Isnin, 24 Mei 2021 | 12:53pm

Neelofa beri kerjasama siasatan tak pakai pelitup muka

KUALA LUMPUR: Usahawan dan selebriti popular, Neelofa, 32, sudah memberikan kerjasama baik dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkaitan dakwaan mengenakan niqab tanpa memakai pelitup muka seperti mana diwajibkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

Pengacara N To N itu dipanggil untuk memberi keterangan berhubung perkara berkenaan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban, pagi ini.

Menerusi kenyataan media ringkas, Neelofa bersyukur sesi siasatan berjalan dengan lancar.

"Kami sudah memberikan kerjasama sepenuhnya kepada polis dalam menyelesaikan kes ini.

"Alhamdulillah, proses berjalan dengan lancar. Tidak banyak yang boleh diulas mengenai isu ini memandangkan kes masih dalam siasatan.

"Insya-Allah, jika ada perkembangan, saya akan memaklumkan. Terima kasih," katanya.

Neelofa dan suaminya, PU Riz selesai memberikan keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban hari ini berhubung dakwaan mengenakan niqab tanpa memakai pelitup muka seperti mana diwajibkan oleh KKM. - NSTP/Azrul Edham Mohd Aminuddin

Pada 21 Mei lalu, polis membuka kertas siasatan terhadap Neelofa atau Noor Neelofa Mohd Noor yang mengenakan niqab tanpa memakai pelitup muka.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner, Mohd Said Ibrahim, berkata kertas siasatan dibuka susulan berita di laman sesawang sebuah portal yang tular memaparkan Neelofa tidak memakai pelitup muka ketika hadir ke Mahkamah Majistret Seremban, Khamis lalu.

"Polis menerima laporan mengenai tindakan Neelofa tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) berkaitan pemakaian pelitup muka seperti mana diwajibkan oleh KKM kepada semua individu.

"Ia termasuklah kepada mereka yang mengenakan niqab penuh atau separuh," katanya.

Mohd Said berkata, penjelasan berhubung SOP itu juga dikeluarkan KKM selepas kerajaan mewajibkan pemakaian pelitup muka di semua tempat awam mulai 1 Ogos 2020.

Sehari sebelum itu, media melaporkan Neelofa dan suaminya, Muhammad Haris Mohd Ismail atau PU Riz mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Seremban atas kesalahan melanggar SOP Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di sebuah kedai karpet, di Nilai, awal bulan ini.

Neelofa dan Muhammad Haris sebelum ini didakwa di Mahkamah Majistret Seremban atas dua pertuduhan gagal mematuhi SOP PKPB di sebuah premis menjual karpet di Pusat Perniagaan Nilai 3 pada 2 Mei lalu. - Foto NSTP

Neelofa dan suaminya, PU Riz selesai memberikan keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban hari ini. - NSTP/Azrul Edham Mohd Aminuddin
Neelofa dan suaminya, PU Riz selesai memberikan keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban hari ini. - NSTP/Azrul Edham Mohd Aminuddin
Berita Harian X