Rabu, 20 Januari 2021 | 8:30am
Presiden SENIMAN, Zed Zaidi.
Presiden SENIMAN, Zed Zaidi.

'Tak tanya kami pun'

KUALA LUMPUR: Bukan niat menghalang Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) memperkasakan program Padu Citra, namun, tiga persatuan mewakili karyawan, pengarah dan kru produksi mempersoalkan ketelusan organisasi berkenaan melaksanakan prosedur baharu berhubung pentauliahan penggiat seni.

Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN), Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM) dan Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA) mendakwa FINAS tidak merujuk isu penambahbaikan pentauliahan penggiat seni yang selama ini diletakkan di bawah setiap entiti mengikut prosedur ditetapkan perbadanan itu.

Selama berpuluh-puluh tahun, dakwa mereka, hanya SENIMAN, FDAM dan PROFIMA diamanahkan memberi perlindungan ke atas hak, kepentingan dan profesionalisme penggiat seni, namun, syarat baharu menyisihkan setiap badan.

Presiden SENIMAN, Zed Zaidi, berkata FINAS wajar membincangkan cadangan menyelaraskan program Padu Citra dalam program Akreditasi dan Pentauliahan Industri Kandungan Kreatif kepada tiga persatuan terbabit.

"Kami faham situasi semasa sekarang di mana kita menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Tetapi kita ada alternatif untuk mengadakan perbincangan. Mengapa FINAS tidak berbuat demikian sebelum memutuskan perkara baharu ini.

"FINAS perlu menjelaskan kepada kami mengapa tindakan sedemikian diambil. Prosedur baharu ini khabarnya mahu dilaksanakan, bulan depan... Tetapi kami tidak jelas," katanya kepada HIP.

Pada 14 Januari lalu, FINAS memaklumkan pelaksanaan semula program Padu Citra selaras dengan pelaksanaan Program Akreditasi dan Pentauliahan Industri Kandungan Kreatif yang sedang dijalankan oleh FINAS melalui pengemaskinian keahlian baharu dan penamatan keahlian Padu Citra sedia ada.

Zed berharap FINAS dapat mengundang tiga persatuan terbabit yang bertanggungjawab dalam melaksanakan Padu Citra sebelum ini untuk menjelaskan keputusan diambil.

Tambah Zed, tindakan yang mahu dianggap FINAS dianggap tidak relevan.

"FINAS mahu penggiat seni mendapat akreditasi sebelum berdaftar sebagai ahli persatuan. Namun, saya kurang setuju. Bagi saya, sepatutnya daftar sebagai ahli persatuan dahulu sebelum mendapat akreditasi.

"Kami bukannya agensi kerajaan, kami adalah badan bukan kerajaan (NGO). Jadi, sepatutnya, daftar dengan kami dahulu. Kemudian baru kami boleh bantu mereka menyertai program akreditasi kelolaan FINAS," katanya.

Zed musykil dengan tenaga kerja terhad, bagaimana FINAS mahu menguruskan semua ahli persatuan.

"Ahli SENIMAN mencecah 7,000 orang. Ini tidak termasuk ahli FDAM dan PROFIMA. Disebabkan itu, biar penggiat seni berdaftar dengan persatuan dahulu.

"Kemudian kami memudahkan kerja FINAS dengan membantu mereka menyertai program akreditasi," katanya.

Presiden PROFIMA, Khir Mohd Noor.
Presiden PROFIMA, Khir Mohd Noor.

Kenyataan Zed disokong Presiden PROFIMA, Khir Mohd Noor yang berpendapat, FINAS perlu bekerjasama dengan tiga persatuan terbabit sebelum melaksanakan mekanisme baharu Padu Citra.

"Kami menyokong penambahbaikan ini. Bagaimanapun, apa salahnya berbincang terlebih dahulu dengan ahli persatuan di bawah program Padu Citra. Kami mahu tahu apa tujuan program akreditasi ini diadakan," katanya.

Khir berkata, sebelum ini, usaha mendapatkan data kegiatan penggiat seni pernah dibuat, namun, gagal.

"Itu sahaja sudah banyak perbelanjaan rugi. Jadi, kali ini, berapa pula dana yang diperuntukkan? Takkan mahu gagal lagi? Disebabkan itu, kami mahu tahu apa mekanisme yang hendak dilaksanakan.

"Berbincanglah dengan kami yang sudah bertahun-tahun dalam industri ini untuk menambah baik program itu. Kami juga mahu tahu siapa yang akan bertanggungjawab melaksanakannya," katanya.

Khir juga membangkitkan soal jaminan di sebalik pelaksanaan program akreditasi yang dikendalikan FINAS. Misalnya, apakah bayaran akan dinaikkan apabila kelayakan sudah diiktiraf dan sebagainya.

Sementara itu, Presiden FDAM, Ahmad Ibrahim, berkata tiga persatuan itu sudah menghantar surat kepada Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Ahmad Idham Ahmad Nadzri memohon diadakan pertemuan.

"Ini penting agar kekeliruan yang ada dapat diperjelaskan. Pada masa sama, FINAS dapat mendengar pendirian kami.

Tiga persatuan ini tidak mahu menimbulkan sebarang konflik yang tidak berfaedah dengan FINAS... Ia tidak menguntungkan mana-mana pihak.

"FDAM, PROFIMA dan SENIMAN menyokong langkah FINAS untuk mengadakan program akreditasi ini. Namun, apa salahnya, berunding dengan kami dahulu," katanya.

Presiden FDAM, Ahmad Ibrahim.
Presiden FDAM, Ahmad Ibrahim.

Ahmad berkata, tiga persatuan terbabit yang memayungi kira-kira 28,0000 penggiat seni tidak pernah diajak berbincang sebelum pelaksanaan program Padu Citra di bawah FDAM, PROFIMA dan SENIMAN ditamatkan.

Tambahnya, ketika pandemik COVID-19 menjejaskan hampir semua sektor pekerjaan termasuk industri filem dan televisyen, soal pelaksanaan syarat baharu Padu Citra adalah perkara terakhir yang patut FINAS laksanakan.

"Banyak lagi perkara lain yang sepatutnya mereka fikir dan laksanakan.

"Sepatutnya dalam tempoh yang susah dan penuh cabaran ini, FINAS perlu menangani isu ini bagi membantu 'survival' penggiat seni, bukannya tergesa-gesa melaksanakan peraturan baharu.

"Namun, kami sanggup berganding bahu dengan FINAS dan kerajaan untuk membantu penggiat seni yang amat terkesan dengan situasi sekarang," katanya.

Melalui inisiatif diperkenalkan FINAS, penerbit tidak perlu lagi memiliki keahlian dalam tiga persatuan iaitu SENIMAN, FDAM dan PROFIMA seperti yang dinyatakan dalam Sijil Perakuan Penggambaran (SPP) bermula 1 Februari depan.

Semua penggiat seni perlu akreditasi atau pentauliahan baru boleh bergiat dalam industri kreatif dan layak menjadi ahli kepada mana-mana persatuan di bawah program Padu Citra.

Berita Harian X