Ahad, 22 November 2020 | 11:01am
Siti Nordiana merangkul trofi Artis Kolaborasi/Duo/Berkumpulan Popular bersama Khai Bahar pada ABPBH 33, minggu lalu.
Siti Nordiana merangkul trofi Artis Kolaborasi/Duo/Berkumpulan Popular bersama Khai Bahar pada ABPBH 33, minggu lalu.

Siti Nordiana jadi pengarah video muzik

KUALA LUMPUR: Selepas lebih dua dekad menceburi dunia seni, artis serba boleh, Siti Nordiana buat kali pertama mengarahkan video muzik single terbarunya, tidak lama lagi.

Pemilik syarikat SND Soul Entertainment itu mahu meneroka pelbagai bidang dan mencabar diri agar tidak selesa dengan keupayaan sedia ada.

Menurut pemenang Artis Versatil Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-33 itu, single baharu yang belum berjudul itu sudah dirakamkan, baru-baru ini

"Saya sudah putuskan mahu mengarah video muzik lagu ini. Namun, bukanlah secara total.

"Saya masih dalam proses belajar. Jadi, saya akan dibantu pasukan kerja dan produksi. Dalam konteks ini, kami akan sama-sama fikir konsep dimahukan.

Siti Nordiana mencabar diri menjadi pengarah untuk projek video muzik terbaru yang dijangka dilancarkan, Januari ini. Foto IG Siti Nordiana
Siti Nordiana mencabar diri menjadi pengarah untuk projek video muzik terbaru yang dijangka dilancarkan, Januari ini. Foto IG Siti Nordiana

"Gementar bercampur teruja untuk menjadikan apa yang terbayang dalam fikiran kepada visual. Semoga semuanya akan dipermudahkan... Insya-Allah penggambaran dilakukan bulan depan," katanya kepada BH Online.

Selain kategori Artis Versatil Popular, Siti Nordiana atau mesra disapa Nana, merangkul trofi Artis Kolaborasi/Duo/Berkumpulan Popular bersama Khai Bahar pada ABPBH 33.

Selain itu, kelab peminat Siti Nordiana FC diumumkan pemenang Anugerah FC #FANtastik.

Berkongsi butiran projek video muzik itu, Siti Nordiana yang juga berbakat sebagai pelakon, memilih konsep drama dalam produk yang bakal dihasilkan.

"Ada jalan cerita untuk mengembangkan maksud tersirat dalam lirik lagu itu. Saya juga akan berlakon dalam video muzik itu.

"Saya akan mengemukakan idea dan terbuka menerima input pasukan produksi. Pastinya, saya ada hala tuju bagaimana mahu menjadikan video muzik itu seperti dibayangkan.

"Soal suntingan dan sebagainya, kita serahkan kepada mereka yang pakar," katanya.

Penyanyi lagu Angkara itu berkata, video muzik berkenaan dijangka dilancarkan, Januari ini.

Siti Nordiana berkata, single baharu terbabit adalah ciptaannya bersama seorang komposer baharu.

"Lagu ini berkisar hubungan yang tidak tahu penamatnya. Apakah hubungan yang sudah lama terjalin itu mahu diteruskan ke gerbang perkahwinan atau sebaliknya?

"Lagu ini tidak ada kena mengena dengan diri saya. Ia lebih kepada pemerhatian saya terhadap teman rapat yang berdepan situasi seumpama itu," katanya.

Mengenai kejayaannya pada ABPBH 33, Siti Nordiana bersyukur masih menjadi pilihan peminat.

"Untuk artis lama seperti saya yang masih mendapat sokongan peminat yang jitu, cukup bertuah.

"Sesiapa yang meminati dan menyokong kerjaya saya selama ini secara automatik berada dalam kelompok Siti Nordiana FC," katanya.

Berita Harian X