Jumaat, 13 November 2020 | 12:00pm
Nana Mahazan sudah merasai jatuh bangun sepanjang 17 tahun bergelar anak seni. - Foto IG Nana Mahazan
Nana Mahazan sudah merasai jatuh bangun sepanjang 17 tahun bergelar anak seni. - Foto IG Nana Mahazan

Perjuangan 17 tahun

KUALA LUMPUR: Bakatnya mula digilap menerusi program realiti, Akademi Fantasia musim pertama (AF1). Namun, nama Nana Mahazan, 37, lebih menyerlah sebagai pengacara berbanding bidang nyanyian.

Biarpun jarang berkongsi bakat dalam dunia nyanyian, namun aset suara dimiliki ibu kepada dua cahaya mata itu dibuktikan dengan kelangsungan hidupnya sebagai pengacara.

Malah, Nana atau nama sebenarnya, Nurul Hana Che Mahazan masih relevan dan terus bertahan sebagai pengacara selepas 17 tahun berkecimpung dalam dunia seni.

Jadi, tidak hairanlah jika namanya dapat membolosi senarai top 20 kategori Pengacara TV Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-33.

"Alhamdulillah, saya sudah melalui jatuh bangun sepanjang tempoh 17 tahun dalam dunia seni.

"Ikutkan saya dengan ABPBH bukan asing lagi. Sejak awal pembabitan, saya pernah menembusi pencalonan kategori

Artis Baharu Wanita Popular, Penyampai Radio Popular hingga ke Pengacara TV Popular. Cuma, belum ada rezeki untuk menang.

"Saya pernah sangkut calon top 5 menerusi kategori Artis Baharu Wanita Popular dan Penyampai Radio Popular. Hanya kategori Pengacara TV Popular sahaja belum pernah," katanya kepada BH Online.

Nana Mahazan bersama suami dan anak-anak. - Foto IG Nana Mahazan
Nana Mahazan bersama suami dan anak-anak. - Foto IG Nana Mahazan

Bagi Nana, pencalonan ABPBH menjadi bukti bakatnya masih dipandang.

"Saya bersyukur masih ada yang melihat bakat dan kerjaya saya. Alhamdulillah, rezeki pun tak pernah putus dan masih ada yang mempercayai kebolehan saya.

"Jujurnya, untuk kekal relevan hingga kini bukan hal yang mudah. Kerja keras, usaha dan disiplin jadi kunci kekuatan.

"Jika tak menang dalam mana-mana anugerah termasuk ABPBH bukan jadi ukuran dan tidak sesekali membuatkan saya patah semangat," katanya.

Wanita kelahiran Muar, Johor itu berkata, rezeki sebagai pengacara hadir silih berganti hingga hari ini.

"Saya masih mengacarakan program Bawang Live di Astro untuk tahun kedua. Saya baru sahaja menyelesaikan program HTV sebanyak dua musim di RTM.

"Saya juga mengacarakan program realiti nyanyian, Mic On di Awesome TV. Komposer, Datuk M Nasir dan Mas Idayu menjadi juri program ini. Saya dijangka mengacarakan sebuah program baharu, tetapi masih belum boleh didedahkan, tidak lama lagi," katanya.

Dalam pada itu, Nana yang mempunyai pengikut 714,000 di Instagram (IG) kerap berkongsi video masakan dengan tanda pagar #selauknana dan gaya berpakaian (#nanaootdpagar).

"Saya suka bercoleteh. Tak sangka pula ramai suka melihat saya membuat IG Live sambil memasak.

"Sudah jadi ibu, biasalah kena memasak. Saya suka memasak dengan cara ringkas. Cuma, seronok dapat maklum balas di kalangan pengikut IG. Ada yang tak pandai dan takut memasak, kini sudah masuk dapur.

"Tak sangka apabila #selauknana mendapat sambutan, saya ditawarkan mengacarakan program Sedapur Bersama Nana Mahazan untuk siara Astro Naura. Tetamu yang diundang pula di kalangan mereka yang rapat dengan saya termasuk suami, ibu bapa, ibu mentua dan kawan baik," katanya.

Berita Harian X