Jumaat, 16 April 2021 | 12:02pm
Abu Bakar Omar menghembuskan nafas terakhir dipercayai masalah jantung dan hati di Kedah Medical Centre (KMC), jam 9.04 pagi ini.
Abu Bakar Omar menghembuskan nafas terakhir dipercayai masalah jantung dan hati di Kedah Medical Centre (KMC), jam 9.04 pagi ini.

Abu Bakar meninggal dunia

KUALA LUMPUR: Pelakon veteran, Abu Bakar Omar, 73, menghembuskan nafas terakhir dipercayai masalah jantung dan hati di Kedah Medical Centre (KMC), jam 9.04 pagi ini.

Anak sulungnya, Mohd Zainuddin Abu Bakar mengesahkan berita pemergian arwah bapanya itu.

Katanya, arwah bapa dibawa ke KMC, malam tadi oleh adiknya selepas kelihatan tidak bermaya ketika berbuka puasa.

"Keadaan arwah baik-baik sahaja sebelum dibawa ke hospital. Arwah berpuasa dan kelihatan sihat seperti biasa. Arwah ada menghidap beberapa penyakit, tetapi tidaklah teruk, hanya kolesterol dan masalah usus.

"Bagaimanapun, arwah kelihatan penat dan tidak larat ketika berbuka puasa, malam tadi. Arwah hanya sempat meneguk air sahaja. Melihat keadaan arwah seperti kepenatan, adik bergegas membawanya ke KMC. Melalui pemeriksaan dilakukan, doktor mendapati jantung dan hati arwah bengkak.

"Pada tengah malam, bapa dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) dan disahkan meninggal dunia, pagi ini. Pemergian arwah cukup mengejutkan buat kami sekeluarga memandangkan arwah masih boleh berbual sewaktu dalam perjalanan ke hospital," katanya kepada BH Online.

Pelakon, Azhan Rani bergandingan dengan arwah Abu Bakar Omar menerusi telefilem Khilaf Terakhir pada Mac, tahun lalu. - Foto IG Azhan Rani
Pelakon, Azhan Rani bergandingan dengan arwah Abu Bakar Omar menerusi telefilem Khilaf Terakhir pada Mac, tahun lalu. - Foto IG Azhan Rani

Zainuddin berkata, arwah bapanya sudah tiga tahun tinggal bersama ibu dan dua adiknya di Kedah.

Arwah meninggalkan seorang balu dan empat cahaya mata, manakala seorang lagi anaknya meninggal dunia pada usia 13 tahun.

Jenazah Allahyarham Abu Bakar dijangka dikebumikan selepas solat asar di Tanah Perkuburan Islam Akar Peluru, Jalan Pegawai, Alor Setar.

Sepanjang kerjayanya, arwah pernah membintangi banyak filem dan drama. Antara filem, Tsu Feh Sofia, Rahsia, Fenomena, Bila Hati Telah Retak, Cinta Kolestrol dan banyak lagi.

Manakala, antara telefilem yang pernah dijayakan termasuklah Gincu Ayah, Al Ikhlas, Tongkat Tok Ali, Wawasan dan Senja Belum Berakhir.

Kemampuan arwah sebagai pelakon tidak mampu disangkal lagi. Arwah pernah meraih trofi Pelakon Lelaki Terbaik (Drama), Anugerah Sri Angkasa (ASA) pada 1983 menerusi drama Senja Belum Berakhir bergandingan dengan Uji Rashid; Pelakon Lelaki Terbaik (Drama Radio), ASA 1990 (Bukan Kerana Kasih), Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik, Anugerah Skrin TV3 (ASK) pada 1999 menerusi drama Mata Hati dan Pelakon Lelaki Terbaik, ASK 2012 (telefilem Gincu Ayah).

Berita Harian X