X
Selasa, 13 Oktober 2020 | 1:00pm
Tidak mengharapkan kemenangan, Bella berbangga dapat tersenarai dengan teman seperjuangan lain dalam kategori Artis Baharu Wanita Popular ABPBH 33. Foto IG Bella Dowanna
Tidak mengharapkan kemenangan, Bella berbangga dapat tersenarai dengan teman seperjuangan lain dalam kategori Artis Baharu Wanita Popular ABPBH 33. Foto IG Bella Dowanna

Tercalon ABPBH 33 rezeki luar jangka - Bella Dowanna

KUALA LUMPUR: Terkejut dengan pencalonannya, Bella Dowanna, 17, menyifatkan rezeki menjadi dalam kalangan 20 pesaing kategori Artis Baharu Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-33 sebagai sesuatu yang di luar jangkaan.

Bella atau nama sebenar, Qystinna Istajibilla Dowanna Halim, berkata dia tidak pernah berharap namanya tersenarai dalam acara anugerah berprestij itu.

"Sekiranya saya tidak layari laman ABPBH 33, saya tidak akan tahu diri ini dicalonkan. Saya tengok laman itu kerana mahu melihat nama teman-teman seperti Firdaus Ghuffran yang ada dalam senarai Artis Baharu Lelaki Popular.

"Tidak sangka apabila saya lihat senarai calon Artis Baharu Wanita Popular, nama saya paling atas. Jujurnya, saya sangat terkejut. Saya tidak berharap langsung nama saya dicalonkan.

Bella menganggap pencalonan dalam ABPBH 33 sebagai rezeki di luar jangkaan. Foto IG Bella Dowanna
Bella menganggap pencalonan dalam ABPBH 33 sebagai rezeki di luar jangkaan. Foto IG Bella Dowanna

"Lantas saya terus berkongsi bersama keluarga dan mereka mengaku ini rezeki saya selepas bekerja keras dalam bidang lakonan," katanya kepada BH Online.

Terharu memikirkan ABPBH 33 adalah acara anugerah pertama yang mencalonkan namanya, Bella, bagaimanapun tidak meletakkan harapan tinggi untuk menang.

Baginya, disenaraikan dalam kalangan nama-nama hebat sudah cukup membuat dirinya dihargai.

"Ini adalah kali pertama saya dicalonkan. Saya tidak mahu terlalu berharap kerana ramai nama hebat tersenarai seperti Wafariena, Riena Diana, Sharifah Husna dan ramai lagi.

"Jadi kalau tidak menang, tidak mengapa. Sudah dicalonkan dalam Top 20 dikira suatu pencapaian peribadi untuk saya.

"Sebelum ini, saya fikir orang tidak nampak saya. Namun, alhamdulillah dengan pencalonan ini, saya percaya kehadiran mula disedari," katanya yang mula menceburi industri seni pada usia sembilan tahun.

Bella menganggap namanya mula menjadi perhatian selepas membintangi filem M4M4 (MAMA) serta drama rantaian popular, Budak Tebing dan Cemburu Seorang Perempuan.

Berkongsi mengenai perkembangan kerjaya, Bella terbabit dalam penggambaran drama terbitan TV3, Hatimu Sedingin Salji.

"Tetapi, buat masa ini, saya berehat sekejap bagi memberi perhatian kepada Peperiksaan Percubaan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) yang sedang berlangsung sehingga esok.

"Insya-Allah, Januari depan saya akan menduduki SPM. Ketika itu, saya akan menapis tawaran bagi memberi laluan kepada SPM," katanya.

Berita Harian X