Selasa, 28 April 2020 | 8:30am
Barisan penyanyi yang menyertai projek amal, Sing For Fun tidak mengenakan bayaran bagi persembahan mereka. - Foto Instagram Liza Hanim
Barisan penyanyi yang menyertai projek amal, Sing For Fun tidak mengenakan bayaran bagi persembahan mereka. - Foto Instagram Liza Hanim

Derma RM5 sambil berhibur

KUALA LUMPUR: Projek amal, Sing For Fun menampilkan seramai 11 penyanyi popular merakamkan persembahan dari rumah untuk mencari dana bagi membantu golongan yang terkesan sepanjang pandemik COVID-19.

Terpanggil melakukan sesuatu sumbangan bagi membantu rakyat Malaysia, penyanyi, Liza Hanim, mencetuskan idea menghasilkan program berkenaan.

Inisiatif itu tidak dilakukan sendirian, sebaliknya turut disertai 10 penyanyi lain seperti Aishah, Siti Nordiana, Ernie Zakri, Syamel, Haiza, Idayu, Lan Solo, Han Byul, Kai dan Dini.

Projek amal, Sing For Fun anjuran syarikat LS Media milik Liza dengan kerjasama Live Frame bermula antara 24 April hingga 7 Mei ini.

Menerusi projek amal, inisiatif itu hanya memerlukan sumbangan serendah RM5 daripada mereka yang menonton persembahan barisan penyanyi di laman sesawang, www.liveframe.my.

"Idea ini tercetus apabila saya, suami dan rakan menerusi Live Frame berborak di aplikasi Zoom. Kami terfikir apa perkara yang boleh dibuat bagi membantu golongan memerlukan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

"Kami tidak mampu mahu menyumbang duit dalam jumlah yang banyak. Jadi, saya gunakan kelebihan yang ada dengan mengadakan projek amal.

"Cuma, saya tak mampu buat apa-apa dalam tempoh PKP ini. Kami hanya boleh buat berhibur sambil beramal. Jadi kami mewujudkan laman sesawang khas. Setiap penyanyi merakamkan sendiri persembahan di rumah dengan menyanyikan dua lagu," katanya kepada BH Online.

Liza berkata, peminat boleh berhibur dengan syarat menyumbangkan RM5 dan boleh melihat semua persembahan.

"RM5 adalah jumlah minimun, tetapi peminat boleh juga menyumbang lebih daripada itu. Terpulang kepada kemampuan masing-masing.

"Cara dan maklumat sumbangan ada pada laman sesawang berkenaan," katanya yang baru muncul dengan single berjudul Tiada.

Katanya, mensasarkan sumbangan supaya dapat disalurkan kepada golongan yang memerlukan.

"Setiap penyanyi melakukan kerja amal ini tanpa bayaran atau sagu hati.

"Ini adalah inisiatif dan sumbangan kecil golongan penyanyi. Bagaimanapun, kami memerlukan sumbangan peminat yang menonton dan menderma.

"Saya berharap sumbangan diagihkan dapat memberi peluang kepada keluarga yang berdepan kesempitan hidup ketika menjalani ibadat puasa," katanya.

Liza berkata, dia akan menjalinkan kerjasama dengan badan kebajikan untuk menyalurkan dana ini.

"Tetapi, keutamaannya kepada golongan yang terkesan sepanjang COVID-19, PKP dan pendapatan terjejas. Tidak ketinggalan golongan asnaf dan fakir miskin.

"Saya akan mengemaskini jumlah dana yang diterima, selain waktu sumbangan diedarkan," katanya yang berterima kasih kepada rakan artis yang sudi menyertai projek amal tanpa bayaran.

Berita Harian X