Khamis, 10 Jun 2021 | 6:50pm
Ilyka, suami dan anak mereka, Arisya. Foto Ihsan Ilyka
Ilyka, suami dan anak mereka, Arisya. Foto Ihsan Ilyka

Anak Ilyka dapat 9A

KUALA LUMPUR: Anak tunggal penyanyi era 1990-an, Datin Seri Ilyka iaitu Arisya Ahmad Azizi meraih keputusan cemerlang 9A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan hari ini.

Ilyka yang popular dengan lagu Diusung Duka percaya di sebalik cabaran menduduki peperiksaan ketika negara 'berperang' dengan pandemik COVID-19, Arisya beroleh semangat untuk berjaya dalam SPM.

Ilyka yang juga isteri kepada Datuk Seri Ahmad Azizi Ali mengaku cabaran dilalui calon peperiksaan awam dan ibu bapa pada era penularan COVID-19.

"Tahun lalu cukup mencabar buat semua termasuk calon SPM dan ibu bapa. Anak-anak perlu meneruskan pengajian dalam talian dan mempraktikkan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

"Pada suatu masa, anak saya yang menuntut di sebuah kolej di Negeri Sembilan, perlu pulang ke rumah ketika kes jangkitan COVID-19 meningkat.

"Pernah juga Arisya tidak dibenarkan berjumpa kami selama tiga bulan apabila sekolah tidak membenarkan ibu bapa melawat.

Ilyka berbangga anak tunggalnya beroleh keputusan cemerlang 9A dalam SPM. Foto Ihsan Ilyka
Ilyka berbangga anak tunggalnya beroleh keputusan cemerlang 9A dalam SPM. Foto Ihsan Ilyka

"Mahu atau tidak, ibu bapa dan anak perlu akur dengan arahan Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN)," katanya kepada BH Online.

Ilyka atau nama penuh, Zuraila Mohamed Yassin turut memuji usaha cikgu di kolej anaknya sehingga pelajar mencapai kejayaan.

"Sebagai wakil persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) kolej itu, saya memantau aktiviti pelajar.

"Saya dapat tahu cikgu tidak lokek mengajar hingga lewat malam.

"Pengorbanan cikgu membawa makna besar kepada kejayaan anak saya. Begitu juga sokongan moral ibu bapa," katanya,

Ilyka berkata, Arisya bercadang untuk melanjutkan pengajian di luar negara.

"Jika diikutkan minat, Arisya mahu menyambung pengajian dalam bidang farmasi atau undang-undang. Mungkin di United Kingdom (UK) atau Amerika Syarikat (AS).

"Sebagai ibu, saya menyokong apa sahaja dirancang dan dimahukan. Anak zaman zaman sekarang lebih tahu apa hala tuju mereka," katanya sambil menambah Arisya aktif dalam bidang pidato dan pernah mewakili kolej dalam pertandingan di luar negara.

Berita Harian X