Isnin, 1 March 2021 | 11:00am
Presiden Persatuan Sutradara Malaysia, Ahmad Ibrahim.
Presiden Persatuan Sutradara Malaysia, Ahmad Ibrahim.

FDAM sedia berbincang

KUALA LUMPUR: Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM) mohon Majlis Keselamatan Negara (MKN) mempertimbangkan permohonan warga penggiat industri kreatif untuk aktiviti penggambaran luar studio dengan segera.

Presiden FDAM, Ahmad Ibrahim berkata, MKN perlu menyatakan pendirian terhadap draf prosedur operasi standard (SOP) penggambaran luar studio yang dihantar menerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan FDAM sejak sebulan lalu.

"Kami sudah memenuhi permintaan MKN dengan mengemukakan draf SOP. FINAS juga sudah menghantarnya. Kami sudah pun melaksanakan peraturan dalam SOP termasuk melakukan ujian calitan terhadap kru dan pelakon.

"Bagaimanapun, kenapa MKN masih tidak memberi kelonggaran hingga hari ini? Apa lagi yang dimahukan daripada kami? Kami hanya ingin kepastian, tetapi hingga kini, belum menerima jawapan," katanya kepada BH Online.

Ahmad berkata, FDAM sedia berbincang dengan MKN bagi menjelaskan secara terperinci proses penggambaran.

"Kami bersedia dipanggil pada bila-bila masa. Ini adalah soal survival warga penggiat seni kreatif. Kami tidak mampu lagi menunggu.

"Selain FDAM, Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM), Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA) dan Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) juga menyatakan pendirian yang sama.

"Sebagai peneraju penggambaran di lokasi, pengarah bertanggungjawab terhadap semua isu produksi.

"Sampai bila kami harus menunggu? Sedangkan negara jiran seperti Singapura, Indonesia dan Thailand sudah pun memberikan kelonggaran syarat penggambaran di luar studio," katanya.

Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM) mohon Majlis Keselamatan Negara (MKN) mempertimbangkan permohonan warga penggiat industri kreatif untuk aktiviti penggambaran luar studio.
Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM) mohon Majlis Keselamatan Negara (MKN) mempertimbangkan permohonan warga penggiat industri kreatif untuk aktiviti penggambaran luar studio.

Ahmad atau lebih dikenali sebagai Mat London berkata, warga penggiat seni industri mempunyai stigma, industri seni tidak pernah dianggap sebagai penyumbang kepada ekonomi negara kerana sering dipinggirkan.

"Sabah pun sudah membenarkan penggambaran luar studio. Mesyuarat dalam dewan sudah dibenarkan antara 300 hingga 500 orang.

"Kami pula hanya mohon kebenaran aktiviti penggambaran di luar studio yang hanya membabitkan antara 30 hingga 40 kru sahaja. Itupun dalam kawalan yang ketat," katanya.

Katanya, hanya segelintir warga produksi dapat menjalankan aktiviti penggambaran di kawasan tertutup.

"Itupun terpaksa menghadapi pelbagai rintangan. Ini termasuklah pemilik rumah tidak mahu menyewakan kediaman untuk penggambaran. Jika adapun, jiran pula bising hingga panggil polis.

"Jujurnya, pelbagai kesusahan dihadapi warga penggiat seni ketika penggambaran di kawasan tertutup," katanya.

Berita Harian X