Selasa, 25 Mei 2021 | 8:30am
Sharifah Aminah berada dalam keadaan separuh sedar sejak tiga tahun lalu memberi isyarat membuka mata apabila kalimah syahadah dilafazkan.
Sharifah Aminah berada dalam keadaan separuh sedar sejak tiga tahun lalu memberi isyarat membuka mata apabila kalimah syahadah dilafazkan.

Kak Pah 'tutup mata' selepas tiga tahun koma

KUALA LUMPUR: Kini, berakhir sudah penderitaan pelakon dan penerbit, Sharifah Aminah Syed Abdullah, 76, berada dalam keadaan separuh koma selama tiga tahun apabila menghembuskan nafas terakhir di Hospital Kajang, jam 6.40 pagi semalam.

Menghembuskan nafas terakhir di sisi anak sulungnya, Wan Monaliza Jamali, arwah dikatakan mengalami sesak nafas selepas Maghrib, kelmarin, sebelum dikejarkan ke Hospital Kajang.

Namun, keadaannya masih berada dalam keadaan separuh sedar hinggalah ajal menjemputnya pada waktu subuh, semalam.

Wan Monaliza berkata, dia reda dengan pemergian ibu tersayang selepas tiga tahun melihat penderitaannya.

"Saya bersyukur dapat menunaikan tanggungjawab sebagai anak menjaga arwah ibu yang terlantar dalam keadaan separuh sedar hingga ke akhir hayat.

"Saya pasti akan merinduinya. Semangat kental yang bersisa dan seboleh-bolehnya tidak mahu menyusahkan orang sentiasa membuatkan saya kagum padanya. Dia adalah ibu yang terbaik.

"Malah, arwah pernah cakap, biarlah sakit dalam tempoh sekejap supaya tidak menyusahkan sesiapa. Namun, Tuhan memanjangkan jangka hayat hingga tiga tahun sepanjang sakit untuk memberikan saya peluang menjaganya.

"Saya reda akhirnya kesakitan arwah kini bernoktah. Saya berada di sisinya pada saat sakaratul maut. Saya berkesempatan mengajarnya mengucapkan dua kalimah syahadah," katanya kepada BH Online.

Wan Monaliza berkata, arwah ibunya yang berada dalam separuh sedar apabila diminta memberi isyarat membuka mata apabila kalimah syahadah dilafazkan.

"Saya bisik pada arwah, kalau mama dengar kalimah syahadah ini beri isyarat buka mata. Ada satu kelegaan di hati saya saat itu, arwah membuka sedikit mata. Saya berdoa Allah permudahkan segala-galanya," katanya.

Sharifah Aminah diperkenalkan menerusi filem ala James Bond, Bayangan Ajal pada 1967.
Sharifah Aminah diperkenalkan menerusi filem ala James Bond, Bayangan Ajal pada 1967.

Katanya, dia sesekali akan menyanyikan lagu kegemaran sepanjang tempoh menjaga arwah ibunya.

"Saya menyanyi lagu kegemaran untuk hiburkan hatinya. Antaranya, lagu dendangan Biduanita Negara, Allahyarham Datuk Sharifah Aini berjudul Seri Dewi Malam.

"Saya tidak pandai nyanyi. Saya belasah sahaja, tidak peduli sedap atau tidak suara. Janji dapat hiburkan arwah.

"Biarpun arwah berada dalam keadaan separuh sedar, ada kalanya tidak memberi reaksi apa-apa, namun jauh di sudut hati, saya yakin arwah terhibur dengan gelagat saya," katanya.

Akui Wan Monaliza, dia juga pasti merindui masakan air tangan arwah ibunya.

"Arwah ibu memang rajin dan pandai masak. Saya paling suka pajeri nanas, memang sedap. Tanyalah rakan baik yang mengenalinya, mereka tahu kehebatan arwah di dapur," katanya.

Terdahulu, Wan Monaliza mengesahkan arwah ibunya meninggal dunia di Hospital Kajang.

"Saya menghubungi hospital apabila arwah ibu mula sesak nafas. Apabila arwah terbaring dalam keadaan separuh koma, tidak dapat dipastikan apakah jangkitan yang berlaku.

"Namun, Allah lebih menyayanginya. Saya berada di sisinya dan sempat mengajarnya mengucap dua kalimah syahadah, pagi ini. Saya dapat tatap wajah arwah buat kali terakhir, sebelum tutup mata.

"Cuma, segala-galanya terbatas dalam situasi semasa pandemik COVID-19. Malah, arwah ibu juga harus melakukan ujian calitan. Ia prosedur biasa yang harus dilalui bagi memastikannya positif atau sebaliknya," katanya.

Anak sulung, Wan Monaliza Jamali berada di sisi Allahyarham Sharifah Aminah ketika menghembuskan nafas terakhir di Hospital Kajang, semalam.
Anak sulung, Wan Monaliza Jamali berada di sisi Allahyarham Sharifah Aminah ketika menghembuskan nafas terakhir di Hospital Kajang, semalam.

Wan Monaliza berkata, dia sebolehnya mahu mempercepatkan pengebumian.

"Arwah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Sungai Kantan, Kajang, semalam," katanya.

Sebelum ini, Sharifah Aminah yang membintangi filem Jefri Zain, Ceritaku Ceritamu, Wira Angkasa, Mama Oh Mama dan Esok Untuk Siapa mengalami pendarahan otak dan serangan angin ahmar. Beliau rebah di sebuah restoran ketika menikmati makan malam bersama beberapa teman rapat pada September 2018.

Berikutan itu, Sharifah Aminah atau mesra disapa Kak Pah dikejarkan Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) dan terlantar selama empat bulan.

Atas persetujuan bersama, anak-anak terpaksa menghantar Sharifah Aminah ke sebuah pusat jagaan warga emas di Bangsar, Kuala Lumpur selama hampir setahun.

Bagaimanapun, kisah Sharifah Aminah terlantar di pusat jagaan warga emas menjadi bualan ramai sehingga warga netizen melontarkan pelbagai kecaman dan menuduh anak-anaknya tergamak menghantar ibu yang sedang koma ke pusat berkenaan.

BH secara eksklusif berjaya memujuk Wan Monaliza menjelaskan kenapa aktres yang diperkenalkan menerusi filem ala James Bond, Bayangan Ajal pada 1967 itu dibiarkan di pusat jagaan itu.

Pendedahan BH membuka ramai penggiat seni membantu Wan Monaliza yang ketika itu sudah tidak mampu membayar kos pusat penjagaan berkenaan sejak diberhentikan kerja, awal tahun lalu.

Malah, Yayasan Kebajikan Artis Tanahair (YKAT) dan Persatuan Kebajikan Artis Veteran Malaysia (PKAVM) tampil membantu melunaskan sebanyak RM7,000 bayaran tertunggak di pusat jagaan berkenaan.

Berita Harian X