Rabu, 21 April 2021 | 10:56pm
 Sweet Qismina kini menjalani tempoh rawatan dan kuarantin di Pusat Kuarantin Ipoh, Perak. - Foto IG Sweet Qismina
Sweet Qismina kini menjalani tempoh rawatan dan kuarantin di Pusat Kuarantin Ipoh, Perak. - Foto IG Sweet Qismina

Sweet positif COVID-19

KUALA LUMPUR: Pelakon drama Bidadari Salju, Sweet Qismina mengesahkan positif COVID-19, hari ini.

Artis Baharu Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 3.0 itu berkongsi berita berkenaan menerusi laman Instagram (IG). Sweet kini menjalani tempoh rawatan dan kuarantin di Pusat Kuarantin Ipoh, Perak.

Sweet atau nama sebenarnya, Farhanna Qismina Supandi berkata, dia membuat ujian calitan pada Selasa lalu.

"Saya tidak sihat semasa menjalani penggambaran filem Tariandi di Kuala Kangsar, Perak sejak 16 April lalu.

"Saya mengambil ubat selama tiga hari, tetapi belum pulih dan sukar bernafas. Kemudiannya, saya membuat ujian calitan di Columbia Hospital, Taiping dan keputusannya adalah positif.

"Saya dihantar ke Hospital Kuala Kangsar dan membuat ujian saringan, keputusannya tetap positif. Saya kemudiannya dihantar ke Pusat Kuarantin Ipoh untuk dikuarantin. Saya tiada sebarang komplikasi, cuma hilang deria rasa dan bau," katanya menerusi kenyataan media yang dimuat naik syarikat pengurusan, Warner Music dalam laman sosial.

Sweet Qismina mengumumkan berita disahkan positif COVID-19 menerusi laman Instagram, hari ini. - Foto IG Sweet Qismina
Sweet Qismina mengumumkan berita disahkan positif COVID-19 menerusi laman Instagram, hari ini. - Foto IG Sweet Qismina

Dalam pada itu, Sweet mengucapkan terima kasih kepada petugas kesihatan yang membantunya sepanjang proses rawatan di hospital.

"Kakitangan Hospital Kuala Kangsar menjaga saya dengan baik, sebelum dihantar ke Ipoh.

"Doakan semoga saya cepat sembuh daripada COVID-19," katanya.

Berita Harian X