Isnin, 24 Mei 2021 | 8:30am
Jurey (kanan) berinteraksi dengan ahli PTVM bagi mendapatkan maklum balas mengenai permasalahan dalam industri penerbitan seperti syarat SOP diperketatkan di bawah PKP 3.0. Foto Ihsan Jurey Latiff Rosli
Jurey (kanan) berinteraksi dengan ahli PTVM bagi mendapatkan maklum balas mengenai permasalahan dalam industri penerbitan seperti syarat SOP diperketatkan di bawah PKP 3.0. Foto Ihsan Jurey Latiff Rosli

Terpaksa henti 'shooting'

KUALA LUMPUR: Kesukaran mencari studio mengikut syarat Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) selain naskhah dihasilkan memerlukan lokasi tertutup bukan studio, syarikat produksi terpaksa menangguhkan penggambaran sebaik prosedur operasi standard (SOP) 'shooting' diperketatkan, esok.

Akur aktiviti penggambaran dilakukan dalam studio rasmi yang berdaftar dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) seperti diumumkan FINAS, kelmarin, syarikat produksi bagaimanapun tidak mempunyai pilihan selain menghentikan kerja di lokasi.

Presiden Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM), Datuk Jurey Latiff Rosli, berkata ramai ahli menyuarakan rasa tidak puas hati dan meminta persatuan merayu FINAS membenarkan mereka meneruskan penggambaran di lokasi tertutup.

"Tidak banyak naskhah yang diusahakan sekarang yang dikendalikan dalam studio. Lazimnya, 'shooting' dalam studio hanya membabitkan produksi sitkom, program bual bicara dan sebagainya.

"Bagi penggambaran drama dan filem, memang sukar.

"Lebih menyulitkan, kami tidak boleh mengubah jalan cerita kerana sudah terikat dengan stesen televisyen (TV).

Jurey menerima maklumat syarikat produksi terpaksa menghentikan kerja penggambaran berikutan kesukaran mematuhi SOP diperketatkan FINAS, berkuat kuasa esok. Foto Ihsan Jurey Latiff Rosli
Jurey menerima maklumat syarikat produksi terpaksa menghentikan kerja penggambaran berikutan kesukaran mematuhi SOP diperketatkan FINAS, berkuat kuasa esok. Foto Ihsan Jurey Latiff Rosli

"Jadi, biarpun sudah memiliki Sijil Perakuan Penggambaran Filem Khas (SPP Khas), syarikat produksi terpaksa menghentikan 'shooting'," katanya kepada BH Online.

Jurey berkata, banyak syarikat produksi menghubungi dan meminta agar rayuan dikemukakan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi membolehkan aktiviti penggambaran dikendalikan di kawasan tertutup.

"Di Malaysia tidak banyak studio yang mematuhi syarat ditetapkan FINAS.

"Bagaimanapun, saya menasihatkan ahli, dalam keadaan yang meruncing sekarang, kita perlu lebih sayangkan nyawa daripada memikirkan mengenai kerja yang tidak siap ini," katanya.

Kelmarin, FINAS mengumumkan aktiviti rakaman bagi penggambaran filem, drama, dokumentari, animasi, produksi muzik dan seumpamanya dibenarkan bagi rakaman dalaman di studio rasmi yang berdaftar dengan PBT dan SSM.

Kerja penggambaran dibenar dilakukan antara jam 8 pagi hingga 8 malam.

FINAS menyebut, antara contoh studio rasmi yang dibenarkan adalah studio milik perbadanan itu, Studio Iskandar Malaysia, Studio Jelas Juta dan sebagainya.

Selain itu, FINAS menetapkan aktiviti penggambaran dikendalikan kru minimum tanpa penonton serta perlu membuat permohonan SPP Khas dan tertakluk kepada pematuhan SOP Industri Kreatif yang ditetapkan MKN.

Jurey berkata, PTVM berpendirian langkah menghentikan sementara penggambaran adalah lebih baik daripada melihat lebih ramai penggiat industri jatuh sakit akibat penularan COVID-19.

"Kita tidak mahu jadi punca merebaknya COVID-19 hingga muncul kluster dalam kalangan penggiat seni.

"Apatah lagi sekarang kita lihat ramai penggiat industri seperti pelakon yang disahkan positif COVID-19," katanya.

Jurey berkata, penggambaran drama 13 episod Tok Guru terbitan syarikatnya untuk RTM juga terjejas kerana kebanyakan lokasi 'shooting' adalah di kawasan tertutup.

Sehubungan itu, katanya, stesen TV diharap dapat meminda kontrak atau memberi kelonggaran kepada syarikat produksi yang terkesan dengan keputusan kerajaan mengetatkan SOP PKP 3.0.

"Ada syarikat produksi tidak dapat menjalankan penggambaran selama berbulan-bulan berikutan keadaan semasa.

"Jadi, kami memohon stesen TV fahami kesukaran ini," katanya.

Jurey berkata, beliau menghubungi Ketua Setiausaha (KSU), Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Datuk Mohammad Mentek mengusulkan agar perbincangan mengenai masalah 'shooting' dibincangkan bersama RTM.

"Syarikat produksi berdepan kenaikan kos kerana penangguhan penggambaran, masalah kontrak, pembayaran, jadual artis, kekurangan kakitangan dan sebagainya.

"Jadi, kami memohon pihak berkuasa memikirkan kaedah penyelesaian atas kesan sampingan yang kami hadapi akibat langkah kerajaan mengetatkan SOP," katanya.

Jurey berkata, penyelesaian jangka panjang juga boleh dibincangkan jika masalah penularan COVID-19 mengambil masa bertahun-tahun untuk pulih.

"Antara langkah boleh diambil adalah menyediakan lebih banyak studio penggambaran.

"Di Korea Selatan misalnya, kebanyakan drama dirakam dalam studio yang mempunyai kemudahan lengkap," katanya.

Berita Harian X