Isnin, 19 April 2021 | 6:00pm
Nabil Ahmad menyertai jemaah tabligh untuk mendalami ilmu agama, sejak awal tahun ini. - NSTP/Ezairi Samsudin
Nabil Ahmad menyertai jemaah tabligh untuk mendalami ilmu agama, sejak awal tahun ini. - NSTP/Ezairi Samsudin

Jiwa Nabil kosong biarpun rezeki tak putus

KUALA LUMPUR: Pengacara dan pelawak popular, Nabil Ahmad berat hati berkongsi mengenai penghijrahannya kerana risau iman masih rapuh.

Bagaimanapun, kini, lebih terbuka dan memohon peminat mendoakannya terus istiqamah.

"Doakan saya terus istiqamah. Jujurnya, ini adalah Ramadan pertama yang dirasakan sangat berbeza daripada sebelum ini. Alhamdulillah, nikmatnya, saya tak boleh nak gambarkan dengan kata-kata.

"Ia lebih berharga apabila saya dekat dengan Allah. Saya merasakan setiap saat membuat amal pada bulan ini.

"Apa yang dirasakan ini selepas saya menyertai kumpulan tabligh. Jadi, saya nasihatkan peminat carilah imam atau ustaz yang berdekatan bagaimana mahu menyertai kelas agama kerana nikmatnya sangat besar," katanya kepada BH Online.

Nabil berkata, dia menyertai jemaah tabligh bagi mendalami ilmu agama, sejak awal tahun ini.

Katanya, dia dapat melihat perubahan besar dalam keluarga dan kehidupan seharian selepas berhijrah.

"Alhamdulillah, Allah memberikan saya petunjuk untuk menyertai jemaah tabligh. Saya tidak ingat tarikh bila, tetapi saya masih ingat, ada satu pagi, saya bangun dan dapat merasakan agama, iman dan amal saya tidak cukup. Saya rasa hidup ini singkat, disebabkan risau, saya membuat keputusan menyertai kumpulan tabligh.

"Malah, terlalu banyak pemberian Allah pada saya ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), baru-baru ini. Terutama dari segi perniagaan. Bagaimanapun, jiwa saya tetap kosong dengan adanya semua ini.

"Itulah kata orang, hidayah milik Allah. Apabila diberi, memang diberikan dengan bersungguh-sungguh," katanya.

Nabil Ahmad tidak berniat meletakkan noktah pada kerjaya seni kerana percaya selain mencari rezeki untuk keluarga, medan ini juga boleh digunakan untuk berdakwah. - NSTP/Ezairi Samsudin
Nabil Ahmad tidak berniat meletakkan noktah pada kerjaya seni kerana percaya selain mencari rezeki untuk keluarga, medan ini juga boleh digunakan untuk berdakwah. - NSTP/Ezairi Samsudin

Nabil berkata, dia juga pernah lari apabila ada jemaah tabligh yang mengajaknya, namun, selepas menyertai barulah dapat merasai nikmatnya.

Dengan itu, Nabil mengakui, dia mempunyai niat untuk mengajak rakan-rakan untuk mendalami ilmu agama.

"Jujurnya, saya risau memikirkan dosa lalu. Saya takut bagaimana jika saya mati tak sempat membuat amal yang mencukupi. Alhamdulillah, Allah bagi saya jalan untuk menyertai kumpulan tabligh ini. Saya mahu mengajak rakan selebriti dan sekampung untuk turut serta.

"Ini kerana saya boleh jumpa sesuatu di sini yang boleh mengubah hidup, keluarga dan pemikiran saya. Dahulu, saya akui saya suka marah-marah, ada sahaja benda tidak kena dan selalu bergaduh dengan isteri. Alhamdulillah, sekarang saya sudah agak bezanya di rumah seperti magis. Ini disebabkan amalan agama.

"Jadi, saya kena beritahu orang supaya dekatkan diri dengan Allah dan cukupkan amal sebab kita tidak tahu bila ajal menjemput. Saya percaya kita semua mahukan pengakhiran yang baik dalam hidup," katanya.

Bagaimanapun, Nabil berkata, dia tidak berniat meletakkan noktah pada kerjaya seni kerana percaya selain mencari rezeki untuk keluarga, medan ini juga boleh digunakan untuk berdakwah.

"Saya masih lagi pengacara MeleTOP dan insya-Allah program Gegar Vaganza juga akan berlangsung seperti biasa. Tetapi, saya mahu membawakan suasana baharu.

"Saya masih boleh bergurau. Saya ada bertanya pada ustaz, sekiranya sebelah pihak memahami dan tidak marah, tiada masalah. Selama ini saya bergurau dengan artis pun selepas meminta persetujuan," katanya yang ditemui pada majlis pelancaran kempen Ramadan Raya Jakel 2021 yang berlangsung di Jakel Mall, baru-baru ini.

Berita Harian X