Sabtu, 5 Jun 2021 | 3:00pm
Hairul Azreen bersama barisan pelakon filem Ada Hantu yang kini boleh distrim menerusi platform Disney+Hotstar sejak 1 Jun lalu.
Hairul Azreen bersama barisan pelakon filem Ada Hantu yang kini boleh distrim menerusi platform Disney+Hotstar sejak 1 Jun lalu.

Filem arahan Hairul kena kritik

KUALA LUMPUR: Belum ditayangkan, tetapi poster filem pertama arahan Hairul Azreen berjudul Ada Hantu sudah menerima kritikan netizen.

Biarpun menyedari poster pertama rekaannya menjadi topik bualan netizen dalam media sosial, namun ia tidak sesekali buat pelakon filem Paskal dan Wira itu patah semangat.

"Saya tahu isu poster filem ini menjadi tular, tetapi pandangan saya dan beberapa artis, kami suka poster filem Ada Hantu ini. Bagaimanapun, ada juga tidak suka kerana berpendapat poster berkenaan kurang menarik.

"Namun, saya berpuas hati dengan apa yang sudah diusahakan. Lagipun, ini permulaan, di mana ini filem pertama saya. Poster ini sekadar petunjuk filem saya sudah mahu ditayangkan.

"Apa yang lebih penting, jalan cerita bukannya poster dan saya semua berharap boleh menerimanya dengan baik," katanya kepada BH Online.

Terdahulu, hangat di laman sembang poster filem arahan, Ada Hantu dikatakan sebagai amatur dan kurang berkualiti.

Hairul, 33, mengulas persoalan mengenai komen netizen terhadap poster filem selepas sesi Sembang Bersama

Disney+Hotstar secara virtual, baru-baru ini.

Mengulas lanjut mengenai filem, Hairul atau nama sebenarnya, Hairul Azreen Idris berkata, dia takut menantikan maklum balas penonton, bagaimanapun mengharapkan yang terbaik.

"Filem ini bermula dengan borak kosong bersama penerbit, Adrian Teh, untuk menghasilkan cerita seram. Adrian sibuk, jadi menyuruh saya yang mengarahkannya.

"Saya boleh mengarah, tetapi memerlukan banyak tunjuk ajar. Jadi, banyak perkara yang saya nampak sebagai pengarah apabila menghasilkan filem. Sememangnya, ia adalah pengalaman yang berguna buat saya," katanya.

Poster filem pertama arahan Hairul Azreen berjudul Ada Hantu menjadi topik bualan netizen dalam media sosial, ada yang mengkritik kurang menarik.
Poster filem pertama arahan Hairul Azreen berjudul Ada Hantu menjadi topik bualan netizen dalam media sosial, ada yang mengkritik kurang menarik.

Tambah Hairul, apa yang menarik, filem pertamanya itu turut meletakkan elemen kejutan dan ia hanya boleh diketahui oleh penonton yang menyaksikannya.

"Ada elemen kejutan, jadi penonton kena tengok sendiri apa yang mahu disampaikan. Saya harap cara penyampaian saya difahami penonton serta disukai. Filem ini akan membuatkan penonton berfikir pada penghujung cerita," katanya.

Selain sebagai pengarah, Hairul turut membintangi filem Ada Hantu. Antara pelakon lain yang terbabit termasuklah Zahiril Adzim, Shiqin Kamal, Elvina Chua dan Nafiez Zaidi.

Filem itu boleh distrim menerusi platform Disney+Hotstar yang dilancarkan sejak 1 Jun lalu.

Dalam pada itu, Hairul berkata, dia teruja apabila filemnya itu dipilih antara tiga filem pertama yang ditayangkan di platform yang diiktiraf seperti Disney+Hotstar.

"Ini adalah satu platform bagus buat kami. Menerusi platform ini, kami boleh menunjukkan Malaysia juga mempunyai bakat yang bagus untuk diketengahkan," katanya.

Berita Harian X