X
Rabu, 12 Mei 2021 | 1:00pm
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Ahmad Idham Ahmad Nadzri. - Foto FINAS
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Ahmad Idham Ahmad Nadzri. - Foto FINAS

Syarikat produksi usah alpa patuh SOP

KUALA LUMPUR: Menyedari lonjakan kes jangkitan COVID-19 termasuk dalam kalangan artis sejak akhir-akhir ini, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Ahmad Idham Ahmad Nadzri menasihatkan pelakon dan warga produksi menjalani ujian saringan wabak berbahaya itu, sebelum memulakan penggambaran.

Ahmad Idham berkata, ujian saringan COVID-19 dapat mengelak kluster dalam kalangan warga produksi.

"Bukan pelakon sahaja, kami dimaklumkan ada beberapa 'runner' dan kru produksi yang disahkan jangkitan COVID-19. Lebih menakutkan apabila yang dijangkiti tidak mengalami simptom.

"Disebabkan itu, kami mengambil langkah proaktif dengan menetapkan prosedur operasi standard (SOP). Setiap produksi yang mahu menjalankan aktiviti penggambaran perlu menjalani ujian saringan sebelum mendapatkan Sijil Perakuan Penggambaran Filem Khas (SPP Khas)," katanya kepada BH Online.

Berterima kasih kepada syarikat produksi yang akur peraturan, Ahmad Idham menambah, tanpa sokongan mereka usaha kerajaan mengawal penularan COVID-19 tidak mampu dicapai.

"Kami boleh melaksanakan apa saja peraturan, tapi jika tiada sokongan syarikat produksi, kadar penularan COVID-19 akan bertambah.

"Jadi, kami memerlukan sokongan syarikat produksi untuk mengekang penularan ini," katanya.

Sebelum ini, FINAS mewajibkan syarikat produksi memohon SPP Khas sebelum menjalankan penggambaran.

Ahmad Idham berkata, SPP Khas dikeluarkan bagi memudahkan FINAS mengesan dan memantau aktiviti 'shooting', syarikat produksi, pelakon dan kru yang terbabit dengan penggambaran sepanjang PKP.

Bagaimanapun, Ahmad Idham tidak menafikan ada syarikat produksi yang keberatan menjalankan ujian saringan untuk kru sebelum menjalankan penggambaran.

"Ada syarikat produksi yang berkira dan tidak nampak mengapa kami melaksanakan SOP begini. Kami juga menerima rungutan daripada penerbit. Bagi saya, perkara itu tidak sepatutnya berlaku.

"Penerbit patut akur kerana kami lebih mengetahui data penularan jangkitan COVID-19. Setiap SOP yang kami laksanakan bersebab.

"Apatah lagi penularan sudah ada dalam komuniti kita daripada angka jangkitan yang dilaporkan. Jangan beranggapan dalam kalangan kru produksi semuanya sihat, lantas mengabaikan ujian saringan," katanya.

Setiap produksi yang mahu menjalankan aktiviti penggambaran perlu menjalani ujian saringan sebelum mendapatkan Sijil Perakuan Penggambaran Filem Khas (SPP Khas) daripada FINAS.
Setiap produksi yang mahu menjalankan aktiviti penggambaran perlu menjalani ujian saringan sebelum mendapatkan Sijil Perakuan Penggambaran Filem Khas (SPP Khas) daripada FINAS.

Ahmad Idham berkata, butiran seperti nama petugas dan keputusan ujian saringan perlu dikemukakan kepada FINAS untuk tujuan kelulusan SPP.

"Usaha ini secara tidak langsung membantu memperbanyakkan lagi ujian saringan berskala dalam sektor industri kreatif dan penerbitan," katanya.

Ahmad Idham turut menepis alasan kekangan bajet yang menjadi faktor penerbit enggan melakukan ujian saringan terhadap pelakon dan pekerja produksi.

"Berapa sangat bajet yang perlu dikeluarkan untuk setiap kru produksi menjalani ujian saringan. Apatah lagi kalau mahu dibandingkan dengan kerugian apabila penggambaran tergendala disebabkan penularan ini.

"Misalnya, baru-baru ini ada syarikat produksi yang terpaksa menghentikan penggambaran disebabkan pelakonnya disahkan positif COVID-19.

"Mana lebih rugi? Kerugian penggambaran tergendala lebih besar daripada perbelanjaan yang dikeluarkan untuk melakukan ujian saringan," katanya.

Ahmad Idham berkata, syarikat produksi juga perlu mengehadkan jumlah petugas di lokasi seperti SOP ditetapkan.

"Penerbit perlu bijak mengatur tenaga kerja mereka dalam tempoh PKP ini.

"Selepas PKP, hendak tambah pekerja pun tidak mengapa. Buat masa sekarang, penerbit kena pandai menyusun atur gerak kerja mereka," katanya.

Sementara itu, Ahmad Idham berkata, pemantauan di lokasi penggambaran dilakukan seperti biasa bagi memastikan warga produksi mematuhi SOP digariskan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Setiap hari ada penguat kuasa FINAS pergi ke lokasi penggambaran bagi membuat pemantauan. Bukan sahaja di Kuala Lumpur, malah di Perak dan Johor.

"Usaha ini dilakukan lebih awal, bukan ketika PKP. Daripada pemantauan inilah kami dapati ada beberapa pihak tidak akur dengan SOP dan sebagainya," katanya.

Ahmad Idham berkata, FINAS tidak mahu penularan COVID-19 dalam sektor penerbitan dan industri kreatif meningkat disebabkan sikap alpa sesetengah pihak.

"Kami tidak mahu kes bertambah kerana sikap sesetengah pihak yang mula alpa dan menganggap ujian saringan bukan kemestian.

"Saya tidak menafikan akan wujud kluster sekiranya pihak produksi alpa dan ambil mudah. Saya mohon pihak penerbit dan syarikat produksi, jangan ingat kita sudah menang dan COVID-19 sudah hilang.

"Virus ini tidak kenal sesiapa pun, sama ada artis popular atau tidak," katanya.

Berita Harian X