Rabu, 3 Februari 2021 | 11:00am
Presiden PVTM, Datuk Jurey Latiff Rosli percaya syarikat penerbitan terpaksa menanggung kerugian akibat kos penerbitan meningkat rentetan pembatalan penggambaran. - Foto IG Jurey Latiff
Presiden PVTM, Datuk Jurey Latiff Rosli percaya syarikat penerbitan terpaksa menanggung kerugian akibat kos penerbitan meningkat rentetan pembatalan penggambaran. - Foto IG Jurey Latiff

PVTM gusar ahli 'bungkus kamera'

KUALA LUMPUR: Penerbit drama tempatan dikhuatiri berdepan risiko gulung tikar jika kerajaan masih melarang aktiviti penggambaran diteruskan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Presiden Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PVTM), Datuk Jurey Latiff Rosli, berkata rumah produksi masih menanti pengumuman Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) yang memberi justifikasi kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) berhubung aktiviti penggambaran dalam tempoh PKP.

Bagaimanapun, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 13 Januari lalu, tiada maklumat terkini diperoleh daripada FINAS.

Jurey berkata, penerbit amat berterima kasih dengan keprihatinan FINAS yang menyediakan dana bagi membantu merancakkan industri ketika kebanyakan syarikat berdepan masalah ketiadaan projek.

Namun, lampu hijau daripada kerajaan untuk meneruskan kembali aktiviti penggambaran amat diperlukan penggiat seni berikutan ramai semakin resah apabila tiada keputusan dibuat.

"Kami faham risiko yang bakal ditanggung tenaga produksi dalam keadaan COVID-19, tetapi apa yang lebih dikhuatirkan kebajikan pekerja dan penerbit terjejas.

"Sebagai persatuan yang memayungi syarikat penerbitan TV, kami merayu kerajaan dapat menimbang kebenaran aktiviti penggambaran khususnya program televisyen (TV).

"Sejak PKP dilaksanakan, tiada aktiviti penggambaran dijalankan sehingga menjejaskan pendapatan pekerja di belakang tabir serta pelakon.

"Ini juga mengakibatkan syarikat penerbitan terpaksa menanggung kerugian akibat kos penerbitan meningkat rentetan pembatalan penggambaran. Akhirnya, semua projek tidak dapat disiapkan mengikut jadual," katanya.

Semalam, kerajaan mengumumkan melanjutkan PKP 2.0 di seluruh negara kecuali Sarawak bermula Jumaat ini sehingga 18 Februari ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dilaporkan berkata, Sarawak bagaimanapun kekal di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Presiden PVTM, Datuk Jurey Latiff Rosli merayu kerajaan mempertimbangkan kebenaran aktiviti penggambaran khususnya program televisyen (TV) bagi mengelakkan golongan penerbit gulung tikar. - Foto IG Jurey Latiff
Presiden PVTM, Datuk Jurey Latiff Rosli merayu kerajaan mempertimbangkan kebenaran aktiviti penggambaran khususnya program televisyen (TV) bagi mengelakkan golongan penerbit gulung tikar. - Foto IG Jurey Latiff

Jurey berkata, kegagalan membekalkan kandungan boleh menjejaskan kontrak antara syarikat penerbitan dan stesen TV.

Selain itu, katanya, stesen TV berhadapan kekurangan bahan siaran baharu akibat banyak projek tidak dapat disiapkan.

"Keadaan ini amat membimbangkan apatah lagi kebanyakan pekerja industri adalah 'freelance'.

"Mereka hanya mendapat gaji apabila ada kerja. Mereka tiada wang simpanan untuk menjalani hidup seperti biasa.

"Kebanyakan kru produksi dalam keadaan terhimpit dengan masalah ini. Justeru mereka memerlukan penyelesaian segera demi kelangsungan hidup," katanya.

Jurey merayu kerajaan dapat menimbang kebenaran melakukan aktiviti penggambaran mengikut prosedur operasi standard (SOP) seperti sektor ekonomi lain.

"Jangan sampai ada antara kami terpaksa gulung tikar, muflis dan dapur tidak berasap disebabkan masalah ini," katanya.

Sebelum ini, sehari selepas pelaksanaan PKP 2.0 pada 13 Januari lalu, FINAS mengulangi peringatan rumah produksi dilarang melakukan aktiviti penggambaran di zon PKP.

Sebaliknya, aktiviti penggambaran ketika itu boleh diteruskan di zon PKPB dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dengan pematuhan SOP ditetapkan MKN.

Berita Harian X