Rabu, 21 April 2021 | 2:26pm
Bapa Azlan & The Typewriter berada dalam keadaan kritikal selepas disahkan positif COVID-19, sejak dua minggu lalu. - Foto IG Azlan & The Typewriter
Bapa Azlan & The Typewriter berada dalam keadaan kritikal selepas disahkan positif COVID-19, sejak dua minggu lalu. - Foto IG Azlan & The Typewriter

Bapa Azlan tenat, positif COVID-19

PUCHONG: Bapa kepada penyanyi Azlan & The Typewriter yang dikenali sebagai Sallehuddin kini berada dalam keadaan tenat selepas disahkan positif COVID-19, sejak dua minggu lalu.

Berkongsi berita sedih itu, Azlan berkata, bapanya kini sedang mendapat rawatan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS).

Azlan berkata, dia sudah bersedia dengan sebarang kemungkinan yang bakal menimpa bapa berikutan keadaannya sudah dimaklumkan oleh doktor.

"Ayah disahkan positif COVID-19, dua minggu lalu dan kini sedang menjalani rawatan di Serdang. Ayah berusia 60-an dan mengidap pelbagai penyakit.

"Doktor memaklumkan, keadaan kesihatannya semakin kritikal dan mereka sudah habis berikhtiar untuk menyelamatkannya. Saya bertemu bapa kali terakhir seminggu sebelum disahkan positif COVID-19.

"Sepanjang menerima rawatan, saya langsung tidak berpeluang untuk bertemu mahupun menghubunginya. Sebarang perkembangan terkini diketahui menerusi adik dan ibu saudara yang menjaganya," katanya kepada BH Online.

Azlan & The Typewriter lebih menumpukan perhatian kepada dunia perniagaan memandangkan aktiviti seni agak terbatas ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini. - Foto IG Azlan & The Typewriter
Azlan & The Typewriter lebih menumpukan perhatian kepada dunia perniagaan memandangkan aktiviti seni agak terbatas ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini. - Foto IG Azlan & The Typewriter

Bekas vokalis kumpulan Meet Uncle Hussain itu berkata, hubungannya dan ayah tetap baik walaupun tidak dibesarkan lelaki itu berikutan masalah keluarga.

"Hubungan kami rapat dan sering berhubung untuk bertanya khabar. Walaupun ayah tidak menjaga saya, tetapi dia tetap ayah saya. Kalau tiada ayah, tiadalah saya di dunia ini.

"Lagipun, jika saya tidak menerima takdir yang ditentukan, bermakna saya tak percaya kepada qada dan qadar Tuhan.

"Justeru, saya perlu berfikiran terbuka dan menerima segala yang berlaku seadanya," katanya ketika ditemui pada majlis berbuka puasa anjuran Indigital Music di 10 Gram, di sini, semalam.

Azlan atau nama sebenarnya, Nor Azlan Rosle berkata, dia lebih menumpukan perhatian kepada perniagaan memandangkan aktiviti seni agak terbatas ketika ini.

"Tak dinafikan, pandemik ini memberi kesan kepada saya sebagai penyanyi. Cabaran dihadapi memang agak getir. Justeru, sebagai survival, saya menjalankan perniagaan baju Melayu yang dibuat daripada kain jersi dan dijual secara dalam talian.

"Sambutan diterima amat menggalakkan. Selain itu, saya bersama rakan niaga turut membeli sebuah bangunan di kawasan Kampung Baru, Kuala Lumpur dan membuka sebuah ruang membantu usahawan Industri Kecil dan Sederhana memasarkan produk mereka," kata Azlan.

Berita Harian X