Isnin, 18 Mei 2020 | 2:30pm
Nad seronok melakonkan watak Mawardah dalam drama Di Hujung Ranting yang sedang disiarkan TV2. Foto IG Nad Zainal
Nad seronok melakonkan watak Mawardah dalam drama Di Hujung Ranting yang sedang disiarkan TV2. Foto IG Nad Zainal

'Drama RTM baguslah...'

KUALA LUMPUR: Sambutan baik terhadap drama lakonan yang disiarkan RTM membuktikan stesen televisyen (TV) kerajaan itu menjadi pilihan ramai, kata pelakon, Nad Zainal.

Nad yang membawa watak Mawardah dalam drama Di Hujung Ranting yang sedang disiarkan slot Selekta Prima TV2, tidak sangka produk lakonannya meraih tontonan tinggi.

Nad atau nama sebenar, Farah Nadia Zainal Abidin, 30, berkata RTM banyak menyiarkan drama bermutu yang sering meraih trofi pada Anugerah Skrin (ASK).

"Sebenarnya banyak drama siaran RTM yang bagus. Apatah lagi pada Ramadan tetapi ramai terlepas pandang.

"Tengoklah drama yang menang pada ASK, kebanyakannya siaran RTM.

"Jadi, semestinya saya gembira apabila mendapat maklum balas daripada penonton drama Di Hujung Ranting. Ternyata peminat drama Melayu suka cerita air mata," katanya kepada BH Online.

Berkongsi pengalaman membawa watak Mawardah, Nad mengaku berdepan banyak cabaran, apatah lagi karya itu diadaptasikan daripada dua novel.

"Tidak sukar tapi memenatkan kerana setiap hari ada babak air mata. Tapi walaupun letih, saya seronok di set penggambaran.

"Dengan kerjasama semua pelakon, tidak susah saya menjiwai watak. Jujurnya, semua pelakon sangat 'memberi'.

"Iyalah, barisan pelakon semua bagus-bagus. Dalam set, semua orang membawa karakter masing-masing.

"Jadi, tiada masalah untuk saya membawa watak air mata. Saya suka kerana lebih senang daripada membawakan watak komedi.

"Bagi saya, lebih mudah buat orang menangis daripada ketawa," katanya.

Selain Nad, drama 30 episod arahan Along Kamaluddin itu turut dibintangi Shukri Yahya, Dayang Areeda dan Amar Asyraf.

Drama ini ditayangkan setiap hari sepanjang Ramadan mulai jam 5.30 petang.

Dalam perkembangan lain, Nad memberitahu, dia menanti penggambaran drama baharu, Hati Yang Tersakiti bersama Remy Ishak selepas Aidilfitri.

Namun, semuanya bergantung kepada prosedur operasi standard (SOP) syarikat produksi yang menunggu kelulusan kerajaan.

Berita Harian X