Rabu, 12 Ogos 2020 | 1:00pm
Nabila teringin melakonkan watak gadis psiko bagi menguji kemampuan. Foto IG Nabila Razali
Nabila teringin melakonkan watak gadis psiko bagi menguji kemampuan. Foto IG Nabila Razali

Nabila gementar jumpa Fahrin

KUALA LUMPUR: Bakat lakonan Nabila Razali makin mendapat tempat dalam hati produksi drama tanah air dan wajahnya bersilih ganti muncul di televisyen (TV).

Baru selesai drama rantaian Seindah 7 Warna Pelangi yang mengisi slot Akasia di TV3, April lalu, penyanyi lagu Peluang Kedua itu bakal muncul dengan drama rantaian terbaharu, Kebaya Kasut Kanvas.

Bagaimanapun, bagi Nabila, itu bukan bermakna dia semakin selesa sehingga meletakkan kerjaya nyanyiannya di tangga kedua.

Sebaliknya, tambah wanita berusia 28 tahun itu, kerjaya nyanyian dan lakonan seiring kerana dia gemar mencuba sesuatu yang baharu.

Namun, Nabila yang juga bekas peserta Akademi Fantasia (AF) 2013, menafikan dia semakin ligat menerima tawaran lakonan disebabkan kerjaya nyanyian yang terjejas akibat penularan COVID-19.

"Memang disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) undangan nyanyian tergendala dan tertangguh. Saya percaya setiap orang terkesan akibat daripada PKP.

"Namun, ia bukan menjadi alasan kenapa saya semakin aktif berlakon.

"Sepanjang PKP, saya aktif dengan kerjaya nyanyian yang kebanyakan dilakukan dari rumah. Cuma peluang berlakon ini saya ambil demi untuk pengalaman.

Nabila tidak pernah melupakan dunia nyanyian malah sempat melancarkan single Peluang kedua ketika sibuk di lokasi penggambaran. Foto IG Nabila Razali
Nabila tidak pernah melupakan dunia nyanyian malah sempat melancarkan single Peluang kedua ketika sibuk di lokasi penggambaran. Foto IG Nabila Razali

"Malah, dalam sibuk berlakon, saya sempat melancarkan single Peluang Kedua dan video muziknya akan menyusul tidak lama lagi," katanya kepada BH Online.

Membawa watak Suria dalam drama Kebaya Kasut Kanvas arahan Emi Suffian, Nabila mengaku gementar apabila mengetahui bakal berganding dengan pelakon berpengalaman seperti Fahrin Ahmad dalam produk rantaian 10 episod itu.

Nabila bimbang lakonannya tidak berkesan sehingga boleh menjejaskan persembahan mereka.

"Sebelum Fahrin memasuki set, saya berlatih babak yang bakal dibawa bersamanya. Fahrin sudah ada pengalaman lama, jadi timbul kebimbangan jika lakonan saya membuatkan dia tidak selesa.

"Saya tidak mahulah gara-gara tidak serasi, lakonan kami tidak 'sampai'. Namun, Fahrin sangat baik dan banyak berkongsi tip. Fahrin membuatkan saya selesa, jadi mudah untuk saya menghayati watak Suria.

"Saya juga tiada masalah menyesuaikan diri dengan pelakon lain termasuk Rozita Che Wan. Semua pelakon mesra dan baik. Ini penting untuk menjadikan kami serasi di depan kamera," katanya.

Dalam drama itu, Nabila dikehendaki berkebaya dan berkasut kanvas. Katanya, dia seronok membawakan watak Suria kerana dia wanita yang sentiasa positif dan ceria.

Akui Nabila, dia selesa membawakan watak sedemikian kerana sesuai dengan karakter sendiri. Apatah lagi, dia juga terikat dengan produk yang memerlukan dirinya positif dan gembira.

Namun, Nabila yang memulakan kerjaya lakonan pada 2017 menerusi drama Hikayat Cinta Si Pematah Hati, mengakui teringin membawa watak wanita psiko bagi menguji kemampuan.

Berita Harian X