Khamis, 10 Jun 2021 | 3:00pm
Nabila Huda tidak menerima sebarang tawaran lakonan dalam masa terdekat dan mengambil keputusan berehat selama dua bulan selepas dijangkiti COVID-19. - Foto IG Nabila Huda
Nabila Huda tidak menerima sebarang tawaran lakonan dalam masa terdekat dan mengambil keputusan berehat selama dua bulan selepas dijangkiti COVID-19. - Foto IG Nabila Huda

Nabila masih trauma

KUALA LUMPUR: Pengalaman dijangkiti pandemik COVID-19 menjadikan aktres, Nabila Huda, 37, seorang yang paranoid.

Disahkan positif COVID-19 sehari sebelum menjelang fajar Syawal menambah kesengsaraan Nabila apabila Aidilfitri terpaksa disambut berjauhan dengan suami, Mohd Izwan Johar dan anak tunggalnya, Keisha Laila.

Malah, tiada persiapan yang sempat dilakukan untuk keluarganya apabila terpaksa menjalani kuarantin kendiri dalam bilik selama dua minggu.

Aktres yang pernah diangkat Pelakon TV Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian Ke-27 itu berkata, disahkan positif COVID-19 pada 12 Mei lalu sememangnya ujian yang amat berat ditanggung. Lebih lagi, memikirkan kemudaratan yang bakal memberi kesan kepada keluarga terutama anaknya yang berusia 11 tahun.

Katanya, pengalaman sebagai pesakit COVID-19 menjadi momen tidak mampu dilupakan seumur hidup.

"Rasanya terlalu sengsara hingga saya menjadi paranoid. Saya tidak mengalami demam, cuma pada awal jangkitan, saya kerap bersin, selsema dan sakit tekak. Peritnya seperti kena kikis dengan pisau hingga sukar menelan air liur.

"Alhamdulillah, selera makan bertambah baik, tetapi deria rasa dan bau masih belum sembuh sepenuhnya," katanya terkena jangkitan daripada orang sekelilingnya.

Bagaimanapun, kata Nabila, kesakitan tidak berakhir selepas melalui 14 hari menjalani tempoh kuarantin kerana simptom jangkitan COVID-19 akan berterusan mengikut ketahanan badan.

"Saya ingat selepas selesai 10 hari kuarantin, virus ini sudah habis. Saya diberitahu dalam tempoh 10 hingga 14 hari selepas dijangkiti, virus ini tidak hilang terus. Ia masih ada dalam badan, cuma tidak akan berjangkit dengan orang lain.

"Pesakit pasca COVID-19 akan melalui kesakitan sehingga 90 hari. Ada orang yang tidak dapat deria bau dan rasa hingga setahun, ia bergantung pada sistem imunisasi dalam badan seseorang.

"Sakit dada dan batuk juga boleh berkekalan. Sememangnya, ia tidak akan hilang habis begitu sahaja. Ia mengambil masa dan saya kena berterusan makan ubat, vitamin, minum lemon dan sebagainya," katanya kepada BH Online.

Ekoran itu, Pelakon Wanita Terbaik, Festival Filem Malaysia Ke-28 itu berkata, dia tidak menerima sebarang tawaran lakonan dalam masa terdekat dan mengambil keputusan berehat selama dua bulan.

"Saya menerima dua tawaran telefilem dan drama. Bagaimanapun, melihat penularan pandemik semakin teruk, ditambah pula saya bekas pesakit COVID-19, jadi saya memang takut dan trauma mahu keluar rumah.

"Saya beritahu syarikat produksi mahu berehat untuk dua bulan ini. Apabila kes berkurangan, barulah saya yakin mahu kembali bekerja. Saya tidak akan keluar rumah kecuali pergi pasar raya untuk beli barangan dapur.

"Bukan apa, agak mencabar buat penggiat industri kembali dalam situasi pandemik sedang menggila. Selagi kes tidak menurun, sukar mahu meneruskan penggambaran. Ini disebabkan, penggambaran pula selalu berpindah-randah," katanya.

Disahkan positif COVID-19 sehari sebelum menjelang fajar Syawal menambah kesengsaraan Nabila Huda apabila Aidilfitri terpaksa disambut berjauhan dengan suami, Mohd Izwan Johar dan anak tunggalnya, Keisha Laila. - Foto IG Nabila Huda
Disahkan positif COVID-19 sehari sebelum menjelang fajar Syawal menambah kesengsaraan Nabila Huda apabila Aidilfitri terpaksa disambut berjauhan dengan suami, Mohd Izwan Johar dan anak tunggalnya, Keisha Laila. - Foto IG Nabila Huda

Akuinya, jika semua bergerak tentunya pergerakan susah dikawal. Sukar mengesan dengan siapa seseorang bertemu dan berkomunikasi.

"Melainkan jika duduk di satu tempat selama 45 hari atau selama penggambaran berjalan. Selagi keluar berjumpa orang, penularan sukar dihentikan.

"Kalau boleh saya mahu pastikan artis dan kru buat ujian calitan dan dijamin negatif COVID-19 terlebih dahulu barulah saya berani menyertai sesebuah penggambaran," katanya.

Nabila atau nama sebenarnya, Nabila Huda Suhaimi berkata, dia mahu meluangkan masa untuk memanjakan dirinya sepanjang fasa sekatan pergerakan penuh.

Mengulas amalan meminum air akar kayu sejak kebelakangan ini, Nabila menjelaskan, ia disebabkan mengalami keguguran pada Oktober, tahun lalu.

"Saya merancang mahu memiliki cahaya mata lagi. Sebelum ini, saya mengalami keguguran dan tidak tahu kesan selepas keguguran. Jadi, saya putuskan kembali menjalani pemulihan untuk badan saya.

"Saya rancang menjalani pantang selama 14 hari, di mana saya mahu suruh orang datang jaga saya seperti berpantang selepas bersalin. Tetapi sekarang sekatan pergerakan penuh, jadi tidak bolehlah berbuat demikian. Bahan minuman akar kayu pula sudah beli, jadi saya minum sahajalah," katanya.

Dalam perkembangan lain, Nabila berkongsi mengenai wataknya sebagai Erma Erika dalam drama Diva Popular yang disifatkan berat dan mencabar buatnya.

Pelakon Wanita Terbaik Drama, Anugerah Skrin pada 2019 itu berkata, watak Erma Erika benar-benar mencabar kredibilitinya sebagai pelakon.

"Ramai tahu komedi bukan genre lakonan saya. Jadi, membawa watak komedi sangat mencabar. Ketika pengarah, Erma Fatima menawarkan watak ini, awal lagi saya sudah mohon maaf sebab tidak boleh buat.

"Namun, Erma mencabar saya. Dan, saya pula pantang dicabar. Jadi, saya melakonkan watak ini disebabkan dicabar. Erma juga menguji saya dengan mengatakan saya pelakon wanita terbaik, jadi pastinya saya boleh buat.

"Jujurnya, saya sangat kekok pada hari pertama di lokasi penggambaran. Sebelum itu, saya mahu berpatah balik ketika memandu kereta ke lokasi penggambaran. Saya beritahu produksi, saya mahu pulangkan duit.

"Saya tidak melakonkan watak ini sebab takut dan malu. Dan, saya rasa ia boleh merosakkan kerjaya saya," katanya.

Nabila Huda bergandingan dengan Tiz Zaqyah dalam drama komedi, Diva Popular. - Foto IG Nabila Huda
Nabila Huda bergandingan dengan Tiz Zaqyah dalam drama komedi, Diva Popular. - Foto IG Nabila Huda

Nabila berkata, dia merasakan komedi bukan 'forte' disukai.

"Saya tahu keupayaan apabila membaca skrip. Lepas baca, saya tahu boleh buat atau tidak. Jika tidak boleh, saya tidak akan memaksa diri.

"Saya tidak suka apabila buat kerja separuh hati, nanti saya akan menyesal," katanya.

Bagaimanapun, Nabila berkata, itu hanyalah perasaannya apabila paranoid menguasai dirinya. Namun, dirinya selesa membawa watak Erma Erika selepas mendapat bantuan pengarah, jurusolek dan barisan pelakon.

Anak kepada otai rock, Amy Search itu berkata, dia seorang yang sangat komited dalam mendalami karakter dan sanggup berbelanja besar untuk persiapan solekan dan pakaian.

"Saya mengeluarkan banyak belanja untuk watak ini. Saya panggil jurusolek, Bosco dan saya ada 'personal wardrobe' yang menjaga pakaian. Kiranya untuk drama Diva Popular, tolak tambah semua, saya hanya memperoleh untung bersih sebanyak RM2,000 sahaja.

"Saya jenis kalau berbelanja untuk sesuatu, saya akan berpuas hati. Selama bergelar pelakon, saya memang sebegitu. Disebabkan itu, saya tidak pernah kaya. Saya lebih suka berbelanja untuk karakter demi memuaskan hati.

"Walaupun tidak mendapat keuntungan, tetapi saya puas hati. Sejujurnya, saya gembira dan ia adalah pengalaman menyeronokkan. Saya tahu tiada pelakon akan berbelanja banyak untuk karakter.

"Tetapi, saya pula berbeza dan akan memberikan komitmen 100 peratus untuk setiap watak yang diterima," katanya.

Mengulas jika ada tawaran watak komedi lagi, Nabila berkata, biarlah penonton melihat sisi komedinya menerusi drama Diva Popular sahaja, buat masa ini.

"Saya lebih suka cerita berat sebab ia mudah menyerap dalam jiwa saya. Watak komedi tidak boleh selalu buat sebab saya tidak pandai, cukuplah drama Diva Popular setakat ini.

"Jujurnya, lama juga saya berfikir untuk melakonkan watak komedi. Selalunya orang boleh tengok karakter kelakar saya di belakang tabir sahaja. Bagaimanapun, saya tetap gembira dapat menonjolkan bakat dari sisi yang berbeza kali ini," katanya.

Drama Diva Popular diterbitkan Rumah Karya Citra disiarkan di Awesome TV. Ia dibintangi Erma dan Fauziah Ahmad Daud sebagai teraju utama. Selain Nabila, ia turut dibintangi Tiz Zaqyah, Ben Amir dan Syafiq Kyle.

Berita Harian X