Khamis, 23 April 2020 | 8:30am
#HopeForMalaysians salah satu inisiatif kecil penggiat seni yang dilakukan atas dasar tanggungjawab menyemai harapan.
#HopeForMalaysians salah satu inisiatif kecil penggiat seni yang dilakukan atas dasar tanggungjawab menyemai harapan.

Simbolik penyatuan 27 penggiat seni

KUALA LUMPUR: Gabungan 27 penggiat seni menyampaikan lagu Arena Cahaya, nyanyian asal Zee Avi menerusi #HopeForMalaysians menyemarakkan semangat dalam jiwa rakyat Malaysia.

Ia menjadi satu harapan dan kewajipan sosial dalam mengembleng tenaga dan kreativiti menangani penularan wabak COVID-19 yang melanda dunia. #HopeForMalaysians salah satu inisiatif kecil yang dilakukan atas dasar tanggungjawab menyemai harapan.

Lagu runut bunyi filem Ola Bola itu menjadi simbolik dan memberikan mesej positif dalam melodi dan lirik ciptaan Zee serta Rendra Zawawi. Lantas terlintas di fikiran anak rantau Malaysia yang bekerja di Jakarta, Indonesia untuk muncul dengan idea itu.

Pasangan suami isteri, Denys Munang dan Munirah Kader Shah serta sahabat, Mike Manicka melahirkan ilham menggabungkan 27 penggiat seni dari pelbagai genre menyampaikan mesej positif.

Zee berkata, dia menyambut baik idea kreatif sumbangan dan keikhlasan dihulurkan oleh 26 penggiat seni yang menyampaikan mesej Arena Cahaya.

“Ini satu penghormatan buat saya apabila rakan penyanyi yang memiliki bakat istimewa dan popular di Malaysia menyanyikan lagu Arena Cahaya.

“Saya melihat penggiat seni bersatu membantu memberi inspirasi dengan penuh harapan. Lagu ini ditulis untuk mengeratkan hubungan bukan hanya negara, malah individu berhadapan cabaran.

“Namun, saya percaya rakyat Malaysia kuat melalui detik sukar ini sekiranya beringat untuk bekerja secara kolektif bagi memastikan diri dan orang disayangi selamat,” katanya.

Lagu Arena Cahaya diterbitkan Rocketfuel Entertainment dan Monotone Inc.

Idea untuk membentuk vokal harmoni seramai 27 penggiat seni dilakukan dalam masa dua minggu dan dilancarkan semalam, serentak di laman sosial.

Selain Zee, antara penggiat seni terbabit dalam video termasuklah Puan Sri Tiara Jacquelina, Datuk Seri Siti Nurhaliza, Ella, Anuar Zain, Misha Omar, Dayang Nurfaizah, Liza Hanim, Noryn Aziz, Adibah Noor, Marsha Milan, Leaism, Bihzhu, Dasha Logan, P’ie Ramayan, Vince Chong, Dina Nadzir, Aina Abdul, Myo OCK, Acap Salammusik, Alena Murang, Daniel Lee, Elvira Arul, Lah Ahmad, Mayabayu, Santosh Logandran dan Rich Gimbang.

Pada permulaan lagu, Amy Search muncul menyampaikan mesej dan ucapan terima kasih buat petugas barisan hadapan Malaysia.

Berita Harian X