Rabu, 21 April 2021 | 6:00pm
Ada netizen mempertikaikan kononnya Zara Zya sengaja mahu menunjuk-nunjuk apabila mengemas kini mengenai bantuan yang diterima dalam laman Instagram. - NSTP/Muhd Asyraf Sawal
Ada netizen mempertikaikan kononnya Zara Zya sengaja mahu menunjuk-nunjuk apabila mengemas kini mengenai bantuan yang diterima dalam laman Instagram. - NSTP/Muhd Asyraf Sawal

Zara buka laman web untuk derma lebih telus

KUALA LUMPUR: Aktres Zara Zya, 36, menerima banyak mesej langsung daripada pengikut dalam laman sosial yang meminta pelbagai bantuan sejak aktif menjalankan kerja kebajikan, tahun lalu.

Antaranya, ada yang meminta membelikan kad tambah nilai, membaiki atap bocor, barangan keperluan dan pelbagai bentuk sumbangan lain menyebabkannya mewujudkan laman web, malaysiaprihatin.com untuk memudahkan rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan dan penderma menghulurkan sumbangan.

Belumpun sebulan beroperasi, laman web berkenaan mendapat sokongan ramai selebriti seperti Datuk Aaron Aziz, Zulin Aziz, Achey, Umie Nazeera, Rozita Che Wan, Ippo Hafiz, Fara Fauzana dan ramai lagi untuk melancarkan kempen itu.

"Tujuan laman web ini diwujudkan bagi menyediakan satu landasan sah dan selamat untuk mereka yang memerlukan dan penderma menghulurkan sumbangan. Sebelum ini, saya dan rakan selebriti lain sering menerima mesej langsung daripada masyarakat yang merayu bantuan.

"Ada antaranya mewujudkan sendiri akaun Instagram (IG) bagi tujuan meminta bantuan, tetapi tidak pasti sama ada mereka betul-betul memerlukan atau sekadar mengambil kesempatan. Jadi, dengan adanya laman web ini, tidak perlu lagi rasa was-was mahu membantu. Ini kerana Malaysia Prihatin akan menyiasat dengan terperinci sebelum sesuatu kempen diwujudkan.

"Kempen ini tidak terbuka kepada orang perseorangan sahaja, malahan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga boleh memohon untuk menyertai kempen, tetapi perlulah berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS). Hasil kutipan ini, 90 peratus akan diberikan kepada pemohon. Kami hanya mengambil 10 peratus untuk kos penyelenggaraan," katanya kepada BH Online.

Katanya, biarpun niatnya murni untuk membantu meringankan beban insan memerlukan, namun dia tidak ketinggalan dituduh cuba mengambil kesempatan

Mengakui sedikit rasa terkilan, Zara berkata, dia melakukan semua kerja kebajikan kerana minat menggerakkan NGO Prihatin Tanpa Sempadan sejak tahun lalu.

"Ada yang mempertikaikan kononnya saya ingin menunjuk-nunjuk kerana saya mengemas kini mengenai bantuan dalam IG. Apabila saya membangunkan laman web Malaysia Prihatin pula, ada yang kata saya nak makan duit orang.

"Sedangkan platform ini sangat telus kerana setiap transaksi berlaku secara dalam talian. Jadi, setiap bantuan yang dihulurkan sekalipun seringgit akan direkod dan invois diberikan melalui emel kepada penderma.

"Ada kala bukan mudah untuk memuaskan hati orang. Niat saya memuat naik aktiviti kebajikan bukan untuk menunjuk, sebaliknya ingin menggalakkan lebih ramai pengikut terbabit dalam kegiatan kebajikan. Saya memuat naik perkara yang baik, bukan menayang beg mahal atau sebagainya.

"Lagipun sumbangan ini datang daripada orang ramai, jadi saya perlu telus dan tunjuk bukti dalam laman sosial," katanya.

Zara Zya menyertai program membeli-belah bersama 30 anak-anak yatim dari Rumah Bakti Al Kausar, Bangi di Jakel Shah Alam, baru-baru ini. - NSTP/Muhd Asyraf Sawal
Zara Zya menyertai program membeli-belah bersama 30 anak-anak yatim dari Rumah Bakti Al Kausar, Bangi di Jakel Shah Alam, baru-baru ini. - NSTP/Muhd Asyraf Sawal

Berbicara mengenai kerjaya seninya, dia masih menerima banyak tawaran lakonan, namun terpaksa menolak kerana ingin menumpukan perhatian kepada amal ibadat pada Ramadan.

Katanya, ada yang menyangka dirinya tidak lagi laku gara-gara wajah semakin jarang muncul di kaca televisyen. Namun, jelas graduan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) itu, hakikatnya jadualnya masih sibuk seperti biasa.

"Alhamdulillah, tawaran sentiasa ada, cuma saya banyak menolak menerima tawaran pada bulan puasa sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Saya tidak mahu amal ibadah terganggu apabila terpaksa menjalani penggambaran sehingga malam.

"Jika penggambaran mengambil masa tidak lama, saya akan terima. Contohnya, kempen ais krim dan alat solekan yang tidak memerlukan masa lama. Selain memberikan tumpuan pada ibadah, saya juga dapat fokus kepada Malaysia Prihatin. Mungkin disebabkan itulah ramai menyangka saya tidak lagi aktif berlakon," katanya ditemui ketika program membeli-belah bersama 30 anak-anak yatim dari Rumah Bakti Al Kausar, Bangi di Jakel Shah Alam, baru-baru ini.

Berkongsi mengenai hal peribadi, Zara yang pernah melalui pengalaman putus tunang, dua tahun lalu bersama pelakon Hafriez Adam berkata, dia tidak berani terlalu ke hadapan kerana bimbang pengalaman lalu berulang semula.

Bagaimanapun, Zara mengakui, berkawan dengan beberapa jejaka, tetapi masih belum ada yang serius.

Katanya, sudah tiba masanya untuk memikirkan soal jodoh pada usia 36 tahun.

"Saya tidak letakkan sasaran kerana tidak mahu kecewa, tapi saya sudah mula memikirkan soal untuk berumahtangga. Namun, jujurnya, setakat ini, belum ada calon yang sesuai.

"Saya tidak kisah siapa pun jodoh sama ada orang biasa mahupun artis. Apa yang penting adalah keserasian dan kejujuran," katanya.

Berita Harian X