Isnin, 23 November 2020 | 1:17pm
Presiden Persatuan Penyanyi, Pemuzik, Penulis Lagu Tanah Air (PAPITA), Datuk Malek Ridzuan memandang berat soal ketelusan yang akan dipraktikkan dalam dasar untuk penggiat industri muzik.
Presiden Persatuan Penyanyi, Pemuzik, Penulis Lagu Tanah Air (PAPITA), Datuk Malek Ridzuan memandang berat soal ketelusan yang akan dipraktikkan dalam dasar untuk penggiat industri muzik.

'Badan khas bebas politik'

KUALA LUMPUR: Mengalukan penggubalan dasar khusus industri muzik seperti diumumkan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah, baru-baru ini, penggiat industri berkongsi idea agar usaha diambil kerajaan mencapai objektif.

Bersetuju sudah sampai masanya kepentingan penggiat industri muzik diberi perhatian lebih sistematik, karyawan mahu isu pokok berhubung ketelusan dalam pelaksanaan dasar diberi perhatian utama.

Selain itu, suatu bentuk mekanisme perlu dibentuk agar semua kelompok dalam kalangan penggiat industri seni mendapat perhatian sama rata, baik mereka yang mewakili generasi muda mahu pun veteran.

Presiden Persatuan Penyanyi, Pemuzik, Penulis Lagu Tanah Air (PAPITA), Datuk Malek Ridzuan, 62, memandang berat soal ketelusan yang akan dipraktikkan dalam dasar untuk penggiat industri muzik.

"Kami menyokong usaha baik kerajaan. Bagaimanapun, sejauh mana ketelusan dan keberkesanan dasar yang dibuat? Itu yang menjadi persoalannya.

"Sekiranya dasar untuk industri muzik dilaksanakan, sebaik-baiknya, dasar itu memberi manfaat kepada penggiat industri muzik secara menyeluruh dan sama rata.

"Misalnya, dasar itu bukan hanya mensasarkan penyanyi, sebaliknya, pemuzik dan penggiat seni belakang tabir," katanya kepada BH Online.

Malek memberi contoh penggiat seni di luar negara seperti Amerika Syarikat (AS) di mana penggiat seni belakang tabir mendapat kesenangan.

Malek juga berharap isu royalti yang dihadapi penggiat industri muzik dapat diselesaikan segera apabila dasar khusus untuk sektor ini diperkenalkan.

Penyanyi dan komposer, Loque berharap agensi khusus menjaga kepentingan penggiat seni muzik diterajui pihak yang bebas daripada kepentingan politik.
Penyanyi dan komposer, Loque berharap agensi khusus menjaga kepentingan penggiat seni muzik diterajui pihak yang bebas daripada kepentingan politik.

Sementara itu, Naib Pengerusi Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM), Rosmin Hashim, berkata pengumuman Saifuddin adalah susulan pertemuan beliau dengan persatuan, kira-kira lima bulan lalu.

"Kami mewakili penggiat industri muzik memohon badan khas diwujudkan bagi menjaga kepentingan industri ini.

"Sebelum ini, tidak pernah ada badan khas yang menjaga penggerak industri muzik," katanya.

Selama ini, Rosmin berkata, industri seni hanya ada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) sebagai agensi menjaga industri perfileman tempatan.

"Melalui FINAS, setiap tahun kerajaan menyalurkan dana untuk anak wayang. Jika pemuzik ada badan seumpama itu, bolehlah kita mendapat dana untuk membangunkan industri muzik," katanya.

Rosmin yang juga Pengerusi Public Performance Malaysia Sdn Bhd (PPM) berkata, penggiat seni yang terjejas dengan penularan COVID-19 boleh menggunakan dana berkenaan.

"Melalui badan khas, industri muzik boleh bekerjasama dengan kerajaan membangunkan sektor ini termasuk membawa karya kita ke luar negara.

"Sebelum ini, kita hanya berusaha sendiri. Jika ada badan khas, kita boleh bekerjasama dengan kerajaan membawa karya tempatan ke peringkat lebih tinggi," katanya.

Penyanyi dan komposer, Loque atau nama sebenar, Khairil Ridzwan Annuar berharap agensi khusus menjaga kepentingan penggiat seni muzik diterajui pihak yang bebas daripada kepentingan politik.

"Janganlah badan khas itu dikepalai pihak yang mempunyai kepentingan politik. Biarlah organisasi itu diketuai mereka yang arif dengan industri muzik seperti pemuzik sendiri," katanya.

Loque berkata, badan itu perlu dianggotai pemuzik dari setiap kelompok agar tidak seorangpun daripada golongan sasar terlepas.

"Diharapkan biarlah ada wakil dari artis rakaman, penyanyi rock 'kapak', veteran, warga Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) dan sebagainya.

"Tidak kisah sama ada mereka masih aktif atau tidak. Kita mahu penggiat seni muzik mendapat manfaat secara menyeluruh. Kita tidak mahu kroni atau kenalan sahaja mendapat manfaat," katanya.

Penyanyi dan komposer, Hael Husaini menyifatkan penggubalan dasar dan pembentukan badan khas menjaga kepentingan penggiat seni muzik amat diperlukan.
Penyanyi dan komposer, Hael Husaini menyifatkan penggubalan dasar dan pembentukan badan khas menjaga kepentingan penggiat seni muzik amat diperlukan.

Loque juga berharap badan itu telus dalam pentadbirannya.

"Contohnya, kalau mahu membantu penyanyi veteran, biarlah pertolongan itu sampai kepada mereka.

"Usahlah daripada 10 orang, hanya dua orang yang dapat bantuan. Janganlah timbul berat sebelah," katanya.

Mewakili generasi muda, penyanyi dan komposer, Hael Husaini menyifatkan penggubalan dasar dan pembentukan badan khas menjaga kepentingan penggiat seni muzik amat diperlukan.

"Kalau kita lihat sejak kebelakangan ini, pelbagai isu timbul berkaitan tuntutan hak asasi dan royalti yang gagal diselesaikan dengan baik.

"Sudah tiba masanya kita mengangkat industri muzik ke peringkat yang lebih tinggi seiring dengan negara lain," katanya.

Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-33, Haqiem Rusli turut menyokong penggubalan dasar untuk penggiat seni muzik.

"Sekiranya untuk kebaikan penggiat seni muzik, sudah tentu kita sokong kerana ia membawa kepada sesuatu yang positif untuk industri," katanya.

Minggu lalu, Saifuddin mengumumkan kementerian sedang menyiapkan kertas kerja untuk dikemukakan kepada Kabinet berhubung penggubalan dasar khusus untuk industri muzik.

Saifuddin dilaporkan berkata, pandangan Kabinet diperlukan bagi mencari jalan terbaik untuk membantu sektor industri muzik terutama dalam isu bertindih membabitkan kementerian lain.

Berita Harian X