Rabu, 10 Februari 2021 | 12:21am
Ahmad Idham berpendapat kebenaran meneruskan aktiviti penggambaran dalam studio yang diberi MKN perlu dilihat dalam sudut positif. Foto Ihsan FINAS
Ahmad Idham berpendapat kebenaran meneruskan aktiviti penggambaran dalam studio yang diberi MKN perlu dilihat dalam sudut positif. Foto Ihsan FINAS
Penggiat industri filem perlu bersabar sebelum kebenaran meneruskan aktiviti penggambaran di lokasi terbuka diluluskan MKN. Gambar Hiasan
Penggiat industri filem perlu bersabar sebelum kebenaran meneruskan aktiviti penggambaran di lokasi terbuka diluluskan MKN. Gambar Hiasan

'Shooting' di studio, usah jadikan isu besar - Ahmad Idham

KUALA LUMPUR: Kelulusan aktiviti penggambaran dalam studio sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak wajar dijadikan isu besar dalam kalangan penggiat sektor perfileman.

Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Ahmad Idham Ahmad Nadzri, berkata kelonggaran diberi wajar dilihat positif kerana keluhan penggiat seni mendapat perhatian kerajaan.

"Kita kena lihat dua sudut iaitu cuba seimbangkan antara nyawa dan ekonomi. Dalam situasi pandemik COVID-19, FINAS kena pastikan aspek keselamatan diutamakan, selain cuba mengekang wabak daripada menular.

"Kami amat berterima kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) kerana prihatin dengan kehendak industri. Sudah menjadi tanggungjawab FINAS untuk memastikan aspek keselamatan lebih diberi perhatian.

"Ini adalah fasa pertama. Selepas ini, kita usahakan untuk MKN memberi kelonggaran membuat penggambaran di lokasi terbuka seperti diminta.

Penggiat industri filem perlu bersabar sebelum kebenaran meneruskan aktiviti penggambaran di lokasi terbuka diluluskan MKN. Gambar Hiasan
Penggiat industri filem perlu bersabar sebelum kebenaran meneruskan aktiviti penggambaran di lokasi terbuka diluluskan MKN. Gambar Hiasan

"Kita kena buat secara berperingkat supaya usaha untuk mengawal wabak ini dapat dilakukan dengan baik," katanya kepada BH Online.

Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan senarai sektor industri kreatif yang dibenarkan beroperasi merangkumi produksi animasi dan muzik, pasca-produksi di studio, pembangunan muzik secara digital dan rakaman lagu di studio.

Selain itu, turut dibenarkan adalah pra-produksi penggambaran serta penggambaran di studio merangkumi drama, telemovie, iklan, dokumentari, sitkom, 'livestreaming', rakaman kebudayaan, seni dan warisan tanpa penonton.

Ismail berkata, antara lain, syarikat produksi perlu memohon Sijil Perakuan Penggambaran (SPP) khas mengandungi butiran tenaga kerja selain melakukan ujian saringan COVID-19 kepada semua petugas termasuk pelakon.

Ahmad Idham berkata, kebenaran meneruskan aktiviti penggambaran di lokasi tertutup selari dengan prosedur operasi standard (SOP) induk yang dilaksanakan kerajaan.

"Sebelum meminta kebenaran untuk menjalankan penggambaran di lokasi terbuka, kita jangan lupa kepada SOP induk.

"Mengikut SOP sedia ada, hanya dua penumpang sahaja dibenarkan untuk berada dalam sebuah kenderaan.

"Jika sesebuah produksi mahu membuat penggambaran di luar, biasanya mereka akan bergerak menggunakan van.

"Tidak mungkin syarikat produksi hendak sediakan 10 kenderaan semata-mata untuk ke sesebuah lokasi... Ia amat tidak praktikal.

"Seperkara lagi, sejauh mana kemampuan syarikat produksi mengawal situasi jika penggambaran dilakukan di tempat awam," katanya.

Ahmad Idham berharap pemain dalam sektor penerbitan dapat bersabar menanti lebih banyak kelonggaran diberi kerajaan terutama apabila PKP diubah kepada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Mengulas saranan seorang pemimpin persatuan seni yang mahu pandangan mereka diambil kira sebelum SOP industri kreatif digubal, Ahmad Idham berkata, memadai tanggungjawab itu diserahkan kepada FINAS.

"Sebagai seorang pengarah dan penulis skrip, saya sudah cukup arif dengan proses penggambaran. Jadi, rasanya tidak ada masalah kerana kami berkongsi pandangan serupa.

"Ini adalah kerja kreatif. Kata orang filem, gunalah kreativiti yang ada untuk menukar babak yang memerlukan lokasi luar ke tempat tertutup," katanya.

Bagi memastikan proses penggambaran lancar dan mematuhi SOP, Ahmad Idham berkata, FINAS melantik Pengurus Produksi (PM) setiap syarikat produksi menjadi 'mata' dan 'telinga' mereka.

"MKN meminta FINAS melantik pegawai penyelaras yang akan mengurus perkara berkaitan SOP seperti memohon sijil SPP khas yang mengandungi butiran tenaga kerja dan ujian saringan COVID-19.

"Sehubungan itu, setiap PM perlu memantau aktiviti penggambaran dan syarikat produksi patuh SOP," katanya.

Berita Harian X