Ahad, 31 Mei 2020 | 5:01pm
Presiden FDAM, Ahmad Ibrahim mengharapkan Pengerusi FINAS baharu, Zakaria Abd Hamid dapat memberikan perhatian dan mencapai titik noktah terhadap isu kebenaran penggambaran. - Foto Rohanis Shukri
Presiden FDAM, Ahmad Ibrahim mengharapkan Pengerusi FINAS baharu, Zakaria Abd Hamid dapat memberikan perhatian dan mencapai titik noktah terhadap isu kebenaran penggambaran. - Foto Rohanis Shukri

FDAM terima desakan kebenaran penggambaran

KUALA LUMPUR: Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM) memohon Kementerian Komunikasi Dan Multimedia (KKMM) mempercepatkan deklarasi prosedur operasi standard (SOP) untuk memulakan penggambaran seperti dijanjikan oleh Majlis Keselamatan (MKN).

Presiden FDAM, Ahmad Ibrahim berkata, penangguhan itu membuatkan penggiat seni berada dalam keadaan dilema kerana sudah lama terputus punca pendapatan.

"Kemelut dan keresahan penggiat seni masih belum mendapat jalan penyelesaian walaupun pelbagai usaha, janji dan kenyataan pelbagai pihak dikeluarkan.

"Melihat situasi ini, FDAM berterusan menerima desakan ahli dan penggiat seni setiap hari bagi mendapatkan kebenaran dan pelepasan yang lebih jelas," katanya kepada BH Online.

Dengan perlantikan Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) baharu, Zakaria Abd Hamid, Ahmad Ibrahim berkata, pihaknya berharap Zakaria dapat memberikan perhatian dan mencapai titik noktah terhadap isu ini dalam masa terdekat.

"Kita sudah ketahui perlantikan jawatan pengerusi, timbalan dan barisan ahli lembaga FINAS, jadi FDAM mengharapkan individu yang dilantik menjadikan isu ini sebagai keutamaan, memandangkan sudah lama menunggu dan masih belum selesai.

"Ia demi memberi kelegaan kepada penggiat filem dan televisyen yang lama menanti terutama lebih 50 syarikat produksi yang sudah lama berhenti ekoran tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh MKN.

"Ini juga membabitkan hampir 60 produksi baharu yang sudah bersedia memulakan proses penerbitan dan kerja penggambaran," katanya.

Dalam masa sama, FDAM mengucapkan tahniah atas pelantikan dan selamat bertugas kepada pucuk kepimpinan baharu FINAS yang dipilih.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X