Sabtu, 6 March 2021 | 5:59pm
Daiyan bersama barisan pelakon drama Projek : Anchor SPM yang akan menemui penonton setiap Isnin, jam 9 malam di saluran Astro Citra, mulai 15 Mac ini. Foto Ihsan Daiyan Trisha
Daiyan bersama barisan pelakon drama Projek : Anchor SPM yang akan menemui penonton setiap Isnin, jam 9 malam di saluran Astro Citra, mulai 15 Mac ini. Foto Ihsan Daiyan Trisha

Daiyan ajak peminat cintai ilmu

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pelakon, Daiyan Trisha berikrar mahu terus menyampaikan mesej mengenai kepentingan pendidikan terutama kepada generasi muda.

Daiyan, 27, berkata tiada siapa boleh mengetepikan dunia akademik kerana ilmu mampu membawa setiap individu lebih jauh.

"Saya cukup mementingkan pendidikan dari dahulu lagi. Setiap kali tamat pengajian peringkat diploma dan ijazah, saya kongsi dalam media sosial bagi memberi inspirasi.

"Saya tolak buat-bulat apabila ada sesetengah pihak berpendapat pendidikan tidak penting atau menganggap, tak habis sekolah atau Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pun, boleh berjaya.

"Saya faham tidak semua orang ada rezeki menamatkan persekolahan, tetapi kita tidak pernah kata ilmu tidak penting.

"Apabila kita habis belajar dan terus menyambung pengajian, minda kita terus berkembang.

"Tidak pernah ada orang cakap, jangan belajar. Jadi, saya fikir, idea segelintir orang yang menyatakan tidak habis sekolah pun boleh berjaya, itu salah sama sekali," katanya kepada BH Online.

Daiyan berkongsi pandangan mengenai kecenderungan segelintir pihak yang menganggap pendidikan tidak penting pada zaman teknologi.

"Ada yang menyatakan tidak perlu risau kerana ada laman sosial. Tetapi, siapa yang mencipta laman sosial itu? Sudah tentu individu bijak dalam bidang teknologi maklumat (IT).

Daiyan mahu terus memberi kesedaran mengenai kepentingan akademik kepada generasi muda. Foto Ihsan Daiyan Trisha
Daiyan mahu terus memberi kesedaran mengenai kepentingan akademik kepada generasi muda. Foto Ihsan Daiyan Trisha

"Bagaimana hendak bijak kalau ilmu tidak dicari?" katanya yang menghadiri sidang media Projek : Anchor SPM di sini, baru-baru ini.

Mengulas mengenai drama bersiri lapan episod itu, Daiyan berkata, dia membawa watak Aaida, iaitu pelajar pintar yang mempunyai konflik dalaman.

"Apabila berbincang dengan pengarah mengenai watak ini, di mana dia adalah pelajar yang tertekan hendak mendapat keputusan A dalam semua subjek, saya terus terbayang kakak.

"Kakak saya pelajar yang bijak. Dia mendapat A dalam semua mata pelajaran ketika SPM dan sekarang bergelar doktor. Jadi, saya gunakan kakak sebagai rujukan peribadi.

"Saya jadikan pengalaman dirinya bagaimana dia tertekan untuk menjadi pelajar cemerlang. Kakak berbeza, saya bukanlah pelajar bijak yang mendapat A dalam semua subjek," katanya.

Mengenang zaman persekolahan, Daiyan mengaku hanya serius apabila melanjutkan pengajian di universiti.

"Saya tahu ramai pelajar ada tekanan sama seperti kakak. Jadi, saya percaya ramai orang boleh kaitkan watak Aaida ini dengan diri mereka," katanya.

Daiyan memberi komitmen penuh untuk menjayakan drama Projek : Anchor SPM yang diterbitkan Astro Originals.

Membawa watak lebih muda berbanding usia sebenar, penyanyi lagu Langit ini berharap lakonannya mendapat reaksi positif penonton.

Projek : Anchor SPM memaparkan kisah fiksyen yang diilhamkan daripada gelagat sekumpulan pelajar menghadapi SPM.

Drama ini bakal menemui penonton pada setiap Isnin, jam 9 malam di Astro Citra, mulai 15 Mac ini.

Berita Harian X