tahun dalam industri muzik tanah air, Rosmin memulakan kerjaya bersama syarikat rakaman antarabangsa, BMG Music.

Kini, beliau memegang tampuk pimpinan sebagai Pengarah Urusan, selain pengasas beberapa syarikat rakaman termasuk Nova Music, Seventeen Eleven Music, Future Music Entertainment serta Najah Music.

Selain memegang jawatan sebagai Pengerusi RIM, Rosmin juga adalah Pengerusi Public Performance Malaysia (PPM).

Darren Choy dipilih sebagai Timbalan Pengerusi RIM.
Darren Choy dipilih sebagai Timbalan Pengerusi RIM.

Sementara itu, ahli jawatankuasa yang dilantik melalui sistem undian dalam talian pada mesyuarat termasuklah Darren Choy selaku Timbalan Pengerusi RIM, LY atau Rozman Shafie (Setiausaha), Edwin Tan Siew Hwee (Bendahari) serta ahli majlis terdiri daripada Ng Cheong Hock, Tan Tiou Chong, Anthony Gan, Aziana Ali dan Kim Lim.

Tambah Rosmin, mereka adalah pemain profesional industri muzik yang berpengalaman luas dan mampu merealisasikan sasaran serta objektif penubuhan RIM.

RIM mewakili sejumlah 366 syarikat rakaman tempatan dan antarabangsa beroperasi di Malaysia. Antaranya, Universal Music, Warner Music, Sony Music Entertainment dan Rock Records.

Tidak ketinggalan, syarikat rakaman tempatan persendirian seperti Hup Hup (Life Records), New Southern Records (NSR), Suria Records (SRC), Nova Music dan Kelarai Sakti.

Sebagai badan yang mewakili industri rakaman Malaysia sejak 1978, RIM melaksanakan pelbagai aktiviti demi pembangunan industri muzik termasuk penerbitan Carta RIM, carta mingguan yang menyenaraikan 10 lagu tempatan dan antarabangsa dengan penstriman tertinggi di Malaysia.

RIM juga mengelola forum muzik, seminar muzik di institusi pendidikan tinggi dan menyelaras lawatan ke persidangan muzik antarabangsa untuk manfaat ahlinya. RIM juga adalah penganjur Anugerah Industri Muzik (AIM), iaitu anugerah yang berprestij di tanah air.

Berita Harian X