Rabu, 21 April 2021 | 1:00pm
Faizal Tahir banyak terlepas pandang dan kurang fokus kepada keluarga sejak tampil dengan album Assalamualaikum pada 2015. - NSTP/Hazreen Mohamad
Faizal Tahir banyak terlepas pandang dan kurang fokus kepada keluarga sejak tampil dengan album Assalamualaikum pada 2015. - NSTP/Hazreen Mohamad

Faizal Tahir undur diri demi keluarga

KUALA LUMPUR: Selepas lebih 17 tahun mengabdikan diri dalam dunia seni, penyanyi dan komposer, Faizal Tahir, 43, mengumumkan mahu berehat bagi memberi tumpuan kepada keluarga.

Bagaimanapun, Faizal menjelaskan, keputusan itu bukan bermakna dia mengatakan selamat tinggal kepada dunia hiburan. Cuma, apa yang mahu dilakukan bapa kepada enam anak ini adalah meluangkan masa bersama keluarga.

"Sejak projek Assalamualaikum pada 2015, saya tiada rehat langsung. Penerbitan album Anatomi, Rojak, Qibla dan semua projek yang lain memberi kepuasan, Alhamdulillah.

"Tetapi saya benar-benar sudah letih dengan kerja muzik yang saya lakukan. Disebabkan itulah, banyak perkara saya terlepas pandang dan kurang fokus terhadap keluarga," katanya.

Faizal mengaku memiliki keluarga besar yang memerlukan perhatian.

"Sedar tidak sedar, anak pertama saya akan tamat sekolah, tidak lama lagi. Saya beritahu isteri, saya rasa bersalah kerana tidak banyak habiskan masa dengan anak.

"Jadi, keputusan ini lebih kepada naluri seorang ayah. Inilah masanya untuk saya bayar balik kepada keluarga sebelum terlambat.

"Namun, saya tidak fikir boleh melepaskan muzik begitu sahaja. Muzik adalah jiwa saya. Apabila tiba masa, saya akan aktif semula," katanya.

Faizal Tahir tampil dengan album Qibla bersama kumpulan Mirwana sebagai hadiah terakhirnya buat peminat sebelum berehat. - NSTP/Hazreen Mohamad
Faizal Tahir tampil dengan album Qibla bersama kumpulan Mirwana sebagai hadiah terakhirnya buat peminat sebelum berehat. - NSTP/Hazreen Mohamad

Selain fokus kepada keluarga, Faizal mahu menggerakkan Faithful Publishing yang ditubuhkan awal tahun ini bagi mencari pelapis dan bakat baharu dalam bidang komposisi serta penerbitan muzik.

"Penubuhan syarikat ini sesuatu yang di luar jangkaan. Tetapi itu adalah perkara yang menyegarkan buat saya, berbanding apa yang saya buat sebelum ini.

"Ini lebih kepada kerja di belakang tabir. Setakat ini, Faithful Publishing bertindak sebagai mentor kepada penulis lagu dan lirik baharu.

"Antara mereka adalah lima anggota kumpulan K-Clique," katanya yang ditemui pada majlis pelancaran album Qibla di Universal Music Malaysia di ibu negara, kelmarin.

Faizal tampil dengan album Qibla sebagai hadiah terakhirnya buat peminat sebelum berehat.

Apa yang istimewa, album itu menampilkan kerjasama Faizal bersama kumpulan nasyid yang pernah dianggotainya, Mirwana menerusi lagu Aku Tanpa CintaMu 2021.

"Selepas menerima banyak permintaan, akhirnya, saya kembali bekerjasama dengan Mirwana yang disertai kira-kira 17 tahun lalu.

"Alhamdulillah kumpulan Mirwana memberi kerjasama yang baik. Insya-Allah, ini bukan projek terakhir daripada kami," katanya.

Selain Aku Tanpa CintaMu 2021, album Qibla memuatkan lagu baharu berjudul Syahadah dan rakaman semula Ceria Aidilfitri bersama Zizi Kirana serta kumpulan Darmas.

Tidak hanya itu, projek berkenaan turut menghadiahkan peminat 10 klip audio tadabbur yang dipilih dan dibaca Faizal.

Berita Harian X