Selasa, 14 April 2020 | 8:30am
Liza mencurahkan emosi dan ingatan terhadap arwah ayah dalam single Tiada. Foto IG Liza Hanim
Liza mencurahkan emosi dan ingatan terhadap arwah ayah dalam single Tiada. Foto IG Liza Hanim

Liza Hanim cipta lagu buat ayah

KUALA LUMPUR: Meluahkan emosi dalam lagu, single terbaru Liza Hanim berjudul Tiada cukup mengembalikan ingatan penyanyi itu terhadap arwah ayah.

Kehilangan insan tersayang, Jun lalu, Tiada yang dicipta sendiri, merungkai hubungan Liza dengan arwah ayah.

“Kemunculan lagu ini tepat pada masanya. Ia menceritakan luahan perasaan saya selepas pemergian ayah, Jun lalu akibat kanser paru-paru.

“Sahabat saya, Ahmad Fedtri Yahya yang menghasilkan liriknya, seakan mengerti gelojak jiwa saya apabila menghasilkan bait yang menyentuh perasaan,” katanya kepada BH Online.

Pada 21 Jun lalu, ayah Liza, Allahyarham Abd Halim Abd Razak, meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), di sini.

Liza atau nama penuhnya, Haliza Hanim Abdul Halim, baru-baru ini, dilihat gagal mengawal sebak ketika mendeklamasikan sajak berjudul Jangan Sentuh Jenazah Ayah nukilan Ahmad Fedtri di Instagram (IG).

Menjelaskan perkara itu, Liza mengaku tersentuh kerana setiap baris ayat dalam puisi itu cukup dekat dengan kehidupannya yang kehilangan bapa tercinta.

“Sajak itu diberi Fedtri untuk saya baca dan muat naik di IG. Apabila saya baca baris demi baris ayat, perasaan jadi sebak.

“Puisi itu menceritakan luahan anak yang kehilangan ayah akibat wabak COVID-19.

“Fedtri menterjemah perasaan anak yang tidak dapat mengurus, melihat dan mengucup jenazah bapa buat kali terakhir.

“Tidak dapat saya bayang perasaan si anak yang terpaksa berhadapan situasi itu... Pasti menyedihkan,” katanya.

Lagu Tiada boleh didapati di semua pelantar digital, mulai semalam.

Berita Harian X