Rabu, 17 Februari 2021 | 4:00pm
Presiden Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM), Ahmad Ibrahim mempertahankan yuran RM120 yang dikenakan tidak membebankan dan diputuskan mengikut kemampuan ahli. - Foto Ahmad Ibrahim
Presiden Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM), Ahmad Ibrahim mempertahankan yuran RM120 yang dikenakan tidak membebankan dan diputuskan mengikut kemampuan ahli. - Foto Ahmad Ibrahim

'RM10 pun mahal?'

KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM), Ahmad Ibrahim mempertahankan yuran RM120 yang dikenakan tidak membebankan dan diputuskan mengikut kemampuan ahli.

"Kami fikir yuran keahlian ini murah, umpamanya, ahli bayar RM10 sebulan. Apa yang mahalnya RM10?

"Bayaran itu juga memanfaatkan ahli, bukan sebaliknya. Kami buat kerja demi kebaikan pengarah dan masa depan mereka. Sekarang, kami sedang merancang menganjurkan bengkel, kursus pentauliahan dan sebagainya," katanya kepada BH Online.

Terdahulu dua pengarah, Imran Ismail dan Murali Abdullah mempersoalkan yuran yang dikenakan FDAM membebankan terutama ketika penggiat seni berdepan impak pandemik.

Murali menganggap yuran FDAM sepatutnya dikurangkan mengikut kemampuan majoriti ahli.

Imran juga mempersoalkan usaha diambil Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) yang mengenakan yuran tahunan sebanyak RM150, Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA) pula RM70 dan FDAM (RM120) untuk ahli.

Ahmad berkata, pihaknya tidak mempunyai masalah jika ada pihak menganggap kadar yuran dikenakan tinggi dan enggan menyertai FDAM.

"Biarpun kami ada 300 ahli, kami bangga kerana ada persatuan. Nelayan pun ada persatuan.

"Sepatutnya, pengarah berbangga kerana kita ada persatuan yang memperjuangkan hak kita," katanya.

Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM) melakukan kerja demi kebaikan dan masa depan golongan pengarah, bukan mengambil kesempatan dengan mengenakan yuran tahunan. - Foto Ahmad Ibrahim
Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM) melakukan kerja demi kebaikan dan masa depan golongan pengarah, bukan mengambil kesempatan dengan mengenakan yuran tahunan. - Foto Ahmad Ibrahim

Ahmad atau lebih dikenali sebagai Mat London berkata, tanpa yuran keahlian, persatuan boleh mencari sumber pendapatan lain.

"Selama ini pun, kegiatan persatuan tidak dibantu termasuk FINAS... Kami ada perancangan dan alternatif mencari dana," katanya.

Sementara itu, mengulas isu berbangkit antara FDAM, SENIMAN dan PROFIMA serta FINAS, Ahmad berkata, semua pihak akan bertemu, tidak lama lagi.

"Hari ini (semalam) kami dapat balasan daripada FINAS untuk berunding. Kami akan sampaikan ketidakpuasan kami agar lebih jelas.

"Kami ada banyak alasan kenapa Padu Citra perlu diletakkan di bawah kami.

"Semua persatuan menyokong penambahbaikan dibuat, namun, usahlah pinggirkan kami.

"Carilah mekanisme lebih baik supaya kita semua lebih bersatu dan menerapkan rasa cinta dalam kalangan warga industri kreatif," katanya.

Berita Harian X