Jumaat, 8 Januari 2021 | 1:00pm
Sesuai usia, semakin dewasa dan matang, Datuk Seri Siti Nurhaliza menghidangkan karya yang bukan sahaja memberikan hiburan tetapi kesedaran. - Foto Universal Music
Sesuai usia, semakin dewasa dan matang, Datuk Seri Siti Nurhaliza menghidangkan karya yang bukan sahaja memberikan hiburan tetapi kesedaran. - Foto Universal Music

Karya akhir sebelum Siti bersalin

KUALA LUMPUR: 2020 meninggalkan seribu satu kenangan manis buat penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza atas beberapa pencapaian dan anugerah yang diperoleh termasuk kejayaan album ManifestaSITI2020.

Antara kejayaan yang dicapainya ialah Artis Paling Banyak Distrim di platform Spotify dan JOOX, 100 Asia Digital Star, Most Admired Women 2020, 500 Influential Muslim 2021, Nona Homegrown Award dan Individu Tergempak menerusi portal Astro Gempak.

Selain itu, dua lagu daripada album ManifestaSITI2020, 7 Nasihat dan Aku Bidadari Syurgamu layak mara ke Anugerah Juara Lagu Ke-35 pada Februari depan.

Video muzik ketujuh daripada album sama menerusi lagu Kuasa Cintamu turut mendapat lebih 2 juta tontonan.

Sebagai pembuka 2021, satu lagi video muzik daripada album berkenaan dilancarkan iaitu Takhta Dunia hari ini. Lagu dan lirik Takhta Dunia ciptaan komposer terkenal Indonesia, Ryan Kyoto.

Ibu kepada Siti Aafiyah itu menyifatkan video muzik Takhta Dunia sebagai pembuka tahun baharu dengan memberi mesej yang baik kepada masyarakat.

"Seiring kemodenan dan perkembangan dunia hari ini, setiap individu tidak harus hilang nilai baik atau adab.

"Sebagai penyanyi, saya turut bertanggungjawab mengenengahkan mesej yang baik menerusi lagu. Sesuai usia, semakin dewasa dan matang, saya harus menghidangkan karya yang bukan sahaja memberikan hiburan tetapi kesedaran," kata penyanyi yang bakal menyambut ulang tahun ke- 42 pada 11 Januari ini.

Visual dalam video muzik kelapan menerusi album ManifestaSITI2020 mengaitkan isu semasa iaitu vandalism, berebut kerusi, tidak bertolak ansur dalam pengangkutan awam, buli siber dan mencopet. - Foto Universal Music
Visual dalam video muzik kelapan menerusi album ManifestaSITI2020 mengaitkan isu semasa iaitu vandalism, berebut kerusi, tidak bertolak ansur dalam pengangkutan awam, buli siber dan mencopet. - Foto Universal Music

Katanya, penggambaran video muzik berkenaan yang diterbitkan Universal Music dan Siti Nurhaliza Productions menjadi antara kerja terakhirnya sebelum berehat untuk memberi fokus kepada persediaan menyambut anak kedua.

Siti berkata, dia berbincang dengan produksi Rasa Film untuk tampil menggayakan imej wanita era 1970-an bagi memberikan kelainan dalam setiap video muzik yang pernah dihasilkan.

"Saya juga menggunakan khidmat pereka Rizman Ruzaini dan jurusolek Ahma Dhani bagi imej yang ditampilkan.

"Saya harap buah tangan terakhir ini akan menjadi pengubat rindu untuk peminat tersayang, sebelum berehat panjang," katanya kepada BH Online.

Sementara itu, Muhammad Azhar Mamat Rot selaku pengarah video muzik berkata, dia turut menonjolkan peranan penari dan pelakon sebagai medium penyampai mesej teguran secara simbolik.

"Saya menterjemahkan mesej simbolik yang mahu ditonjolkan menerusi lakonan menggunakan telefon bimbit dan pelekap mulut yang membawa maksud, jasad terperangkap dalam zaman lampau, namun kelakuan tetap wujud pada zaman sekarang.

"Video muzik ini berlatarbelakangkan tahun 1970-an di sebuah stesen kereta api yang dinamakan Lipis Sentral.

"Lokasi penggambaran diadakan di ruang pameran luar Muzium Sultan Alam Shah yang menempatkan kepala dan gerabak kereta api lama," katanya.

Single Takhta Dunia sarat dengan nilai moral kerana mengingatkan supaya setiap orang bersikap baik, menjauhi hasad dengki dan menjaga tutur kata.

Visual lakonan dalam video muzik kelapan menerusi album ManifestaSITI2020 itu juga banyak mengaitkan isu semasa masyarakat iaitu vandalism, berebut kerusi, tidak bertolak ansur dalam pengangkutan awam, buli siber, mencopet dan mencuri.

Video muzik rasmi Takhta Dunia boleh dilayari di saluran Youtube Siti Nurhaliza bermula hari ini, jam 9 malam.

Berita Harian X