Rabu, 27 Januari 2021 | 3:00pm
Pelakon jelita, Husna Mustaffa tidak pernah menyorok status perkahwinan, malah terbuka berkongsi foto keluarga di laman sosial. - Foto IG Husna Mustaffa
Pelakon jelita, Husna Mustaffa tidak pernah menyorok status perkahwinan, malah terbuka berkongsi foto keluarga di laman sosial. - Foto IG Husna Mustaffa

Status kahwin tak halang popular

KUALA LUMPUR: Status perkahwinan tidak menjadi penghalang buat pelakon, Husna Mustaffa, 34, untuk menceburi dunia lakonan.

Biarpun mengambil masa yang agak lama untuk dikenali, nama Husna kian menyerlah selepas membintangi drama Kerana Dia Manusia Biasa bergandingan dengan Emma Maembong dan Shukri Yahaya pada 2019.

Bermula model busana muslimah sekitar 2015, Husna atau nama sebenarnya, Sharifah Husna Syed Mustaffa tidak pernah menyembunyikan status sebagai isteri dan ibu kepada dua cahaya mata sejak awal lagi.

Husna berkata, dia tidak pernah menyesali takdir menceburi bidang lakonan agak lewat pada usia menghampiri 30-an, malah terbuka berkongsi soal keluarga.

"Saya mendirikan rumah tangga pada usia 22 tahun, selepas tamat pengajian di sebuah universiti. Kami dikurniakan dua cahaya mata, Putera Adam Harith berusia, 11, dan Puteri Adra Hana, 8.

"Saya tak pernah menyembunyikan status perkahwinan, malah sering berkongsi foto bersama suami dan anak-anak dalam laman sosial. Saya percaya rezeki datang daripada Allah SWT, kita hanya perlu berusaha.

"Suami menjadi penyokong kuat dalam kerjaya lakonan, selama ini. Suami tak pernah menghalang minat saya. Daripada zaman, saya sering menjalani uji bakat peragaan dan iklan komersial, dialah menjadi peneman saya," katanya kepada BH Online.

Husna Mustaffa bersama suami dan dua cahaya matanya. - Foto IG Husna Mustaffa
Husna Mustaffa bersama suami dan dua cahaya matanya. - Foto IG Husna Mustaffa

Pernah bertugas sebagai juruteknologi makmal perubatan di sebuah universiti, Husna berkata, suami agak berat memberi keizinan saat dirinya memutuskan untuk menceburi bidang lakonan.

"Pada awalnya, saya percaya suami mempunyai pendirian untuk mempertimbangkan keputusan saya bergelar pelakon. Saya akhirnya dapat meyakinkannya saya mampu buat.

"Alhamdulillah, hingga saat ini, suami terus memberikan semangat untuk saya melangkah lebih berjaya dalam lakonan. Cuma, saya harus tahu menjaga batas sebagai isteri dalam mencari rezeki sebagai pelakon," katanya.

Wanita kelahiran Johor Bahru yang pernah menjadi model video muzik lagu Satu nyanyian Najwa Latif berkata, awalnya, dia bergelut dalam memastikan kehadirannya disedari.

"Saya memulakan kerjaya lakonan pada usia mencecah 30-an, selain sudah berkahwin. Sukar juga memecah tembok itu, namun lama kelamaan banyak peluang yang diberikan. Saya memanfaatkannya sebaik mungkin.

"Ramai yang mula sedar saya menunjukkan komitmen tinggi. Cuma, saya tak mensasarkan populariti, cukup jika bakat saya diterima. Jika mampu popular, itu menjadi bonus," katanya yang banyak mendapat tunjuk ajar daripada pelakon berpengalaman, Zul Huzaimy Marzuki.

Nama Husna Mustaffa kian menyerlah selepas membintangi drama Kerana Dia Manusia Biasa bergandingan dengan Emma Maembong dan Shukri Yahaya pada 2019. - Foto IG Husna Mustaffa
Nama Husna Mustaffa kian menyerlah selepas membintangi drama Kerana Dia Manusia Biasa bergandingan dengan Emma Maembong dan Shukri Yahaya pada 2019. - Foto IG Husna Mustaffa

Pernah membintangi deretan drama popular seperti Cinta Tiada Ganti, Kan Kukejar Cinta Kamu dan Aku Yang Kau Tinggalkan, Husna berkata, dia bersyukur diberikan kepercayaan buat kali pertama memegang watak utama dalam drama Mencari Kiblat Cinta arahan Jo Yusof untuk siaran TV Okey.

Selain Husna, drama 26 episod terbitan NS Star Studio milik Darling Ngasri itu turut dibintangi Syazuwan Hassan dan Shah Hazvee.

Anak kedua daripada empat adik beradik itu berkata, dia cukup teruja apabila membawakan watak Danira dalam drama berkenaan.

"Saya gementar apabila kali pertama diberikan kepercayaan sebagai heroin drama. Sebelum ini, setakat heroin dalam telefilem sahaja.

"Bagaimanapun, saya mencabar keupayaan diri dengan sokongan penerbit, pelakon dan kru produksi. Syukur, penggambaran berjalan lancar.

"Namun, banyak lagi ruang untuk saya memperbaiki kelemahan dalam lakonan," kata Husna sambil menyifatkan watak Danira sudah lama diidamkan.

Berita Harian X